Showing posts with label Monolog diri. Show all posts
Showing posts with label Monolog diri. Show all posts

Monday, April 14, 2014

Merancang kehidupan sendiri

Seperti masih terbawa-bawa penat lelah kerja-kerja kahwin/rewang yang lepas. Satu-satunya aku yang banyak terlibat dalam majlis sebesar itu, walaupun bukan majlis sendiri. Penat, letih, pening, geram, marah, benci, suka, bangga semua bercampur rasa. Akhirnya majlis berjalan seperti yang dirancang walaupun ada kekurangan yang harap dimaafkan.

Selepas majlis aku sibuk dgn kerja-kerja uruskan Kursus Juruladam PSBANK selama 3 hari berturut-turut. Sekali lagi tugas sebagai penganjur terpakai dan ditagih. Walaupun bukan aku yang kena uruskan segala perjalanan kursus 100%, tapi sedikit sebanyak aku yang bertanggungjawab uruskan dari seremeh-remeh hal hingga sebesar-besar agenda. Aku kena ucap banyak terima kasih dan jutaan penghargaan kepada AJK tertinggi PSBANK; khususnya Dr. Din, Tok Ngulu Hasin (my cousin) dan anaknya Dayang, juga kepada saudara Yazid yang juga membantu menjayakan kursus tersebut. Kerana sambutan yang baik dan balasan menggalakkan daripada para peserta, PSBANK tengah merancang untuk mengadakan kursus ini untuk kali ke-2 dengan tambahan modul asas lain...insya Allah bakal diadakan pada bulan Jun.

Perancangan demi perancangan telah diatur bagi aktiviti dan program yang bakal dianjurkan oleh PSBANK bagi bulan 5 dan 6 akan datang. Aku mungkin tak akan terlibat dalam kesemua aktiviti kerana aku mungkin mengikut Makcik Jamilah ke KL. Sebagai PA dan dengan bakat serta kemahiran aku dalam menguruskan organisasi, aku bakal diserapkan dalam busines yang baru dimulakannya bersama anak saudaranya di sana. Insya Allah jika ini pilihan yang aku ambil, mudah-mudahan ianya memberi kebaikan buat semua. Tapi aku terpaksa 'lepaskan' tugas-tugas aku dalam PSBANK buat seketika. Nasib baik ade En. Pengganti yang baik nk ambil alih tugas 'sekreteri' aku ni....hehehe, tq ye!

Cukup pasal hal kerja....asyik menceceh je pasal ni, aku pn naik muak. Ye, kerja aku bukan kerja tetap, bukan bergaji besar, juga bukan berpangkat tinggi. Walaupun aku ade segulung (tak bergulung dah sbb letak dalam fail sijil) ijazah dalam bidang Biotek, tapi rezeki aku tak berjemput melalui bidang ijazah yang aku dapat tu. Aku juga tak berharap nak dapat kerja gomen lg dah. Umo pn dah takat berapa dh ni, kerja gomen nk apply pn ada had umo dh sekarang. Cuma aku berharap dan yakin dengan kemampuan bakal dan kemahiran pengurusan yang aku ada ni boleh memberi aku kepuasan bekerja lebih daripada berharap memberi aku lebih pendapatan.

Mungkin kalau Mama ada lagi, dia pn bimbang sebab aku tak ada kerja tetap tapi cuma buat kerja-kerja kecil. Aku sedar kebimbangan Mama tu bersebab kukuh...ye la, dia bimbang kalau aku takkan kahwin disebabkan aku xde kerja tetap dan gaji besar. Semasa hayat Mama, aku juga pernah suarakan rasa takut dan bimbang aku ni...umur aku makin lama makin menginjak naik tapi aku masih tak dapat nk kumpul harta untuk diri sendiri (tapi aku tak juga meminta dgn orang tua aku dah pn). Mama ada cakap, "Takpola Ya, rezeki ado mano-mano. Ya buatla kerja hok Ya suko. Takdok gaji besa pn Ma tok maroh, Ya buat kijo pn tolong ore tu banyok doh (pahala) bulih. Nok nikoh gak Ma bulih tulong cari." Aku ketawa bersamanya ketika itu, tanpa sedar 2 bulan selepas itu Mama pergi tinggalkan aku dan keluarga.

