Monday, May 31, 2010

Cita-cita vs. Tanggungjawab

Selama ini aku fikir akulah 'yang pertama'. Pertama dalam hampir setiap perkara sepanjang hidup aku, walaupun hakikat sebenarnya aku nombor dua. Dari zaman sekolah, mula dengan sekolah rendah lagi akulah yang pertama dapat pegang jawatan penting di sekolah dan akhirnya dapat score penuh dalam UPSR. Kemudian bila di sekolah menengah, aku juga jadi yang pertama terlibat dalam ko-kurikulum hingga ke peringkat kebangsaan. Akhirnya selepas mengharungi zaman kampus yang penuh suka duka, akulah yang pertama tamatkan pengajian dengan segulung ijazah. Hingga kini, aku juga yang pertama menyambung pengajian ke peringkat sarjana.

Mungkin bukan aku yang pertama yang dapat melanjutkan pelajaran ke luar negara, bukan juga yang pertama yang telah bekerja setelah tamat pengajian. Namun bila disoal bila akan aku tamatkan pemburuan cita-cita aku ini, aku jadi serba salah. Aku tak salahkan adik aku yang telah tamatkan pengajiannya dan telah bekerja dalam bidangnya. Mungkin sebab aku terlalu mengambil masa yang panjang untuk menghabiskan pengajian ini, dia sedikit terganggu. Memikirkan sampai bila dia harus terus 'menanggung' keluarga sebagai anak yang bukan 'yang pertama' yang bekerja, sampai masanya dia ingin memulakan hidupnya sendiri.

Adakah aku terlalu obses untuk mengejar cita-cita hingga adikku menganggap aku telah mengenepikan tanggungjawab sebagai seorang anak, seorang yang sepatutnya jadi yang pertama? Aku bukan mengambil mudah bila disoal tentang soal tanggungjawab terhadap keluarga, terhadap ibu dan ayah. Kalau terlalu mendesak aku sanggup menangguhkan pengajian aku yang hanya tinggal setahun dua lagi untuk tamat....atau jika bukan rezeki aku, biarlah aku lupakan terus untuk menerima gelaran sarjana.

Nampaknya, terlalu banyak halangan dan dugaan untuk aku mencari apa yang aku impikan. Percayalah, aku di sini bukan sedang bergembira, jauh sekali bersenang lenang dengan biasiswa yang diterima saban bulan. Walaupun aku tidak 'wajib' untuk memberikan sumbangan kepada ibu dan ayah tetapi aku turut menanggung hal keluarga yang mungkin antaranya bukan dalam pengetahuan adik-beradik yang lain. Hidup di tempat orang, sendirian dan jauh daripada pandangan ibu bapa bukanlah semudah yang kau sangkakan. Dalam diri ini setiap waktu dan saat sentiasa berperang dengan kemahuan dan keperluan. Mungkin tidak kau ketahui, banyak yang telah aku ketepikan, semuanya demi ibu dan ayah tercinta dan juga demi adikku yang telah banyak berkorban untuk keluarga.

Untuk adikku yang teramat aku kasihi,
jika kau ingin berhenti daripada memikul amanah sementara ini untuk memulakan hidup sendiri bersama yang kau kasihi, sebagai yang pertama aku berikan keizinan. Aku takkan menghalang apa lagi hendak membantah keputusanmu setelah apa yang kau lakukan untuk keluarga hingga hari ini. Percayalah, aku sedang berusaha untuk mengubah nasib keluarga, nasib kita semua. Tiada yang akan menghalang walaupun cita-citaku yang jadi taruhannya. Tetap, tanggungjawab kepada keluarga akan terus jadi 'yang pertama' dalam diri ini.

Thursday, May 27, 2010

Bila Kebenaran Didustai...

