Showing posts with label Kehidupan. Show all posts
Showing posts with label Kehidupan. Show all posts

Sunday, October 20, 2013

Erti Sebuah Pengorbanan

Dulu aku suka sangat menulis, menconteng kata-kata dan mengubah tulisan sendiri. Tapi makin umur menginjak ke usia belia dewasa, minat itu makin pudar...bukan kerana punya minat yang lain tapi kekangan masa dan keperluan telah merubah rutin menulis itu menjadi suatu perkara yang amat sukar.

Tengah diam, sedang menonton cerita di kaca tv atau bersahaja di meja makan, idea itu pasti tercetus dengan sendiri, tinggal untuk diterap di atas kertas sahaja. Itu pun tidak berkesempatan, waima sekejap dek kerana tuntutan masa kepada hal yang lebih berkeperluan.  Ini hanya pengobanan MASA, bukan harta, wang ringgit atau tenaga lagi. Kita tak boleh tentukan apa yang tak dapat dilaksnakan sedaya yang kita inginkan. Bukan disebabkan kita tak mampu tapi mungkin kerana hal-hal lain, yang tak dapat dielakkan.

Dunia hari ini, ramai yang mengharapkan balasan atas setiap perkara yang dihulur. Bukan ihsan atau ehsan tapi 'bayaran' yang perlu diberi atas setiap perlakuan tersebut. Mata ringgitan di mana-mana, hanya iman di hati yang boleh jadi penghadang ke arah kegilaan duniawi ini. Sapa aku nak jatuhkan gelaran atas setiap orang? Tak, aku bukan sapa-sapa. Aku orang biasa, tak punya apa-apa. Tapi jangan ingat aku tak boleh jadi sapa-sapa.

Aidiladha baru-baru ni, aku kecapi erti pengobanan sebenar. Sebelum ni bukan aku tak tahu, tapi bila kita dah kehilangan yang tersayang dan masa terus bergerak ke depan dengan kita dah takkan ada bersama dia lagi, saat itu kita mula belajar sesuatu yang baru. Kita mula faham apa yang telah dia lakukan dulu...untuk apa, kenapa dan apa yang dia dapat dengan perbuatan itu?

Bila kita hidup atas kaki sendiri, banyak perkara kecil akan dipandang besar. Hal remeh dan enteng itu telah menjadi satu yang utama dan penting sekarang. Namun janganlah dibiarkan diri kita dipergunakan sewenang-wenangnya kerana keprihatinan yang ditunjukkan. Rendahkanlah rasa tinggi diri, belajrlah bertolak ansur. Tak rugi saling ringan tulang, kenapa bila dengan rakan-rakan perkara saling membantu itu sangat senang dilakukan? Kenapa bila untuk keluarga sendiri cukup berat untuk dilaksanakan? Tak perlu tunggu diminta atau disuruh, buat atas kerelaan sendiri. Bukan nilai ringgit yang dikias sebagai balasan, bukan juga pijian melangit yang dituntut bagai. Cukuplah kita lakukan hal itu dengan rasa melihat ahli yang lain turut sama senang hati. Bila kita rasa lapang, kan orang juga akan sama merasainya?

Berkorban bukan dengan berapa ringgit yang diberi. Selama ini aku berkorban, aku boleh kata aku telah berkorban untuk mereka semua waima mereka tak tahu pun. Zaman kampus aku tak sesenang sesetengah pelajar lain. Aku 'bagi' yang aku ada setiap sem kerana fikirkan aku boleh survive di varsiti dengan hidup bersederhana. Tak mengapalah, asal yang di laman sana dapat merasa yang tak dapat aku rasa. Aku outing ke tempat-tempat beli belah bleh dikira dgn jari kekerapannya, semua dh ada di sekitar kolej. Kemudahan lengkap, tak perlu berbelanja lebih dan tak perlu nak bersosial bagai. Alhmadulillah aku berjaya menerima segulung dekri itu akhirnya seperti yang lain. Aku tak berhenti di situ.