Betulla, zaman sekarang ni kalau orang perempuan takde kerja bagus, xde gaji besar, xde harta/simpanan sendiri, susahla dia nk cari pasangan atau bertemu jodoh. Akulah salah seorang daripada yang tergolong dalam kategori ini. Aku sedar, aku faham dan aku redha. Jodoh aku mungkin dah takde tapi aku tak boleh putus harap. Hidup aku bukan untuk bertemu jodoh saja, banyak lagi peluang dan cita-cita yang aku nak penuhi. Aku suka buat kerja-kerja makan gaji sendiri (freelance) dan bantu dengan organisasi NGO, sebab aku tahu aku amat dihargai dan diperlukan dalam bidang itu. Aku sedar 'jodoh' itu takkan dekati aku buat masa ni, aku faham dan aku terima keadaan ini seadanya. Kerana aku sedar aku tak perlukan sesiapa untuk ubati duka dan luka hati ini, hanya padaNya aku sujud berserah...moga Kau sirami ketenangan dalam diri ini tiap kali aku gelisah dan keluh kesah.


Bukan aku tak cinta,
Kerana hati aku penuh dengan rasa sayang,
cuma kepada siapa aku tak pasti
untuk aku serahkan seluruh rasa itu.
 

Bukan aku tak percaya,
tapi hati seringkali bertingkah,
jangan kau beri segalanya
takut nanti kau merana jiwa
bila kasih kau tak berbalas.

Bukan aku tak ingin,

berkongsi suka dan impian,
cuma aku risau kau kan jauh
kerana aku tak punya apa-apa,
hanya rasa sayang dan setia,
cukup untuk aku bersamamu selamanya.

Bukan aku tak suka,

ucapkan kata sukma menikam kalbu,
aku bukan tahu bermadah kata
aku terbatas dek adat dan syariat,
jika aku ini pantas bagimu
sebagai peneman rusuk kirimu
lafazkanlah akad, terimalah aku setulusnya.


AHAA

14 April 2014, Isnin
Shah Alam, Selangor.

Monday, November 18, 2013

Pergimu kurindu...Waktu bersamamu kudamba...


IMBAS KEMBALI: Malam ni, tanggal yg sama 365 hari yang lalu...waktu ni tengah keluh kesah, takut-bimbang, gementar-gemuruh, makan tak lalu tido pn xleh nk pejam lg kala jam ni. Sebabnya....

ESOK (19 Nov 12) akan ditemuduga oleh barisan guru, cikgu & ustaz para pegawai pendidikan utk kemasukan ke DPLI-SR j-QAF. Borang-borang yg dah siap isi, kejap2 bw keluar fail, susun-susun...susun-susun semula bw masuk fail. Kejap-kejap cek sijil-sijil tu, salinan cukup ke, yg asal dh ikut urutan ke...adehhh, serba tak menjadi macam esok tu nk kena sarung cincin lagaknya. Akhirnya terlena sndri dlm kegugupan tak berkesudahan. 

Tapi drama 'tele-glaba' ni bersambung lg bila esoknya kelam-kabut, sbb semalam xingt prepre baju mana yg nk disarung (adoyai, klu jd cikgu cmni, maunya paling lewat masuk pagar sekolah ni...) Nk di buat drama bersiri lagi, pagi tu hujan turun renyai-renyai, walaupun tak lebat namun cukup buatkan angin pagi yang menderu itu menusuk tulang temulang ni. Temuduga dijadualkan pada jam 11 pg di IPG Pengkalan Chepa. Pagi tu memang cukup kalut bangat, waima aku dh pun siap sedia dgn semua borang, sijil bagai. Namun DIA masih ingin menguji aku, dahla aku hanya gerak dari rumah cuma 20 minit lg ke jam 11pg. Masak aku dibebel Ayah sepanjang perjalanan. Aku senyap tak mahu hangatkan keadaan, yang hanya berputar-putar di kepala adalah macamana aku nk jawab soalan-soalan penemuduga tu nanti....