Masalah besar melanda di tempat kerja...satu kehilangan yang membuatkan setiap orang tak senang duduk. Mana taknya bila barang yang hilang itu bernilai tak kurang RM14K. Ironinya benda tersebut begitu kecil saiznya berbanding dengan harganya. Dan akulah yang dipersalahkan. Sungguh tak adil! Kalau diikutkan semua patut dipertanggungjawabkan. Oleh kerana aku bukanlah 'favourite' di situ, semua tuduhan nampaknya berasas ditujukan kepada aku. Hanya DIAlah yang tahu bagaimana perasaan aku bila dituduh menyebabkan kehilangan itu dan meminta aku menggantinya semula.

Marah, benci yang meluap-luap menjalar ke segenap urat nadi aku. Terasa bagai ingin ditangan-tangankan saja semua mulut-mulut tanpa insuran itu. Hampir-hampir saja aku hilang pertimbangan seketika. Astaughfirullah al'azim!! Namun aku bukan yang orang yang suka mengambil jalan kekerasan sebagai penyelesaian, apatah lagi untuk berperang mulut. Aku lebih suka ambil jalan damai dan pendekatan secara psikologi. Aku dah pun jelaskan kedudukan yang sebenar, yang aku bukanlah orang yang patut dipersalahkan seratus peratus dalam masalah ini. Hujah-hujah, bukti-bukti dan saksi telah aku berikan. Namun bila hati, mata dan fikiran telah diresapi amarah dan ketakutan, bentangkanlah apa pun...takkan terkesan sedikit pun tuduhan tanpa usul periksa terhadap aku itu.

 Seorang lelaki bertanya:“ Wahai Rasulullah sesungguhnya aku mempunyai beberapa orang kerabat, yang hubungan aku erat dengan mereka tetapi mereka memutuskannya. Aku berbuat baik kepada mereka tetapi mereka berperangai buruk kepadaku, aku bersabar mengahadapi sikap mereka itu tetapi mereka menganggap sikapku itu adalah bodoh.” Kemudian baginda menjawab,” Sekiranya benar sepertimana yang engkau katakan itu maka seolah-olah engkau menyuap mereka dengan abu yang panas, sedangkan engkau sentiasa mendapat pertolongan daripada Allah Taala selama mana engkau berada di dalam kebenaran atas perkara yang demikian itu”. 
~Riwayat Muslim~

Aku telah berikan jalan penyelesaian bersama yang tidak menyalahkan sesiapa tetapi jari-jari mereka tetap menunding ke arah aku. Lantas aku diamkan diri. Biarlah, aku telah beri segala yang aku mampu, walhal aku turut mengajak mereka semua bertanggungjawab bersama kerana barang yang hilang adalah harta bersama. Jika semua yang aku usahakan tetap ditolak, aku mohon padaNya agar diberikan petunjuk dan kebenaran serta kekuatan padaku untuk menghadapai ancaman dan tuduhan melulu ini. Aku yakin aku tak bersalah kerana aku benar menyatakan yang sebenarnya. Mohonku biarlah segala dugaan ini berakhir dengan sebaik-baiknya....





Friday, May 21, 2010

Bila yang Disayangi pergi meninggalkan, Bila yang Menyayangi berpaling tanpa kata

Masa-masa bersendirian adalah masa yang paling bermakna dalam saat putaran kehidupan seseorang. Tatkala berseorangan pelbagai perkara menerobos masuk ke dalam minda~ mengarahkan akal dan kotak fikiran saling bekerja untuk mencari sebab, punca serta kata pemutus akan sesuatu hal. Mungkin juga sesekali perkara lampau berlegar-legar di alam pra sedar, membawa diri kembali menayangkan kenangan-kenangan suka dan duka di layar serebrum.

Lebih-lebih lagi jika diri dalam suasana melankolik...satu-persatu gambaran lalu akan menerpa dalam ingatan. Aku memejamkan mata, cuba menolak kepingan-kepingan kenangan lalu itu daripada terus menguasai fikiran. Semuanya sungguh menyakitkan walaupun antaranya ada saat indah dan gembira.

