Showing posts with label Ramadhan 1434H. Show all posts
Showing posts with label Ramadhan 1434H. Show all posts

Sunday, August 4, 2013

Hari-hari terakhir Ramadahan sebelum ianya pergi

Rasa cepatnya masa berputar, sedar-sedar saja dh nak sampai ke penghujung. Yang tiba pasti pergi, yang kini bertukar dengan yang akan datang. Masa sebenarnya begitu dekat dengan kita walaupun kebanyakan kita tak pernah sedar dan tak endah tentangnya. Bila dah berakhir, barulah terngadah nk menyesal pun dah tak guna.

Pencarian kita masih bersisa beberapa malam terakhir ni. Masih sempat untuk menemukan rahsia seribu bulan yang paling istimewa hanya untuk mereka yang yakin dan bersungguh mahu mendapatkannya. Walaupun kita mungkin berjaya 'memenangi' perang melawan nafsu sepanjang sebulan Ramadhan namun malam rahsia ini tidak tertanding jika sesiapa yang menemukannya.

Ketika ini, lagu-lagu raya rancak berkumandang di corong-corong radio harapnya kita janganlah terlalu ghairah 'meraikan' bakal tibanya Syawal. Kerana kebanyakan kita yang terlalu teruja dengan persiapan raya telah 'beralih' niat tanpa sedar hari-hari sepuluh Ramadhan terakhir pergi begitu saja. Peringatan ini juga untuk diri sendiri, sebab saban malam berjaga nak siapkan biskut raya :P

Kepada anak kota dan perantau yang dah mula mengatur perjalanan pulang ke halaman masing-masing, ingatan percuma ini untuk mereka agar sentiasa berhemah dan sabar ketika di jalan raya. Yang memandu kereta atau dan yang menaiki bas/keretapi/'belon', diharapnya patuhilah peraturan jalanraya, sayangilah nyawa mereka yang anda bawa bersama dan berehatlah secukupnya jika terasa letih. Biarlah kepulangan kita disambut gelak tawa sanak saudara di kampung bukan dengan tangis sayu kerana yang dinanti tak kunjung tiba.


Pencarianku belum berakhir
aku mohon keampunan dariNya
diri ini begitu kerdil berbanding zatMu
Pandulah malam-malam hening ini
supaya aku tidak leka dari mengagungkanMU

Pencarian malam seribu bulan
Bukan sesuatu yang mustahil
bagi mereka yang yakin dan inginkannya
Rahsia malam itu hanya pada mereka
yang benar-benar dekat kepadaNya

Pencarianku di malam ini
diiringi basahnya bumi dengan rahmatMU
Aku sendirian merenung jauh ke langit
muhasabah dalam kerendahan hati
Terasa dingin malam menyapa lembut 
melewati tingkap kamarku

Pencarian ini mungkin yang terakhir
aku mohon dengan segala redha di hati
Engkau rahmatilah keluargaku
Tempatkan Bondaku di tempatMu yang tertinggi
menunggu tibanya masa bila nanti
aku kan bertemu dengannya lagi.

Tinta Emas, 26 Ramadhan 1434H / 4 Ogos 2013, Kota Bharu

Tuesday, July 9, 2013

Salam Ramadhan 1434H

Ketibaan 1 Ramadhan tiap kali didahului dengan solat tarawih pada malam pertama dan malam inilah suasana kelam dan gelita itu tampak jauh berbeza berbanding malam-malam yang sebelumnya. Bukan pada aku saja, perasaan pada malam pertama tarawih pada bulan Ramadhan pasti dapat dirasai oleh setiap muslimin dan muslimat yang benar-benar menantikan ketibaan bulan barakah ini.

Namun tahun ini, rasa teruja dan rindu itu bertambah sayu bilamana kali ini orang tersayang tidak lagi bersama aku dan keluarga. Itulah kerinduan yang memuncak sekali bagi aku tika menyambut hari pertama Ramadhan kali ini. Selama Bonda tercinta pergi, aku usahakan sekerap daya mungkin untuk menziarahi pusaranya, agar Bonda tak rasa sunyi di sana.

Beberapa malam lepas, mimpi aku dipenuhi dengan ingatan indah Bonda tercinta. Bagaikan semua itu terjadi semalam dan terasa Bonda masih lagi di sisi. Tapi mungkin juga itu semua mainan tidur semata. Yang pastinya, jika benar hati kita terlalu merindui seseorang, pastinya minda akan sentiasa berusaha membangkitkan kembali memori bersamanya. Dan, itulah yang aku alami.

Syukur padaMu Ya Rabb, Ramadhan kali ini dapat aku lalui sekali lagi. Mungkin ini yang terakhir buatku...hanya Engkau Yang Maha Mengetahui. Aku rindukan maghfirahMu, aku mohon keredhaanMU, aku tangisi keampunan dariMu dan aku pasrah dengan ketentuanMU. Selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak, Mama. Along sangat rindukan saat bersahur dan berbuka dengan Ma....

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Kepada;
Ayah, Abe dan adik-adik...raikanlah bulan ini dengan kebaikan dan kerendahan hati...
Sahabat-sahabat, rakan taulan dan kawan-kawan semua, mohon maaf atas salah silap yang lalu..
Seluruh sanak saudara jauh dan dekat, tabahkanlah mengharungi ujian dan cabaran selama sebulan ini,
dan kepada seluruh umat Islam...khususnya yang kini masih diuji, didatangi saat-saat getir mengharungi peperangan, penindasan dan juga pergolakan -Syiria, Palestin, Mesir & yang senasib dengannya, tunjangi kekuatan dengan doa dan solat, hanya Dia adalah tali untuk kamu berpegang. Kami di sini senantiasa mendoakan panji-panji Islam akan terus gah berkibar di tanah airmu.