Wednesday, November 17, 2010

'Aidiladha ~ Menggamit pengorbanan seikhlas hati

Alhamdulillah sempat jua aku tiba di rumah ayah bonda sehari sebelum hari raya. Walaupun aku bertolak seawal pagi lagi, keadaan lalu lintas bertukar sesak teruk sesampai saja di bandar Kuala Krai. Akibatnya aku yang pulang bersama adik lelaki aku hanya sampai di bandar KB pada jam 9 malam! Bayangkan betapa panjangnya perjalanan aku sehari suntuk di dalam perut bas, ditambah dengan keadaan hujan lebat yang mengiringi perjalanan kami pulang. Mujurlah tiada adegan kecemasan berlaku selama berada di dalam kesesakan itu dan kami selamat pulang ke halaman tercinta.

*********
Pagi 'Aidiladha kami bersantap seadanya kerana tahun ni kami tidak membuat sebarang korban. Maknanya kami hanya akan pulang ke kampung sebagaimana biasa dilakukan pada hari raya. Pagi Jumaat yang penuh barakah ini aku panjatkan segala limpah kesyukuran padaNya Yang Maha Memberi dan Yang Maha Mengetahui. Tahun ini aku masih diberi peluang untuk bersama keluarga meraikan perayaan korban yang dituntut atas muslimin muslimat yang berkemampuan. Dengan ingatan kepada para jemaah haji yang sedang berada di Tanah Haram sana, didoakan agar mereka semua selamat menjalani ibadah hingga ke akhirnya dengan selamat dan selamat pulang ke tanah air nanti. Tshun ini tiada sanak saudara keluarga aku yang berkesempatan untuk pergi menunaikan ibadah haji namun insyaAllah akan datang jua seruan lambaian Kaabah untuk mereka termasuk juga kami sekeluarga.

Dengan rasa penuh hiba dan merasa diri ini masih disayangi olehNya, aku berharap agar 'Aidiladha kali ini bukanlah yang terakhir buatku. Di kesempatan ini aku mohon maaf atas salah silap yang terlanjur kepada sesiapa yang pernah aku kasari secara sengaja atau tidak.
Selamat Hari Raya 'Adiladha kepada semua!

Monday, November 15, 2010

Masih di sini...

Salam sejahtera untuk semua. Yang mengenali diri ini atau yang sudi mengikuti catatan lembaran aku di sini. Alhamdulillah, segalanya seakan lebih cerah dan tenang. Macam mentari yang bersinar pagi ini. Walaupun semalam hujan turun dengan lebatnya sejak petang lagi, namun keindahan pagi ini tidaklah tercela sedikit pun. Rahmat Ilahi jelas kelihatan ke seluruh alam ini.

Tinggal 2 hari lagi umat Islam akan menyambut 'Aidiladha. Aku masih di sini, insya Allah esok aku akan berangkat pulang. Moga perjalananku selamat tiba di sana. Kali ini mungkin kepulanganku lebih lama. Bukan meninggalkan terus apa yang telah aku mulakan di sini, tapi aku ingin beralih angin sekejap. Dah terlalu lama aku 'keracunan' dengan udara di sini, dan aku nak menghirup udara dari tempat lahirku pula. Lagipun aku tak dapat nak teruskan apa-apa kerja selama aku masih di sini, dengan tekanan dan perasaan negatif yang berlegar-legar di sekeliling. Harapnya bila aku bersama dengan keluarga sendiri, segala yang menyakitkan itu akan mereda. Dengan perancangan yang telah aku buat, aku yakin aku boleh melakukan sesuatu yang lebih baik (insya Allah!).

Aku ada menghadiri temuduga baru-baru ini, untuk jawatan pembantu penyelidik. Namun bukan rezeki aku mungkin, aku tak dapat pun. Aku ingat dapatla aku berubah bidang jika dapat kerja tu, takla aku terlalu bergelumang dalam dunia saintifik ni saja. Tapi tak mengapalah, aku boleh cuba lagi jika ada tawaran lain. Jika bukan rezeki aku di sini aku masih boleh cuba di tempat aku nanti. Memang aku sedia maklum bukan senang kalau hendakkan sesuatu dan teramatlah mudah kalau kita nak tinggalkan atau buang sesuatu. Siapa bilang aku suka bergantung kepada orang lain? Selama ini pun aku bukanlah seorang yang terlalu mengharapkan dan bergantung kepada orang lain. Aku lakukan semuanya sendiri dan mengambil keputusan atas kehendak aku sendiri bila aku mula menjejakkan kaki di kampus. Kebebasan seratus peratus diizinkan oleh kedua orang tua aku bagi aku tentukan hala tuju aku di sini (dan tentunya aku akan mintak pandangan daripada mereka dahulu) sehinggalah aku berjaya habiskan fasa pertama dalam pengajian aku.