Dengan minat, aku mudah mendapat kerja (waktu itu) di varsiti dan aku hanya perlukan belanja sewaan dan makan. Selebihnya aku masih menyumbang kepada mereka di laman. Sama ada mereka tahu atau tidak, biarlah. Aku cuma ingin mereka dapat apa yang telah aku kecapi sebelum mereka. Hanya tiba masa-masa terdesak aku minta bantuan, itupun untuk belanja pulang. Selebihnya aku banyak ikat perut. Aku tak punya teman sosial dan status itu kekal hingga sekarang. Bila rezeki di sana telah tiada untuk aku, aku pulang. Mungkin hidup aku hingga sekarang tak seindah yang telah ditakdirkan, namun aku tetap mencari peluang untuk terus berkorban. Tambah-tambah bila orang yang sentiasa berkorban untuk aku telah tiada, akulah selayaknya memikul peranan itu sekarang.

Sesekali aku juga rasa penat, rasa kecewa, rasa marah...bila apa yang aku buat tak diambil peduli dan dipandang enteng oleh mereka. Aku letih melihat apa yang aku dh buat hanya sia-sia. Cuma aku. Keseorangan tiap kali buat aku tersendu sendirian.

Mereka boleh keluar makan-makan tanpa aku dijemput bersama. Tak mengapa. Aku punya hal sendiri....

Mereka boleh gelak ketawa membeli belah dengan aku ditinggal keseorangan. Tak mengapa. Aku boleh ke sana sendiri nanti...

Hanya bila kata putus aku diperlukan, mereka masih perlukan aku. Hanya itu, aku rasakan aku masih dihargai. Dengan mereka aku banyak mengalah. Biarlah aku terus berkorban, sama ada mereka sedar atau tidak. Namun aku harap ada antara mereka yang sedar semua pengorbanan aku sebelum masa aku tiba....



Tinta Emas: "Along sayang semua, walau macamana layanan yana Along terima..."

Wednesday, October 2, 2013

Warkah buat Bonda...

Assalamualaikum w.b.t
Buat Bondaku yang tercinta, moga dikau tenang di sana....
Di saat Bonda membaca coretan Along ni, besarlah hati ini ingin khabarkan bahawa kami; Ayah dan adik-adik sihat-sihat sahaja. Ramadhan dan Syawal telah berlalu, kini dah masuk Zulkaedah, musim orang buat haji. Lagi kurang 2 minggu akan tiba Aidil 'Adha pula. Cepatnya masa berlalu, lagi cepat masa-masa itu pergi disebabkan ketiadaan Bonda di sisi. Tiap kali melintas depan kamar Bonda, hati Along terusik sebak.

Keadaan di rumah bolehla dikatakan agak baik, namun 'keterurusan' tu, amatlah tidak memuaskan...tidak sebaik masa Bonda masih ada. Masing-masing sibuk, saban hari keluar awal dan balik dh jauh petang. Ayah masih dengan rutin biasanya, keluar ke sekolah tepat jam 6.20pg. Afaf a.k.a Adik pun dah lali ikut Ayah keluar awal pagi. Dia dah Tingkatan 2 sekarang ni. Tahun depan patut dah boleh ambil PMR tapi tahun ni KPM dah umum, tahun ni lah PMR akan ada. Oh ya, KPM dh umum periksa lain gantikan PMR. Kesian budak-budak sekarang, terpaksa ikut telunjuk 'orang-orang kepala atas angin' tu semua. Rasionalnya sebab PMR dikatakan sistem pembelajaran sekarang terlalu berorientasikan peperiksaan.

Dengarnya periksa gantikan PMR ni lebih kepada format penilaian berasaskan sekolah itu sendiri (dengar macam lebih susah, sebab sekolah yang akan tentukan gred pelajar yang mereka nak kekalkan di sekolah untuk jaga prestasi akademik semasa). Kesian kt Apah, tahun depan mesti kena amik penilaian tu, Ma tau-taula dia tu camana. Lambat sikit tangkap bab study ni. Along nk bg tuisyen pun dia wat dunno jah....

Ma tau, Along dah urus kedai sendiri sekarang ni :) Bukan kedai kek yang macam kita plan tu tapi kedai barang-barang kesihatan & kecantikan. Along deal dengan Haji Mat sebelah tu la, dia nk sewa/jual masa Along nampak kedai tu tutup ja. Nama kedai tu Ayzhra Health & Beauty House...hehehe, susah sebut? Sebut 'Aizra' je, bukan 'Aizahra'...selalu orang salah sebut. Nama tu ambil dari nama Along la...tunggang terbalik duk mencari nama yang best. Yang ni je paling best boleh ambil. Logo dia tema bunga matahari, kuning! Ma taula Along suka warna kuning dan bunga matahari.