"Wahai diri...kamu hanya menCINTAi ALLAH tatkala kamu mendapat nikmat. Sebaliknya apabila datang suatu bencana dan cubaan kepadamu, kamu segera berpaling dan lari seakan-akan ALLAH itu bukan penyelamatmu, bukan kekasihmu. Seharusnya seseorang hamba itu nyata akan DIA, pabila menerima ujian daripadaNYA. Apabila menimpa kepadamu ujian dan cabaran daripada ALLAH sedangkan kamu tetap bertahan dan tabah menerimanya, maka kamulah orang yang menCINTAi ALLAH dengan sesungguh hatimu. Sebaliknya jika haluanmu berubah, maka jelaslah kejahilanmu, sia-sialah perbuatanmu yang lalu dan berlalu begitu sahaja."

Bukanlah kudratku melawan takdirNYA. Luka di hati memang tidak terucap, tidak tergambar peritnya. Meskipun perasaan ibarat telah mati, malangnya jasad ini masih bernyawa dan nadi masih berdenyut. Luka itu pastinya meninggalkan kesan yang mendalam, namun kehidupan mesti diteruskan. Hati ini nekad dengan keyakinan bahawa ALLAH itu lebih tahu apa yang terbaik untuk diri ini. Tidak pula DIA menimpakan ujian untuk menzalimi hambaNYA, melainkan untuk mendidik dan menyedarkan bahawa tidak ada satu pun di dunia ini kan jadi milik kekal manusia meskipun sesuatu itu teramat disayangi dan dikasihi. Datang dan pergi bagi segala yang ada di dunia ini adalah dengan kehendakNYA. Moga keampunan yang ku pohon menjadi penawar buat diri yang penuh dengan kekhilafan.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Dulu, aku sendirian di sini
Tapi dikau hadir mencuit sepi diri ini
Bagai mimpi kaulah penyeri hidupku
aku terasa dunia telah kembali aman

Namun, tak semuanya indah berpanjangan
kau hadir sebagai singgahan
sirna yang kurasakan cukup indah
bila bersamamu walau sekejap.
Aku bukan sesal, jauh sekali terkilan
Kau dan aku punya destinasi sendiri
Aku gembira kau dapat aku kenali
Buatku sempurna sebagai seorang perempuan.

Bisakan aku bertemu lagi denganmu?
atau aku terpaksa sendirian lagi
menunggu menanti yang tak kunjung tiba
menghitung waktu yang kian berlalu.
Senantiasa aku titipkan doa buatmu
agar dikau sejahtera di sana

Ya Rabb, kurniakanlah aku
seorang teman hidup
yang dapat membimbing dan menjaga diriku
andai hanya inilah waktu yang aku ada
untuk aku rasakan cinta sesama makhlukMu.

Kiranya telah tertulis tiada lagi cinta buatku
cukuplah cintaMU pengubat sepi, penyuluh hidupku
Jadikanlah aku tabah menghadapi dugaan ini.


Tuesday, May 18, 2010

Hadiah Buatmu (Bahagian 2)


Dengan keputusan SPM yang bagiku cukup meyakinkan, aku memohon untuk memasuki salah satu IPTA melalui permohonan UPU. Berbanding dengan kebanyakan kawanku yang lain, aku tidak memohon untuk mengikuti program matrikulasi atas saranan Ayahku kerana bimbang aku tidak mampu mengikutinya. Apa pun, dulu aku tidak kisah tentang keputusan yang dibuat untukku, namun kini....aku makin jelas dengan keputusan Ayahku. Mungkin jika aku berkeras untuk teruskan juga mengikuti program matrikulasi tersebut, aku tidak mungkin akan terfikir untuk menjejakkan kaki ke universiti tertua di Malaysia sepertimana yang berlaku pada 7 tahun lepas. Aku, pada 3 tahun lalu pula telah berjaya bergelar graduan Universiti Malaya dengan mendapat kepujian dalam ijazah pertamaku. Selama 4 tahun aku berhempas pulas berkejar dengan nota kuliah, berlari dengan ujian dan peperiksaan, memberikan pengalaman yang cukup berharga selama aku bergelar seorang mahasiswi.

