Saturday, June 25, 2011

Masih ada yang setia

Peluang untuk bersama teman-teman sepersekolahan dulu tak aku sia-siakan. Barbeku dan bermalam di rumahnya nampak seperti satu acara hujung minggu yang menyeronokkan. Idea oleh Amani ini mungkin kelihatan seperti majlis reunion kecil-kecilan tapi bagi aku inilah peluang yang takkan aku lepaskan untuk berkumpul kembali dan bercerita tentang zaman sekolah lalu.


Bersama-sama yang turut serta adalah McZack, Enon, Gna dan Farah rasanya tak cukup semalaman untuk berborak sakan mengimbau kisah-kisah dulu kala tika di bangku sekolah. Antara kami ada yang satu kelas dan juga yang sama-sama menyambung pelajaran di IPTA yang sama. Selain aku dan Gna, Amani, McZack dan Farah bekerja di sini manakala Enon seorang guru di Sarawak. Selepas habis di Naim, aku dapat masuk UM dan bila di KL barulah aku dapat tahu Enon pun belajar di situ. Gna pula di UIA. Antara kami McZack adalah yang paling bertuah kerana dapat belajar hingga ke Negara matahari Terbit sana. Seperti yang telah dijangka, banyak cerita yang dibualkan hingga tak sedar oleh kami malam telah berlalu hingga ke pagi

Esoknya, kami menikmati sarapan pagi ala barat (mungkin ala bujang koboi lebih sesuai kot) dengan apa yang masih berbaki semalam. Sambil menonton sebuah movie bersama, kami benar-benar penuhi masa bersama dengan sebaik mungkin. Hampir tengahari, kami mula bersiap untuk pulang. Farah yang terpaksa pulang awal kerana urusan keluarga. yang lain menaiki kereta Amani, kami menghantar Enon pulang ke rumah. Seterusnya kami berempat yang tinggal; aku, Amani, McZack dan Gna singgah di sebuah kedai berdekatan rumah Enon untuk makan. Seterusnya kami teruskan perjalanan menghantar pulang. Kemudian kami kembali ke rumah Amani kerana dah hampir habis waktu Zohor ketika tu. Setelah selesai, aku dan McZack mula bergerak meninggalkan kediaman Amani dan kembali ke rumah masing-masing.

Sunday, June 5, 2011

Berbudi pada yang berbahasa

Peranan dan komitmen aku bebar-benar dituntut sepanjang bulan ni. Bila nenek aku jatuh sakit dan dimasukkan ke wad di HUSM, aku antara yang menjaga nenek di sana. Nenek sakit agak lama, punca daripada demam dan terpaksa dirawat di sana. Walaupun mak dan ayah saudara aku semuanya pulang melawat nenek, mereka tak dapat lama menjaga nenek di hospital. Kerana kerja dan anak-anak yang perlu ke sekolah, mereka hanya tinggal kurang seminggu menjaga nenek.

Bila aku dipanggil untuk bermalam di wd menjaga nenek, mulanya aku rasa berbelah bagi. 'Kenapa masih panggil aku sedangkan mereka pun boleh tolong tengokkan?' Tapi bukan aku untuk bersikap kurang wajar begitu, disebabkan ketika itu ayah tiada di rumah kerana mengiringi pasukan bola sepak ke perlawanan di Sabah aku harus memikirkan keadaan mak dan adik-adik di rumah juga. Aku tersepit antara tanggugjawab dan amanah sebagai seorang anak. Hanya bila aku hubungi ayah, barulah aku dapat buat keputusan. Aku terima tugas menjaga nenek di wad semalaman kerana memikirkan sepupu aku juga telah menjaga nenek selama 3 hari berturut-turut.

Bila ayah tiada, tanggungjawab di rumah jatuh ke bahu aku dan sebab inilah aku berasa serba salah. Seboleh-bolehnya aku ingin gembirakan semua pihak dan jalankan tanggungjawab aku sebagai seorang anak. Alhamdulillah selepas lebih seminggu nenek di wad, keesokan harinya selepas aku menjaga nenek, dia dibenarkan keluar. Saat itu aku rasa pengobanan aku berbaloi.

*********************
Aku tak sangka aku akan diminta untuk membantu sambutan hari keluarga di kawasan tempat tinggal aku. Bila Kak Endang hubungi aku untuk temankannya membeli barang-barang untuk kegunaan pada hari tersebut, aku fikir peranan aku taklah seberapa. Rupa-rupanya aku akan menolong dia dan keluarganya menguruskan hari keluarga yang akan diadakan dua hari lagi. Aku ditugaskan untuk menyediakan hadiah-hadiah kepada pemenanag untuk setiap kategori dalam pertandingan mewarna. Mujurlah aku punya sedikit pengalaman dalam penyediaan hadiah pertandingan. Walaupun ada sedikit lebihan bajet, namun segalanya dapat aku usahakan dengan baik.

Hari keluarga di kawasan Dusun Muda itu akan dihadiri oleh YBhg Dato' Fatmi. Seluruh penduduk di kawasan itu menyambut baik penganjuran majlis ini dan sama-sama telah bergotong royong menyediakan makan dan minuman. Seekor lembu ditumbangkan untuk majlis ini. Paling seronok bila aku dapat mengajak Mak dan adik aku ke majlis itu. Di akhir majlis, aku ditugaskan untuk menjadi penerima hadiah bagi wakil pengadil. Hamper hadiah itu aku terima sendiri daripada Dato' Fatmi dan saat itu aku rasa sedikit bangga menjadi tumpuan sekalian yang hadir pada hari itu. Segala penat lelah aku berbaloi dan aku takkan menolak lagi untuk menghulurkan bantuan jika diperlukan kelak.