Kalau Ma ada, hari-hari Along nk bawa Ma gi kedai. Luas sangat dalam dia, siap ada bilik tidur, bilik air, bhgn dapur pastu satu bilik yang tuan punya sebelum ni tinggal tak siap...rasanya dia nak buat bilik spa. Tu la Along plan dgn Hj Mat tu nak buka spa & salun jugak lepas ni. Best kan? Tapi Along kena buat banyak keje dulula sebelum boleh launch. Kena gi amik kursus dulu, cari pembantu lagi. Sekarang ni Along urus sorang-sorang ja. Kerja dengan Makcik? Ye, Along keje lagi dengan dia. Tapi dah kurang dah kena travel ke Penang. Sekarang banyak buat keje kat KB ja. Cuma dalam sebulan tu sekali atau 2 kali jugak kena turun Kepala Batas atau pegi KL. Masa tu kedai terpaksa tutup la sebab tak ada orang nak tolong tengok. Cuma minta tolong dengan Hj Mat la, dia tolong tengok kalau-kalau ada orang datang nak beli barang. Takpela, sekarang nampak susah sikit tapi makin lama orang makin perasan kedai Along ni.

Lagipun kedai Along ni dah jadi pusat interaksi dan pusat komuniti mukim ni sebab Sin a.k.a Penghulu Kg Dusun selalu datang nak minta Along buat kertas kerja atau surat-surat rasmi untuk aktiviti persatuan dan parti. Kalau tengahari tu, Along tutupla kejap...masa rehat, boleh balik rumah kejap...masak apa yang sempat. Klu Adik dengan Ayah balik boleh makan dah. Tapi kalau sempat Along balik la, sebab ada masa Along tak balik tu masa tu la customer ramai yang datang. rasa serba salah pulak....nak balik ke tak. Tapi kalau Ma ada lagi, Along mesti balik. Masak dulu apa patut, tu la bagusnya kerja sendiri, dekat dengan rumah pulak tu. Kalau kerja jauh2, mesti Along takleh buat dah semua ni.
 

Azim pun dh mula keje bln 6 lepas lagi. Mula-mula dapat offer kt Nilai, tp hari dia nak lapor diri tu tiba-tiba dapat call dari kilang kt PC sini...tempat Along mintak tolong kawan Along carikan kerja kosong dulu. Dia terus balik hari tu jugak, esoknya lapor diri kt kilang di PC tu. Kelakarla budak tu :p kerja pun boleh pilih-pilih cam makan biskut. Tapi tak heranla, dia baru balik Jepun tu peluang dia luas lagi. Akif pun dh steady kt PJ tu, tapi budok tu masalah sikit. Nak Along sound dia ke Ma? Tapi nak buat camana, mesti dia kata dia besar dh, nk ajar-ajar dia plak. Kalau Ma ada, mesti dia dengar. Walaupun Along ni orang kata ada iras Ma, tapi bukan semua nk dengar puna apa Along kata. Apih pulak masih dalam kursus kat Alor Setar. Kerap jugak balik tapi baru-baru ni dia balik dengan berbalut kt dada. Ada jangkitan, bengkak bernanah sampai doktor operate. Suspek kena Tibi tapi sekarang ni dah makin baik. Dia tu kalau tak jaga kebersihan diri, makan minum memang senang kena sakit. Lebih-lebih lagi dah join airforce ni, lagila semua benda nak kena buat cepat-cepat, on time tak boleh slow-slow (dulu Along rasa diala paling slow..hehehe)

Sapa lagi? Pipi. Dia tak habis lagi belajar kt KPTM tu. Macam tu la, keluar malam balik lewat-lewat. Mujur kelas dengan exam tak ada yang tak hadir lagi. Kalau tak, nak dia kena mengulang, takpun jatuh pointer. Ma tak tengok lg kan cucu Ma? Nama dia Aireen. Comel, tapi Along rasa dia gelap sikit *LOL. Maybe sebab ikut kulit menantu Ma tu la. Dah nak masuk 8 bulan dah tu, dh pandai tengok kamera orang nak ambil gambar, senang nangis gelak kalau kena agah. So far Along tak tau byk sgt pasal depa ni, tau-tau ja la Ma. Along ni takde apa-apa pun, harta ke pangkat. Tapi kalau itu yang orang nak banding-banding, apa la Along nak cakap. Cuma Along harap jangan susahkan orang lain, jangan tak ziarah 'rumah' Ma. Ingatla nanti kita pun akan menetap kat tempat yang sama.

