Wednesday, October 20, 2010

Melodi indah penawar hati yang resah

Seketika dunia amnya dan Malaysia khususnya, seakan dilanda histeria bila Maher Zain bertandang di sini. Walaupun tidak berkesempatan menghadiri acaranya, namun sambutan yang meluas daripada pelbagai media elektronik dan media cetak ditambah dengan peminat-peminat dari seluruh pelusuk Malaysia sangat luar biasa yang sememangnya telah lama menantikan kedatangan penyanyi kelahiran Lubnan-Sweden itu. Begitulah keadaannya menggambarkan betapa meriahnya sambutan untuk beliau sepanjang keberadaannya di sini sehingga melonjakkan fenomena 'Maher Mania' di kalangan para peminatnya. Maher Zain yang bertandang ke sini adalah untuk memenuhi jemputan pihak Raudhatus Sakinah untuk mengadakan persembahan pada Showcase “Save The Soul” pada 14 dan 15 Oktober jam 8 malam bertempat di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam.

Bagai belum reda dengan kedatangan MZ di sini, lawatannya ke Malaysia telah meninggalkan kesan yang sungguh mendalam di hati para peminatnya di sini, masih terngiang-ngiang dan rancak dimainkan di radio-radio tempatan hingga kini. Buah tangan beliau berupa lagu-lagu gubahan beliau tersendiri sungguh memikat hati dan menjadi alunan indah di telingan sesiapa saja yang mendengar. Liriknya yang mampu menyentuh hati ribuan malah mencecah jutaan pendengar sungguh terkesan dengan mesej yang dibawa MZ untuk mendengar muzik-muzik berunsur Islam serta secara langsung kembali mendekatkan umat Islam kepada Yang Maha Pencipta.

Aku sendiri pun cukup tertarik dengan alunan merdu suara dan susunan liriknya yang begitu indah dan jelas maknanya. Aku harap Maher Zain dapat datang lagi ke Malaysia dengan konsert yang lebih besar, dan masa tu aku takkan lepaskan peluang untuk hadirinya sendiri...

Tinta Emas: Bila hati resah dan kepala serabut dengan masalah, dengarkan lagu-lagu seperti Insya Allah, Always Be There dan Hold My Hand, semua kekusutan itu mereda. Hati jadi tenang dan rasa bersemangat semula....




"Thank you Brother Maher, you have gave us a new way to enjoy Islamic music, so perfect and harmony. May Allah bless you"


Monday, October 11, 2010

Kenangan 10-10-10 :: Apa istimewanya?

Sungguh teruja dan terpegun bila menonton langsung persandingan tergah tahun ini antara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor dengan pasangan Datin Dr Halina Mohd Yunos. Wahhhh!! Itulah yang dapat diluah sepanjang setengah jam tayangan berlangsung. Terasa teramat bertuah sang kedua mempelai dirai malam itu. Majlis yang sungguh gilang gemilang, ditaja pihak televisyen swasta yang membuat liputan serta dihadiri tetamu yang bukan-bukan calang-calang; daripada pihak Raja dan Sultan serta kerabat diraja, PM dan menteri-menteri lagi....dan tentunya belanjanya pun tak terbilang la jawabnya.

Persandingan Pahlawan Melayu Di Istana Kayangan ...itulah tema yang ditarikan di majlis yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Pilihan tarikh juga menjadi tarikan, 10-10-10. Semoga berbahagia pasangan pengantin dan dikurniakan rezeki melimpah ruah. Itu cerita mereka yang telah selamat melalui fasa hidup yang tetap. Tarikh keramat itu tetap akan dikenang sepanjang lipatan sejarah. Bagaimana pula dengan aku? Kalaulah aku dapat melalui hari persandingan nan indah dengan pasangan pilihan hati sebegitu, alangkah bertuahnya diri. Terasa kan melayang ke kayangan pun ada.

Tapi, apa yang begitu istimewanya tarikh 10-10-10 pada diri aku? Apa yang pasti aku tidak meraikan apa-apa majlis atau sambutan pada tarikh tersebut. Cuma yang dapat aku kiaskan cuma angka 10. Banyak yang dapat aku tafsirkan daripada angka tersebut...