Hidup aku bukan seperti sekarang, jauh sekali aku inginkan kehidupan seperti ini. Namun aku bukan punya apa-apa kuasa untuk mengubahnya. Aku terima jika aku diuji sedemikian rupa, namun sesekali aku rasakan dugaan dan musibah itu terlalu berat untuk aku tanggung dan tidak berkesudahan akhirnya. Aku pun bukan orang yang jahil agama; aku lahir dengan Islam mengalir dalam urat nadi dan cuma dengan ajaran dan bimbingan yang betul aku dapat berpegang dengan Islam dalam cara hidup aku. Aku sedar aku takkan dapat capai apa yang aku inginkan tapi aku boleh lakukan jika aku kerjakan dengan cara yang betul. Biarpun aku masih berdiri di kalangan orang-orang yang aku lihat dapat jatuhkan air muka aku dan suka cari pasal, aku takkan ambil kisah itu semua. Apa yang aku tahu api jika disimbah dengan minyak ia nyala lebih marak, dan jika dibiarkan apinya pasti padam dengan sendiri.

Selamat Hari Raya 'Aidiladha buat semua rakan-rakan dan teman-teman yang mengenali dan yang mengikuti catatan aku di sini. Semoga kehidupan kalian diberkati dan dilimpahi rahmat dan keberkatan daripadaNya. Mohon maaf atas segala kekhilafan kata dan keterlanjuran bicara.Terima kasih kerana sudi memberi setitis kebahagiaan dan sekelumit harapan untuk diri ini.


Tinta Emas : Syukur peluang untuk aku masih terbuka luas. Moga permohonan aku seterusnya akan membuahkan hasil. Aku boleh jadi sebaik-baik manusia dan aku juga sedaya upaya berbuat baik terhadap sesiapa, hatta kepada orang yang bukan aku kenal; walaupun akhirnya kebaikan itu tidak pasti akan kembali kepada aku.

Wednesday, November 10, 2010

Mengembalikan amalan menulis surat dan poskad

Tiap kali menjelangnya musim perayaan (tak kiralah 'Aidilfitri ke, 'Aidiladha ke) antara perkara yang wajib aku lakukan adalah mengirimkan kad ucapan yang aku beli atau kad yang aku buat sendiri kepada seberapa ramai sahabat-sahabat dan teman-teman rapat. Terasa puas dan seronok bila dapat mengirimkan kad ucapan kepada mereka yang mengenali sebagai tanda ingatan dan itulah antara caranya menaikkan semangat berhari raya. Tapi sekarang aku tak dapat berbuat demikian lagi....

Dengan teknologi dan kemudahan rangkaian komunikasi elektronik serta internet, amalan mengirimkan kad ucapan seakan tenggelam ditelan zaman dan dilupakan. Jarang-jarang orang yang suka berbuat demikian kerana mereka dengan mudahnya dapat menghantar pesanan ringkas dengan menggunakan sistem pesanan pendek atau menggunakan kemudahan e-mail sahaja. Cepat, udah dan pantas. Namun bagi aku kesenangan ini bagai meragut sedikit keceriaan meraikan hari perayaan. Aku sebolehnya masih lagi cuba mempertahankan amalan menghantar kad ucapan kepada kenalan-kenalan rapat dan jika ada balasan daripada mereka sudah cukup memberikan kepuasan dan keseronokan menyambut musim perayaan.

Bila sesetengah orang berkata, "Lecehlah nak hantar kad-kad ucapan ni! Hantar sms lagi senang. Sekali hantar pun dah 10,20 orang." Ye ke? Nak hantar banyak-banyak sekaligus pun kredit tu kenala ada, ye tak? Tak ada susahnya, just tulis alamat, tampal setem dan masuk je dalam peti pos tu. Apa yang lecehnya? Nak pegi pejabat pos beli setem? Alahai, bukannya kena beratur panjang-panjang pun kalau nak beli setem aje. Habis tu? Nak beli kad ucapan yang mana satu? Alohhh, tu lagi senang, beli je yang 1 peket ada 5, 10 keping tu kan senang. Tak payah nak pilih yang mahal-mahal pun. Yang penting ada tanga ingatan kita pada si penerima di sana.

Aku pernah ada senarai panjang teman-teman berserta alamat mereka dan bila musim-musim perayaan termasuk jugalah hari ulang tahun kelahiran, senarai itulah antara perkara terpenting buat rujukan aku. Selalunya ada tak kurang 20 orang yang menjadi penerima tetap kad ucapan yang akan aku hantar. Tapi itu dulu. Sekarang aku pun turut hilang semangat menghantar kad ucapan. Sebabnya? Setem dah 'naik harga'! Untuk hantar sekeping kad kena letak setem 60 sen, kirala kalau aku nak hantar 20 keping kad? Sudahnya aku terpaksa kurangkan jumlah penerima kad ucapan kepada 10 orang je tahun ni.

Aku berharap aku masih boleh teruskan amalan mengirimkan kad ucapan pada masa-masa akan datang. Sebab aku percaya pada ikatan yang sedia terjalin akan dapat dieratkan lagi dengan kehadiran sekeping kad ucapan tanda pengganti diri.