Tahun ni pun Along tak tempah pelamin lagi...hehehe. Rasa 'muda' lagi la. Ramai lagi member-member sekolah yang solo ni. Paling penting tak berkepuk lagi dalam Maybank tu. Rasanya kena jugakla terima lamaran Dato' tu, tapi Ayah tak tahu pun. Entah, dia pun nampak tak kisah pun. Takpela Ma, ade jodoh rezeki tu Along berumah juga nanti. Kalau Ma ada, Along terima je sapa-sapa yang Ma carikan. Bukan susah pun kan...jodoh tu tetapan Dia.

Ok la, nanti-nanti Along tulis lagi, cerita kat Ma. Oh ya, Along join venture buka gerai piza dgn Hj Mat tu. Depan stor kedai dia, sebelah je kedai Along. Best! Harap kerja Along pilih nilah yang serasi dengan Along.  Macam Ma selalu kata tu, bukan susah nak cari duit janji kena rajin. Insya Allah Along ingat tu semua. Sebelum Along tulis Selamat Malam, Along nak sangat sebut ni dekat Ma...Along rindu sangat pada Ma T___T Moga doa Along sampai pada Ma di sana.


Selamat malam. Moga diri Mama tenang dengan bekalan 'hadiah-hadiah' dari anakanda semua.
 

Suara rindu dari anakmu,
Azura H.
2 Okt 2013
Kota Bharu.

Friday, August 30, 2013

Sambutan tetap ada cuma tanpa acara potong kek

Alhamdulillah. Rasa syukur tak terhingga buat Dia Yang Agung. Aku masih ada di sini, melalui satu lagi tahun Ramadhan, berjaya meraikan Syawal dan diberikan masa untuk mengingati saat-saat hari kelahiranku untuk yang ke 29 kali. Syukur Ya Rabb al-Amin.

Aku kini mula mengorak langkah memberanikan diri menceburi bidang yang yang pernah terlintas di fikiran aku. Perniagaan. Suatu ketika dulu sungguh besar dunia ini untuk aku letakkan sebelah kaki ini. Namun hari ini berkat ihsan dan semangat ingin mengubah hidup aku ambil risiko dan mula belajar selok belok berniaga. Alhamdulillah aku dikenalkan dengan mereka yang ingin bergabung tenaga denganku, memudahkan urusan memulakan perniagaan.

Aku memilih bidang kesihatan dengan menjadi pembekal, penjual dan pengedar barangan makanan, minuman kesihatan dan juga barangan kecantikan serta kosmetik. Rezeki aku terima bukan sikit, aku dapat bertapak di sebuah premis hanya 5 minit dari rumah, itupun terletak strategik di depan jalan utama ke bandar KB. Mudah untuk pelanggan dan sesiapa datang menyinggah. Terima kasih kepada Hj Mat yang sudi membenarkan aku berniaga di situ.

Moga dalam suasana raya dan masih dalam bulan Syawal ini, aku mohon agar segalanya nanti menjadi lebih baik dan aku dapat capai apa jua yang aku idamkan selama ini. Oh ye...bab jodoh tu aku masih berusaha, letakkan redha atas ketentuanNya.

Kek daripada Makcik Jamilah, 2 hari lebih awal dia bagi. Sedap sangattt!!

Friday, June 7, 2013

Moga tenang...mohon padaNya kesejahteraan untuk kami semua

Usai sudah majlis tahlil malam 40 untuk arwah nenda di Machang semalam. Majlis yang bermula seawal tengah hari dihadiri sanak saudara terdekat, jiran tetangga sekampung. Disebabkan hari bekerja, sepupu dan saudara jauh kebanyakan tak dapat pulang kali ini. Namun alhamdulillah majlis berlangsung lancar hingga ke malamnya.

Kami sekeluarga sampai waktu tengah hari, lauk-pauk semua dah tersedia dimasak oleh jiran-jiran tetangga. Kami cuma bawa kuih muih untuk tambahan pencuci mulut. Alhamdulillah kebanyakan persiapan dah sedia untuk majlis malam nanti.


Untuk arwah Nenda dan Bonda, dua insan yang takkan kutatap wajahnya lagi, takkan kukucup dahinya lagi pada pagi Syawal dan yang takkan aku ucapkan Salam Sayang lagi...damailah kalian di sana. Nantikanku di sana, hanya doa buat hadiah kasih sayang buat Nenda dan Bonda tercinta. Rahmatilah kedua mereka, Aminn Ya Rabb Al-Aminn....