Akhirnya bila aku sampai di perkarangan IPG PC tu, sebaik aku jejakkan sebelah kaki ke tanah tiba-tiba.....
zrettttt! MasyaAllah, tapak kasut aku tercabut msa tu jugak!! Terus aku angkat kaki masuk kembali dalam kereta. Aku angkat sebelah kasut lagi, Ya Allah! Tapak sebelah kasut tu pun merekah sama. Dengan pucat dan panik yang amat, seakan berteriak sedikit aku bgtahu 'keadaan buruk' kepada Ayah. Aku tak ingin imbas kembali bagaimana rupanya muka Ayah bila mendengar 'keadaan' kasut aku tu. Aku dh hilang fokus nk teruskan temuduga tu dah, namun Ayah berkeras nk 'selesaikan' masalah bertimpa-timpa aku tu. Terus kami memecut meninggalkan IPG menuju ke pasaraya berdekatan untuk membeli kasut baru untuk aku!

Aku tak nak panjangkan cerita aku pergi membeli kasut baru aku tu -- cukuplah dengan aku katakan itulah saat shopping yang aku ingin lupakan. Disebabkan kedua-dua tapak kasut aku tercabut, aku terpaksa pinjam selipas Ayah yg saiznya 2 kali ganda saiz kaki aku ni, masuk ke pasaraya yg baru saja dibuka, menuju ke bahagian kasut wanita, memilih kurang dari 15minit dan terus membelinya serta memakainya semasa membuat bayaran! Cukuplah aku ingatkan segala memori itu kat sini saja.... Dengan tebalnya muka aku waktu tu, Ayah berkeras mahu aku teruskan temuduga pagi tu dan kembali ke IPG menghantar aku. Aku dah serba salah, berbelah bahagi...ikutkan hati mau je aku tinggalkan tempat tu tanpa menjalani temuduga DPLI tu. 

Tapi waktu aku sedang meraung di dalam hati tika itu, ada suara halus menerpa ke telinga mengarahkan aku teruskan saja apa yang telah tersurat pagi tu. Aku turun lambat-lambat dari kereta Ayah, dan sebaik aku jejakkan kaki ke tanah Ayah terus berlalu. Aku memandang Ayah hingga keretanya keluar melewati pagar IPG dan hilang dari pandangan aku. Waktu itu aku dh lewat 10 minit dari masa yang sepatutnya. Aku kembali bergegas mencari bilik temuduga kerana waktu itu baru aku sedar bahawa terdapat 10 bilik temuduga berlainan pada pagi itu!

Terukla!! Matila aku! Habisla peluang aku!!! Itu sajalah yang mampu aku fikirkan saat genting tu. Ujian Allah hanya untuk hambanya yang patuh dan akur serta mampu laluinya sahaja. Itulah yang berlaku kepada aku bilamana aku terjumpa bilik temuduga tersebut, rupa-rupanya aku masih diberi peluang olehNya! Terdapat ramai calon lain yang berlegar-legar di depan bilik tersebut, namun mereka adalah calon awal yang dijadualkan pada jam 9pg tadi, yang masih belum selesai menjalani sesi temuduga itu! Ya Allah Ya Rabbala'laminnnn.....sambil istighfar panjang mulut aku tak putus2 ucapkan syukur kerana di sebalik drama 'suspen-tak rela' aku pagi tu, rupanya ada hikmahnya. Jantung aku yang dirasakan pasti luluh saat itu, kembali tenang dan aku boleh bernafas macam biasa. Sambil menantikan calon jam 9pg selesai, aku cuba seidiki apa yang bakal ditanya oleh barisan penemuduga.
======================================
Namun, di sebalik yang terjadi di sebelah pagi tadi, temuduga yg pertama kali yang benar-benar terkesan dlm hidup aku ini, terbayar dengan aku telah LULUS dgn jayanya. Mungkin faktor jawapan esei aku bg soalan 'Sekiranya anda terpilih, apakah yg dapat anda sumbangkan terhadap bidang perguruan' tu kot yang banyak membantu permohonan aku. Syukurlah padaMu Ya Allah, aku telah buktikan bahawa aku berjaya melalui ujian dan halanganMu. 