Liku-liku hidupku dalam kehidupan kampus bermula bila aku diterima masuk ke Akademi Pengajian Islam UM Nilam Puri (APIUMNP). Pada mulanya aku agak keberatan dengan pilihan itu kerana varsiti itu bukanlah pilihan utamaku. Setelah tiga kali aku menghubungi pusat panggilan UPU untuk meminta pengesahan permohonanku, aku menerima dengan berat hati. Walaupun lokasinya cuma 30 minit perjalan dari rumah aku, tapi aku tak ingin ke sana kerana pada hematku, "Orang bila dapat ke universiti mestilah jauh daripada kampung halaman....ini dekatnya tak sampai 3 kilometer sahaja, sama macam masuk ke Tingkatan Enam saja". Namun itulah takdir daripadaNya yang telah ditentukan untukku. Pada hari pendaftaran di APIUMNP, aku sengaja melewatkan ketibaan ke sana sebagai tanda protes. Tapi Ayah hanya mengikut rentak aku tanpa banyak soal kerana dia sememangnya telah maklum dengan perangaiku yang suka membantah dengan tingkah laku. Akhirnya, setelah selesai urusan pendaftaran pelajar baru dan berkenalan serba sedikit dengan senior dan tempat pengajianku yang baru itu, aku pasrah dan berjaya memujuk diri untuk terus bertahan hingga ke akhirnya.

Berkat doa dan tekad untuk tidak mengalah, aku berjaya mengharungi setahun setengah pengajian di APIUMNP. Sungguh banyak kenangan yang aku lalui selama mengikuti kuliah, menyiapkan kerja tugasan dan menduduki peperiksaan bersama teman-teman sepengajian yang lain. Seterusnya kami semua berpindah ke kampus induk, UMKL untuk merasai sendiri kehidupan sepenuhnya sebagai mahasiswa/wi UM. Tahun-tahun seterusnya memperlihatkan kematangan dan komitmenku menguruskan masa dan jadual harian dengan daya usaha sendiri. Di samping menghadiri kuliah dan bersengkang mata dengan kerja tugasan, aku amat bertuah kerana masih berpeluang melibatkan diri dengan kegiatan persatuan dan badan pelajar di fakulti. Banyak perkara dan pengalaman yang aku dapat selama aku bergiat dalam kegiatan pelajar tersebut, yang mana semuanya belum tentu aku boleh dapat dari dalam bilik kuliah. 'Pengalaman' itulah yang telah membentuk aku sebagaimana aku menjalani kehidupan sekarang.

Hari ini, aku masih lagi seorang PELAJAR, tetap seorang ANAK dan juga adalah SAHABAT dan TEMAN buatmu....GURU-GURUku, IBU AYAH tercinta dan RAKAN taulan yang telah bersama mencorakkan perjalanan kehidupanku. Tidak cukup dengan kata-kata dan penghargaan untuk diberikan kepada kalian bagi menggambarkan betapa besarnya dan pentingnya peranan kalian dalam merencanakan diri ini.

Sempena Hari Ibu dan Hari Guru yang diraikan, diri ini dengan serendah-rendah hati ingin mengucapkan jutaan TERIMA KASIH buat semua warga pendidik dan pensyarah yang telah mengajar, mendidik dan membimbingku secara langsung atau tidak langsung. Juga buat BONDA & AYAHANDA yang juga guru pertamaku, jika dihitung segala bintang di langit takkan terhitung dengan jasa dan keringat kalian membesar dan membimbingku hingga menjadi manusia berguna seperti hari ini.