Wednesday, November 28, 2012

Satu Langkah, Sejuta Matlamat

Dah lama tak berkunjung di sini. Sebetulnya, dah kekeringan idea dan kekejangan jemari untuk menari mencoret kata di sini. Mungkin juga kerana tekanan dan pelbagai badai yang telah melanda dalam lebih setengah tahun ini, masa yang ada teramat singkat.

Dah hampir setahun rupanya berlalu. Semua saat-saat indah nampaknya berlalu begitu saja. Beberapa sambutan hari lahir mereka yang tersayang, satu majlis kahwin, masa terluang dengan teman-teman rapat dan juga sambutan hari lahir sendiri -- semuanya sepi. Namun di sebalik semua keluh kesah itu, masih ada yang dapat kembalikan segaris senyuman di bibir ini.

Tika yang lain semuanya telah berlalu pergi, aku masih di sini. Aku telah teruskan jua, dalam kepayahan dan kegalauan hinggalah aku putuskan untuk teruskan saja. Tak putus doa dan harapan aku pohonkan kepadaNya agar diberikan yang lebih baik. Aku cuba bertahan sedaya rupa, tak hiraukan cemuhan dan jelingan sinis mereka yang belum tentu berada dalam situasi aku. Akhirnya, aku mula dapat sesuatu yang benar-benar sebati dengan jiwa. Betullah, kalau kita sabar dan terima dengan hati terbuka segala yang ada untuk kita, pasti akan datang kepada kita sesuatu yang takkan dijangka satu ketika nanti.

Genap setahun aku bekerja di Diana Net Station pada bulan Ogos 2012. Aku bersyukur aku masih dapat terus buat kerja yang aku suka (walaupun aku masih berusaha untuk mendapat yang lebih baik). Takdir itu tiba bila seorang pelanggan, wanita usia di lewat 60-an telah menawarkan kerja  untuk aku dan bersungguh-sungguh mahu aku menjadi pembantunya sekaligus membantu aku mendapatkan peluang yang lebih baik di tempatnya. Peluang ini aku rasakan terbaik buat masa ini, sayang untuk dilepaskan. Setelah difikirkan baik buruk (berat ke arah baik sebenarnya :) aku letak jawatan dan mulakan kerja baru di Kepala Batas dengan Makcik Jamilah.

Namun hanya Dia yang Maha Mengetahui, tersurat di sana di mana aku sedang mengubah haluan hidup di saat itu jua aku kehilangan yang lebih penting dari segunung emas. Ibu tercintatelah pergi meninggalkan kami menyahut seruan Ilahi. Sungguh aku begitu terpukul menerima berita ini sementelah aku hanya 2 hari memulakan kerja di tempat baru. Aku banyak menyalahkan diri sendiri atas pemergian Mama, di mana yang paling aku rasa terkilan bila aku tidak berada di sisinya tika dia menghembuskan nafas terakhir. Ayah pun merasakan yang sama, kerana Mama tiada ketika di bilik ICU disebabkab kegagalan buah pinggang yang kritikal. Doaku moga Mama tenang di sana, ditempatkan di kalangan orang-orang yang dirahmatiNya.

Aku masih bersedih, perginya seorang insan yang tiada galang gantinya dalam hidup aku. Hilanglah tempat aku bermanja, insan yang banyak ketawa bersama dan juga yang sudi mendengar luahan duka bersamaku. Jika diberi satu jauta saat untuk bersama seseorang, aku pastinya ingin habiskan saat itu bersama Mama.

...Ya Allah Ya Rabb, Engkaulah Yang Maha Mendengar segala rintihan hati ini. Ubatilah kedukaan dalam lubuk jiwaku, agar aku dapat rasakan tenangnya pemergian Ibuku ke pangkuanMu. Hiasilah hari-hari laluku bersamanya dalam doaku kepadanya di sana. Jika nanti sampai waktu kupergi menghadapMu, aku pohon ditemukan dengan Ibuku. Aku pasrah dengan ketentuanMu....