Tapi tawaran yg diterima selepas itu, aku TOLAK dgn baik. Bukan kerana aku bakal ditempatkan nun jauh di seberang Borneo tapi aku terlalu faham akan kemampuan diri aku. Iya, aku TOLAK untuk memikul tugas seorang GURU. Kerana aku yakin aku takkan mampu membawa peranan seorang GURU sebaik dan secemerlang tugas dan dedikasi Arwah MAMA dan AYAH telah harungi selama 27 tahun bergelumangdalam dunia perguruan. Aku turuti kehendak Mama dan Ayah menjalani temuduga tersebut, namun keputusan aku seterusnya mereka akur dan hormatinya. Sampaikan org IPG Sawarak di sana telah cuba hubungi aku selama 3 mggu berturut-turut selepas tempoh lapor diri tamat, meminta kepastian status tawaran tersebut...hehehe, maaf KPM bukanlah organisasi yang aku impikan untuk mencurah bakti, mungkin hala tuju aku ke bidang lain.

Waktu itu juga MAMA sedang bertarung dengan sakitnya, itu satu alasan kukuh bg Aku untuk tidak tinggalkan laman tercinta untuk pergi jauh ke seberang sana. Perasaan aku cukup kuat mengingatkan Aku agar terus berada berdekatan dengan kelaurga. Prarasa Aku ternyata tepat (Allahuakbar!) -w/pn Aku tidak menerima tawaran DPLI tu, Aku telah menerima tugas sebagai pembantu pensyarah kepada Makcik Jamilah di Kepala Batas-
kerana selepas itu Aku hanya sempat bertemu MAMA yg telah terbujur kaku, selamat dikafankan setelah 3 hari Aku mula bekerja dengan Makcik. Terkilan benar rasanya hati Aku bila terkenangkan Aku tidak berada di sisi Mama sewaktu dia menghembuskan nafas terakhir. Benarlah pertemuan, perpisahan, jodoh, maut itu hanya DIA yang tahu.

KINI, setelah 363 hari berlalu, Aku menghitung waktu genapnya setahun MAMA pergi. meninggalkan kami selkeluarga. Sangat kesal kerana di saat pemergian Mama, aku masih belum dapat tunaikan hasrat Mama. Sangat-sangat kesal kerana Mama pergi sebelum sempat melihat aku berdiri di kaki sendiri, merasai kejayaan aku dan aku takkan ada Mama untuk melihat aku duduk di atas pelamin..
..
****************************************** 

Wajah itu masih aku kenangkan,
di sudut hati ini masih belum suram
wajah tuanya yang tak terkesan dek usia yang berlalu
rasa kasihnya tak pernah padam
untuk kami dan untuk seluruh anak didiknya

Wajah nan redup tak jemu kutatap

Tiap bait kata yang terucap di bibirnya kurasa damai
Seri wajahnya tak pudar menahan sakit yang ditanggung
Terungkap rindu di hatinya bila kami jauh darinya
untuk kami dititipkan utusan doa meredhakan segalanya.

Masih terasa peritnya kehilanganmu
Tak terkata, tak terkira lumpuhnya aku rasakan
Biar pun mata ini telah berhenti mengalirkan air mata,
belum tentu akan kering kolam hati ini
kerana merindui wajah kasihmu Bonda

Wajah penuh rindu itu takkan pudar
Gelak tawa dan sendu tangis bersama
Lipatan masa bersamamu takkan berulang lagi
kupendam rasa sugul jauh di lubuk hati
untukmu Aku hadiahkan an-nur dan rahmatNYA,
Moga Jannah menjadi semadianmu yang abadi.

Al-Fatihan buat Bonda Robiah Muda tercinta, doa anakanda semoga Bonda berada di tempat dan bersama mereka yang dikasihi dan dirahmatiNYA.

Sunday, October 20, 2013

Erti Sebuah Pengorbanan

Dulu aku suka sangat menulis, menconteng kata-kata dan mengubah tulisan sendiri. Tapi makin umur menginjak ke usia belia dewasa, minat itu makin pudar...bukan kerana punya minat yang lain tapi kekangan masa dan keperluan telah merubah rutin menulis itu menjadi suatu perkara yang amat sukar.