Inilah hadiah buatmu ~ Semoga kalian sentiasa diberikan KESIHATAN dan KESEJAHTERAAN berpanjangan, dikurniakan REZEKI yang melimpah ruah serta mendapat KEBERKATAN HIDUP di DUNIA & di AKHIRAT~ \(^_^)/


Hadiah Buatmu (Bahagian 1)

Terkenang zaman waktu di alam persekolahan dulu...banyak kenangan pahit manis, suka duka dan gelak ketawa. Bersama teman, rakan, sahabat, kawan dan tak lupa para cikgu dan guru yang banyak membentuk diri hingga kini, saat ini...masih berpandukan ajaran dan bimbingan mereka. Tak ternilainya pengalaman dan kenangan lalu semasa masih bergelar murid dan pelajar sekolah.

Dunia buku dan penaku bermula di sebuah sekolah di bandar KotaBharu, iaitu
Sekolah Rendah Kebangsaan Islah (sekarang SK Islah) atau singkatannya SERKIS. Tahun 1991 aku menjejaki bangku darjah satu dengan rasa gementar dan bangga...GEMENTAR kerana dunia bakal berubah dan aku akan berdepan dengan ramai lagi budak sebayaku, dan aku BANGGA kerana aku akan menjadi harapan ibu dan ayahku bermula hari itu. Selama enam tahun berikutnya aku setia bergelar pelajar di SERKIS. Dalam jangka masa itu, banyak perubahan yang berlaku di sekolah kesayangan ini, aku telah saksikan dan alaminya sendiri. Guru Besar bertukar beberapa kali, pertukaran guru-guru dan juga rakan-rakan sekelas serta perubahan yang berlaku kepada struktur bangunan SERKIS sendiri.

Aku sendiri, bermula hari pertama di Tahun 1 Merah hingga ke Tahun 6 Cemerlang, aku telah berjaya memegang pelbagai jawatan penting di sekolah. Aku pernah menjadi ketua kelas, penolong ketua kelas, pengawas pusat sumber sekolah dan jawatan paling tinggi adalah sebagai pengawas sekolah (walaupun bukan aku ketua/penolong ketua pengawasnya ;p). Semua pengalaman ini cukup memberi kesan dalam perjalanan hidup aku seterusnya.

~Penghargaan buat guru-guru SERKIS (dulu dan kini) yg masih mengingatiku sebagai murid kalian...Cikgu Normah, Cikgu Tg. Noor Ashraf, Cikgu Mohd Zaid Mohd Zain, Sir Pasupathy Tarusu, Cikgu Anizan, Cikgu Ang John Sun dan lain-lain (cuma menyebut beberapa nama yang masih diingati), jasa dan kenangan bersama cikgu-cikgu semua masih segar dalam ingatan ^__^ ~

Aku tinggalkan persekolah rendah dengan pencapaian cemerlang dalam UPSR, dengan keputusan 4A (tahun 1996 tahun terakhir sebelum subjek sains ditambah dalam UPSR). Aku berjaya menempatkan diri di sebuah sekolah menengah agama tersohor di bumi Tanah Serendah Sekebun Bunga ini. Tahun 1997 aku mulakan sesi pembelajaran Tingkatan 1 di
Sekolah Menengah Kebangsaan (A) Naim Lilbanat, dengan kemasukan panggilan kedua. Pengajianku makin sukar dan aku kian menggalas harapan lebih besar kepada ibu dan ayah. Suasana cukup berbeza kerana sekolah satu jantina ini memberi aku peluang untuk bersaing sesama kaum hawaku sendiri dengan lebih disiplin dan terkawal, apatah lagi ini adalah sekolah agama.