Thursday, November 22, 2012

Perginya insan tercinta buat selamanya

Hari itu tanggal 21 November 2012, aku baru 2 hari memulakan tugas sebagai pembantu Pn. Jamilah di AUCMS, Kepala Batas. Pagi itu seperti biasa kami keluar seawal 6.30pg dari Padang Serai, Kulim menuju tempat kerja. Pada jam 7.30pg Makcik Jamilah mengajak aku bersarapan pagi di kedai makan berdekatan. Setelah 30 minit, aku memulakan tugas seperti biasa di makmal komputer. Namun panggilan daripada Ayah pada jam 8.40pg mengubah seluruh hidup aku --khabaran duka tentang pemergian Bonda tercinta buat selama-lamanya!

Bagai bergegar duniaku waktu menerima perkhabaran sedih itu. Tubuh aku merasa seram sejuk dan aku cukup kecewa dan hati ini remuk kerana aku tidak berada di sisi ibu di saat-saat akhir nafasnya. Masih terngiang di telingaku esak tangis Ayah sewaktu memberitahuku berita ini. Dalam keadaan terlalu sedih, aku cuma teringatkan sahabat baikku, Mc Zack (Nurul Izzati) dan terus menghubunginya, cuma ingin berkongsi berita pilu ini dengannya.

Ayah minta aku pulang seberapa segera kerana jenazah Bonda bakal dikebumikan pada hari itu juga. Lantas aku menghubungi Makcik Jamilah mengkhabarkan berita tergempar ini. Dia sama bersimpati dengan aku dan juga sedaya upaya mencari jalan untuk aku pulang pada hari itu juga. Dia juga dapatkan pelepasan kecemasan untuk menghantar aku pulang ke Kota Bharu, kerana jika aku menggunakan bas untuk pulang, akan mengambil masa yang lama. Setelah Makcik Jamilah selesaikan beberapa urusan penting, kami terus bertolak pulang -tanpa sempat membawa apa-apa barang bersama, tanpa singgah di mana-mana. Sungguh aku bersyukur dipertemukan dengan insan sebaik Makcik Jamilah.

Perjalanan bermula jam 10.30pg dari Kepala Batas ke Kota Bharu akan mengambil masa kira-kira 4-5 jam jika tiada apa-apa masalah. Namun kira-kira sejam kemudian Ayah menghubungi aku meminta jika aku dapat singgah mengambil adik lelaki aku yang sedang mengikuti latihan di Kem TUDM Ipoh. Dia mendapat pelepasan kecemasan daripada pegawainya dan kerana tiada pengangkutan untuk membawanya pulang Ayah meminta pegawainya menghubungi aku untuk mengambil adik aku. Untuk berpatah balik ke Ipoh, kami telah terlalu jauh namun Makcik Jamilah kata kami masih boleh ubah haluan ke Kuala Kangsar untuk mengambilnya. Namun perjalanan pergi dan balik itu mengambil masa 2 jam sebelum kami dapat teruskan perjalanan melalui jalan Grik-Rantau Panjang.

Ayah masih menunggu kami tiba kerana memikirkan adik aku yang tidak bertemu arwah sejak 6 bulan lepas kerana mengikuti latihan. Perjalanan terasa paling panjang, kami tiba pada lewat 6.15ptg dan keliahatan halaman rumah masih dipenuhi tetamu dan sanak saudara. Ayah menyambutku dan aku benar-benar tidak dapat menahan perasaan melihat sekujur jenazah Bonda telah dikafankan. Alhamdulillah aku dan adik sempat melihat dan mengucup Bonda buat kali terakhir sebelum dikebumikan selepas Maghrib di pusara Kubur Maras, Langgar.

Bersemadilah Bonda di sana dengan aman dan tenang. Moga syafaat daripada adinda Basirah yang telah lama meninggalkan kita dapat membantu Bonda di alam sana. Along pasti akan menjaga dan membela nasib keluarga kita --terutama sekali Ayah yang tampak sungguh terkesan dengan kehilangan Bonda dari hidupnya. Biarpun Bonda memasang keinginan untuk menghadiri konvokesyen Akif pada 24 November ini, majlis tamat latihan Afif pada 15 Disember nanti dan juga ke graduasi Azim di Miyazaki pada bulan 3 tahun hadapan, namun Allah lebih menyayangi Bonda, mengambil Bonda daripada kami menamatkan penderitaan Bonda sejak sekian lama. Kami pasrah, namun kami terima dengan hati yang lapang atas ketentuan ini. Damailah Bonda di sana, kami akan sentiasa mengingati dan menghadiahkan Bonda kesejahteraan agar pusara Bonda senantiasa diterangi cahaya rahmat dan rahhimNya. Aminn Ya Rabbal 'alaminn.