Tengah diam, sedang menonton cerita di kaca tv atau bersahaja di meja makan, idea itu pasti tercetus dengan sendiri, tinggal untuk diterap di atas kertas sahaja. Itu pun tidak berkesempatan, waima sekejap dek kerana tuntutan masa kepada hal yang lebih berkeperluan.  Ini hanya pengobanan MASA, bukan harta, wang ringgit atau tenaga lagi. Kita tak boleh tentukan apa yang tak dapat dilaksnakan sedaya yang kita inginkan. Bukan disebabkan kita tak mampu tapi mungkin kerana hal-hal lain, yang tak dapat dielakkan.

Dunia hari ini, ramai yang mengharapkan balasan atas setiap perkara yang dihulur. Bukan ihsan atau ehsan tapi 'bayaran' yang perlu diberi atas setiap perlakuan tersebut. Mata ringgitan di mana-mana, hanya iman di hati yang boleh jadi penghadang ke arah kegilaan duniawi ini. Sapa aku nak jatuhkan gelaran atas setiap orang? Tak, aku bukan sapa-sapa. Aku orang biasa, tak punya apa-apa. Tapi jangan ingat aku tak boleh jadi sapa-sapa.

Aidiladha baru-baru ni, aku kecapi erti pengobanan sebenar. Sebelum ni bukan aku tak tahu, tapi bila kita dah kehilangan yang tersayang dan masa terus bergerak ke depan dengan kita dah takkan ada bersama dia lagi, saat itu kita mula belajar sesuatu yang baru. Kita mula faham apa yang telah dia lakukan dulu...untuk apa, kenapa dan apa yang dia dapat dengan perbuatan itu?

Bila kita hidup atas kaki sendiri, banyak perkara kecil akan dipandang besar. Hal remeh dan enteng itu telah menjadi satu yang utama dan penting sekarang. Namun janganlah dibiarkan diri kita dipergunakan sewenang-wenangnya kerana keprihatinan yang ditunjukkan. Rendahkanlah rasa tinggi diri, belajrlah bertolak ansur. Tak rugi saling ringan tulang, kenapa bila dengan rakan-rakan perkara saling membantu itu sangat senang dilakukan? Kenapa bila untuk keluarga sendiri cukup berat untuk dilaksanakan? Tak perlu tunggu diminta atau disuruh, buat atas kerelaan sendiri. Bukan nilai ringgit yang dikias sebagai balasan, bukan juga pijian melangit yang dituntut bagai. Cukuplah kita lakukan hal itu dengan rasa melihat ahli yang lain turut sama senang hati. Bila kita rasa lapang, kan orang juga akan sama merasainya?

Berkorban bukan dengan berapa ringgit yang diberi. Selama ini aku berkorban, aku boleh kata aku telah berkorban untuk mereka semua waima mereka tak tahu pun. Zaman kampus aku tak sesenang sesetengah pelajar lain. Aku 'bagi' yang aku ada setiap sem kerana fikirkan aku boleh survive di varsiti dengan hidup bersederhana. Tak mengapalah, asal yang di laman sana dapat merasa yang tak dapat aku rasa. Aku outing ke tempat-tempat beli belah bleh dikira dgn jari kekerapannya, semua dh ada di sekitar kolej. Kemudahan lengkap, tak perlu berbelanja lebih dan tak perlu nak bersosial bagai. Alhmadulillah aku berjaya menerima segulung dekri itu akhirnya seperti yang lain. Aku tak berhenti di situ.

Dengan minat, aku mudah mendapat kerja (waktu itu) di varsiti dan aku hanya perlukan belanja sewaan dan makan. Selebihnya aku masih menyumbang kepada mereka di laman. Sama ada mereka tahu atau tidak, biarlah. Aku cuma ingin mereka dapat apa yang telah aku kecapi sebelum mereka. Hanya tiba masa-masa terdesak aku minta bantuan, itupun untuk belanja pulang. Selebihnya aku banyak ikat perut. Aku tak punya teman sosial dan status itu kekal hingga sekarang. Bila rezeki di sana telah tiada untuk aku, aku pulang. Mungkin hidup aku hingga sekarang tak seindah yang telah ditakdirkan, namun aku tetap mencari peluang untuk terus berkorban. Tambah-tambah bila orang yang sentiasa berkorban untuk aku telah tiada, akulah selayaknya memikul peranan itu sekarang.