Aku lebih berpeluang melibatkan diri dalam pelbagai kegiatan sukan dan persatuan ketika di peringkat menengah ini. Lebih banyak kejayaan dengan kegembiraan, lebih ramai rakan dan sahabat dalam kenangan dan aku sendiri telah berjaya mengenali kebolehan dan potensi diri sendiri. Alhamdulillah, akhirnya aku dapat buktikan kesabaran dan kesungguhan aku selama 5 tahun di sana dengan memperoleh keputusan yang baik dalam
PMR 1999 dan SPM 2001. Ini semua tak mungkin aku capai kalau bukan dengan dedikasi dan usaha guru-guru dan juga rakan-rakan sekelas/setingkatan.
~Saya kalungkan rasa bangga dan jutaan terima kasih kepada para guru SMKAN amnya dan khususnya buat guru-guru yang berusaha keras mengajar kelas Tingkatan 5 Ummu Habibah (5UH) tahun 2001...kalianlah batu loncatan untuk saya terus maju ke depan. Tanpa jemu dan kesungguhan kalian memberi tunjuk ajar, takkan saya akan sampai di sini hari ini. Terima kasih seagungnya untuk semua (",) ~

Dan duniaku menginjak ke destinasi berikutnya dalam perjalanan kehidupanku sebagai seorang anak, pelajar, rakan dan sahabat.

bersambung.....

Monday, May 17, 2010

KeranaNYA kita Bertemu dan Berpisah

PERTEMUAN...
di antara dua insan
mewujudkan satu rasa antara dua hati
membuahkan kasih dan sayang
mengikat tulus dan ikhlas di jiwa
anugerah Yang Esa bagi hambaNya

PENCARIAN...
erti kasih dan sayang
pastinya ada jiwa yang terluka
dilanda dilema dan kecewa
pilihan di tengah persimpangan
cintakan Allah atau manusia

CINTA...
hadirnya tak kelihatan namun dirasai
fitrah manusia ciptaanNya
dipenuhi untuk mencari redha Ilahi
jika cinta tak berpandu
hawa dan nafsu beraja di hati
tiada lagi rasa yang tertinggal

PERPISAHAN...
sungguh memeritkan, begitu memilukan
menguji keteguhan diri
adakah kita tabah dgn ketentuanNya
benarkan ini dugaan dariNYA
kelak kan tiba saat bahagia
bertemu untuk bersama selamanya

Pertemuan dan perpisahan itu milikNya
bukannya milik kita
biar terpisah jika itu kehendakMu
mendidik nafsu menundukkan mazmumah
jangan ada walau secebis perasaan ingin memiliki
kerana itu adalah sifatNya Yang Maha Pemilik
menjauhkan dari sifat hamba padaNya
bertemu dan berpisah hanya keranaNya

Aku redha dan aku pasrah...


Monday, May 10, 2010

Ucap dan katakanlah semahumu, DIA bisa mendengarnya...

Bila terasa gembira, selalunya kita kan terus merainya dengan sesiapa yang telah membuatkan kita gembira dan selalunya kegembiraan itu takkan lama. Tapi bila kita sedang sedih, kecewa dan patah hati, tak pula kita 'merainya' dengan mereka atau perkara yang membuatkan kita berduka begitu dan selalunya kita berkabung dengan kesedihan itu selama yang kita mahu, berharap agar kesedihan itu hilang.

Bagi yang 'sedar' bahawa apa sahaja yang berlaku adalah daripadaNya, kehendakNya dan dengan izinNya, mereka sentiasa berharap dan berdoa kepadaNya tidak kira di waktu senang atau susah. Kita lupa dan alpa, kesenangan yang diberi sepatutnya diraih dengan rasa syukur dan berpadaan sahajalah meraikannya dan ketika susah melanda, bukan ratapan tangis hiba yang sepatutnya disambut tetapi dengan doa supaya dirawat hati yang lemah dan mohon diberi kekuatan menghadapinya segala sesusahan dengan tabah.

Berbahagialah bagi mereka yang sentiasa terbuka hatinya dan sentiasa ingatannya pada Yang Esa sama ada ketika senang atau susah, gembira atau sedih. Sesungguhnya segala sesuatu yang berlaku pada setiap diri kita ada hikmah dan musababnya. Cuma kita saja yang perlu sentiasa ingat dan redha untuk mencari jawapannya.