Monday, November 19, 2012

DPLI SR j-QAF ambilan 2013

Lepas ujian MTest hari tu, akhirnya aku layak ke temuduga. Tempat di Institut Perguruan Pengkalan Chepa, KB. Masa jam 11.00 pagi. Punyala berhari-hari aku ulangkaji --tapi sebenarnya tak tahu nk baca apa. Daripada seorang kenalan yang aku jumpa semasa ujian MTest dulu, dia ada khabarkan bahawa yang bakal ditanya semasa temuduga nanti termasuklah ujian bertulis jawi dan Bahasa Arab. @_@ ohhhh, rasa macam kepala ni dh dihempap batu besar. BA adalah antara subjek yang aku 'lemah semangat' sejak di sekolah menengah lagi. Dengan kelulusan hanya lulus, aku dapat agak aku akan hadapai kesukaran yang sungguh menggugat jiwa raga.

Beberapa hari sebelum hari temuduga, semua pasal pendidikan, perguruan aku download, isu-isu pendidikan terkini dan juga termasuklah pelan pembangunan pendidikan negara semasa. Tapi semua tu tak terbaca oleh aku. Sampai naik pening dok fikirkan pasal ujian BA tu. Sebab Ayah dan Ma memang berharap aku lulus dalam temuduga ni. Aku sebenarnya serba salah, aku takla seteruja mereka. Namun atas dasar tanggungjawab aku tunaikan hasrat mereka.

Nak dijadikan cerita, hari temuduga tu aku bersiap ala kadarnya, sepasang kasut yang aku simpan sejak waktu aku konvo dulu aku akan pakai. Kebetulan pagi tu hujan pun agak lebat. Ayah telah ingatkan untuk keluar awal dari rumah bimbangkan kesesakan jalan. Namun Allah jua yang tentukan aturan pagi tu kerana aku sendiri mengalami 'kegusaran dalaman mengejut' menyebabkan aku kelewatan setengah jam dari masa yang Ayah tetapkan. Perjalanan ke tempat temuduga 'diserikan' dengan ceramah oleh Ayah dan aku akur mendengarnya.

Tiba di destinasi, masih berbali 10 minit sebelum jam 11.00 pagi. Tapi nak dijadikan takdirNya, sebaik saja aku menjejakkan kaki keluar dari kereta, tiba-tiba tapak kasut aku tertanggal. Ya Allah! Aku diserang panik. Aku masuk semula ke dalam kereta dan sememang diduga Ayah makin hangat berceramah padaku. Apakan daya tiada kasut spare dalam kereta dan hanya 5 minit sebelum jam 11.00 pagi, aku mengambil keputusan untuk pulang ke rumah menukar kasut. Ayah menurut dan aku pasrah. Tapi Ayah me nukar fikiran terus ke Pantai Timur berdekatan seraya menyuruh aku segera membeli kasut dan kembali ke tempat temuduga. Nasib baik angin Ayah dah berkurangan. Aku terus meluru keluar, dengan memakai selipar Ayah mencari bahagian kasut wanita di tingkat atas pasaraya. Tak sampai 10 minit aku kembali dengan kasut baru tersarung di kaki. Mallu jangan cakapla, aku dah tak rasa apa-apa pagi tu.

Ayah memandu kembali ke IPG PC dan masa melewati 10 minit selepas jam 11.00 pagi sejurus aku tiba. Dalam kepanikan melampau, aku berseorangan terpaksa mencari bilik temuduga dan nasib baik seorang makcik menunjukkan aku arah yang betul. Aku tiba agak lewat namun kelihatan ramai yang telah berada di situ. Nasib aku agak baik bila salah seorang calon tersebut adalah rakan lama di ISLAH dulu. Nasib aku bertamabah baik bilamana dia memberitahu aku bahawa calon sesi pagi masih belum selesai untuk sesi perseorangan. Masih berbaki 5 orang. Syukur Ya Allah!! Rasa lega dan aku tak rasa bimbang sangat.