Sesekali aku juga rasa penat, rasa kecewa, rasa marah...bila apa yang aku buat tak diambil peduli dan dipandang enteng oleh mereka. Aku letih melihat apa yang aku dh buat hanya sia-sia. Cuma aku. Keseorangan tiap kali buat aku tersendu sendirian.

Mereka boleh keluar makan-makan tanpa aku dijemput bersama. Tak mengapa. Aku punya hal sendiri....

Mereka boleh gelak ketawa membeli belah dengan aku ditinggal keseorangan. Tak mengapa. Aku boleh ke sana sendiri nanti...

Hanya bila kata putus aku diperlukan, mereka masih perlukan aku. Hanya itu, aku rasakan aku masih dihargai. Dengan mereka aku banyak mengalah. Biarlah aku terus berkorban, sama ada mereka sedar atau tidak. Namun aku harap ada antara mereka yang sedar semua pengorbanan aku sebelum masa aku tiba....



Tinta Emas: "Along sayang semua, walau macamana layanan yana Along terima..."

Sunday, August 4, 2013

Hari-hari terakhir Ramadahan sebelum ianya pergi

Rasa cepatnya masa berputar, sedar-sedar saja dh nak sampai ke penghujung. Yang tiba pasti pergi, yang kini bertukar dengan yang akan datang. Masa sebenarnya begitu dekat dengan kita walaupun kebanyakan kita tak pernah sedar dan tak endah tentangnya. Bila dah berakhir, barulah terngadah nk menyesal pun dah tak guna.

Pencarian kita masih bersisa beberapa malam terakhir ni. Masih sempat untuk menemukan rahsia seribu bulan yang paling istimewa hanya untuk mereka yang yakin dan bersungguh mahu mendapatkannya. Walaupun kita mungkin berjaya 'memenangi' perang melawan nafsu sepanjang sebulan Ramadhan namun malam rahsia ini tidak tertanding jika sesiapa yang menemukannya.

Ketika ini, lagu-lagu raya rancak berkumandang di corong-corong radio harapnya kita janganlah terlalu ghairah 'meraikan' bakal tibanya Syawal. Kerana kebanyakan kita yang terlalu teruja dengan persiapan raya telah 'beralih' niat tanpa sedar hari-hari sepuluh Ramadhan terakhir pergi begitu saja. Peringatan ini juga untuk diri sendiri, sebab saban malam berjaga nak siapkan biskut raya :P

Kepada anak kota dan perantau yang dah mula mengatur perjalanan pulang ke halaman masing-masing, ingatan percuma ini untuk mereka agar sentiasa berhemah dan sabar ketika di jalan raya. Yang memandu kereta atau dan yang menaiki bas/keretapi/'belon', diharapnya patuhilah peraturan jalanraya, sayangilah nyawa mereka yang anda bawa bersama dan berehatlah secukupnya jika terasa letih. Biarlah kepulangan kita disambut gelak tawa sanak saudara di kampung bukan dengan tangis sayu kerana yang dinanti tak kunjung tiba.


Pencarianku belum berakhir
aku mohon keampunan dariNya
diri ini begitu kerdil berbanding zatMu
Pandulah malam-malam hening ini
supaya aku tidak leka dari mengagungkanMU

Pencarian malam seribu bulan
Bukan sesuatu yang mustahil
bagi mereka yang yakin dan inginkannya
Rahsia malam itu hanya pada mereka
yang benar-benar dekat kepadaNya

Pencarianku di malam ini
diiringi basahnya bumi dengan rahmatMU
Aku sendirian merenung jauh ke langit
muhasabah dalam kerendahan hati
Terasa dingin malam menyapa lembut 
melewati tingkap kamarku

Pencarian ini mungkin yang terakhir
aku mohon dengan segala redha di hati
Engkau rahmatilah keluargaku
Tempatkan Bondaku di tempatMu yang tertinggi
menunggu tibanya masa bila nanti
aku kan bertemu dengannya lagi.

Tinta Emas, 26 Ramadhan 1434H / 4 Ogos 2013, Kota Bharu