>> Aku terkenang 10 perkara paling terkesan dalam hidup aku yang telah berlalu, 10 perkara yang sedang aku lalui dan 10 perkara paling penting aku akan lakukan di masa depan.
atau

>> Aku boleh senaraikan 10 orang yang bermakna dalam hidup aku yang lepas, 10 orang yang memperngaruhi hidup aku sekarang dan 10 orang yang ingin aku kenal dan bersama di masa depan.


Tak semestinya tarikh menunjukkan sesuatu yang istimewa berlaku, mungkin mengingatkan kita tentang sesuatu atau seseorang. Aku sendiri mengingati beberapa tarikh penting yang berlaku dalam hidup aku. Hingga kini aku masih mengingati dan meraikannya....dengan cara aku sendiri. Nampaknya aku terlepas tarikh keramat tahun ni tanpa sebarang memori indah untuk dikenang.


Tinta Emas :: Menanti tanggal 11-11-11...mungkin sesuatu istimewa akan berlaku!

Friday, October 1, 2010

Pencarian yang mustahil

Rasa resah gelisah semakin sebati dalam diri. Sejak beberapa bulan ini, aku tak dapat berfikir dengan tenang. Ada saja yang datang mengganggu; panggilan-panggilan entah daripada siapa tak putus-putus menggegarkan telefon bimbit aku. Namun aku buat tak endah semua tu. Masih ada yang lebih penting yang harus aku tumpukan.

Rutin aku beberapa minggu ni berulang alik daripada kampus. Di sana aku akan duduk sama ada di laman perpustakaan, bilik bacaan fakulti, dataran fakulti atau di surau; melayari laman sesawang. Mencari apa yang perlu, mengemaskini apa yang patut dan yang pasti aku menanti sesuatu yang tak pasti. Bila difikirkan segala masalah aku berpunca daripada 'dia'. Tiap-tiap hari aku menunggunya di dalam talian agar aku dapat cari penyelesaian. Tapi semuanya sia-sia. Sepatutnya aku ke makmal untuk habiskan kerja-kerja yang tertangguh. Aku elakkan diri daripada menjelmakan diri aku di sana. Mungkin juga aku elakkan diri daripada mereka semua di sana. Tapi apa salahku?!

Masalah yang ditanggung ini cukup berat! Aku sanggup tinggalkan segala yang aku kerjakan sekrang tapi aku tak sanggup mengecewakan dua hati yang terlalu mengharapkan aku. Aku tersepit dalam dilema ini. Aku perlu habiskan pengajian ini dan dalam masa yang sama aku perlu mencari sesuap pengalas perut sendiri. Ditambah lagi masih banyak yang perlu aku jelaskan kepada beberapa kawan dan teman. Betapa beratnya dugaan yang harus aku pikul. Aku hidup dengan dunia walang aku sendiri. Sampai tersedar aku tak pernah menguntum senyum walaupun selama seminit dua.

Inikah hidup yang perlu aku tempuh? Jika beginilah adanya, aku akan luputkan gelak tawa dan senyum gembira daripada hati ini. Hidup dalam masalah dan tekanan mungkin telah sebati dalam diri aku. Teramat berat hati ini bila memikirkan yang aku juga harus lupakan niat untuk berteman. Tiada siapa yang dapat membantu, aku tak punya siapa untuk memohon bantuan; cuma DIA yang tak putus-putus aku cari dalam doaku. Mungkin suara aku masih belum sampai masanya untuk didengari, namun aku tetap akan terus meminta daripadaNYA. Kerana tiada apa yang mustahil yang tidak dapat dilakukan oleh zatNYA Yang Maha Agung.

Tinta Emas ~ Jika ada insan yang sudi menghulurkan bantuan, kiranya diri ini sungguh berbesar hati. Mengharapkan jika 'dia' yang dulu masih bersama, sekurang-kurangnya aku ada tempat untuk mengadu....