Disebabkan kelewatan itu, kami calon-calon untuk jam 11.00 pagi telah ditunda pada jam 2.00 petang. Aku mengikut beberapa kenalan yang baru aku jumpa di situ untuk rehat makan tengahari dan solat sementara menanti sesi kami bermula petang nanti. Aku bersama 8 lagi calon lain dalam satu kumpulan --kebanyakan mereka agak sama latar belakangnya dengan hanya seorang jejaka bersama kami. Temuduga hari tu terbahagi kepada 3 sesi. Pertama, ujian bertulis Jawi dan BA. Seperti dijangkakan, aku hanya mampu melihat dan merenung sedalam-dalamnya kertas soalan BA, manakala soalan bahagian jawi dapat aku selesaikan. Aku pasrah dan redha waktu tu.

Sesi kedua adalah berkumpulan, perbincangan dan perbualan mengenai topik yang diberikan. Kami diberi masa 30 minit mengupas dan bertukar-tukar pendapat tentang tajuk 'Imej Guru' dan 'Impaknya dalam pergaulan sesama guru serta masyarakat setempat'. Aku rasakan kami telah buat yang terbaik sepanjang sesi tersebut. Untuk sesi terakhir, temuduga perseorangan. Aku dapat giliran ke-6 dan sepanjang tempoh menanti loceng giliran aku berbunyi, sungguh menyeksakan. Waktu itulah aku rasakan batu besar kembali berada di atas kepala. Daripada calon awal, aku diberitahu panel akan menanyakan mengenai bacaan Al-Quran dan tajwid, bacaan teks jawi dan juga perbualan dalam Bahasa Arab. Betapa gelisahnya aku rasakan sementara menunggu giliran aku tiba, dan aku dapat bayangkan aku akan mengahadapi kesukaran yang amat bila berdepan dengan panel penemuduga nanti.

Giliran aku tiba pada jam 5.30ptg. Aku melangkah dengan jiwa gusar dan resah. Walaupun aku berjaya membaca Al-Quran dan teks Jawi serta BA dengan baik namun aku kelu bila disoal bahagian tajwid dan juga bila disuruh berbual dalam BA. Aku diberi peluang lain ditanya tentang isu-isu semasa pendidikan, kaedah pengajaran yang bakal aku ajarkan jika terpilih dan juga kebolehan aku berpidato. Walaupun hanya sebahagian sahaja penemuduga berpuas hati dengan aku pada hari tu namun aku tetap rasa aku telah gagal. Manakan tidak, aku cuma terluahkan sebutir dua patah perkataan Arab sedangkan mereka inginkan cerita pendek tentang tajuk mudah. Aku gagal kerana aku tidak dapat menguasai subjek BA dengan baik, dan aku juga agak lemah dengan tajwid AQ. Sesi aku berakhir pada jam 6.00 petang dan aku pulang dengan hati yang sangat kesal dan kecewa. Kami diberitahu keputusan akan dapat diketahui selewat-lewatnya minggu kedua bulan Disember nanti.

Aku telah buat sedaya yang aku mampu. Aku serba kekurangan, aku terimanya dengan hati terbuka tapi aku tak sanggup kecewakan harapan Ma dan Ayah jika aku gagal terpilih. Aku cuma dengan rela paksa menghadiri semua ini, kerana aku akan bertolak ke Kulim pada malamnya, menerima tawaran kerja dengan Makcik Jamilah. Aku telah melakukan kerja-kerja akademik untuknya sejak 3,4 bulan yang lepas. Aku tahu aku harus buat keputusan yang tepat untuk masa depan aku. Janji aku pada Makcik Jamilah akan aku tunaikan, untuk membantunya membuat kerja-kerja akademik dan juga pengajian masternya. Aku tahu aku gembira dengan pilihan ini. Aku harap Ma dan Ayah dapat terima keputusan aku dengan hati terbuka. Perjuangan aku masih panjang dan aku bakal merantau di tempat baru. Aku mohon kekuatan dan kesabaran daripadaNya agar aku tak mudah mengalah dan diberi petunjuk serta jalan yang diredhaiNya.

Thursday, December 29, 2011

Bukan Macam Aku....

Bukan senang kalau nak senang,
Bukan susah kalau nak susah,
Cuma itu semua terpulang kepada usaha dan semangat tak putus asa.

Tahun 2011 makin sampai ke penghujung
Dah ramai, banyak pula teman-teman yang dah ada kehidupan sendiri,
Bukan macam aku...
Dah banyak cara aku usaha, tapi masih belum ada hasil
Kehidupan aku masih macam 5 tahun lepas
Tapi ini adalah ujian untukku dan aku tetap teruskan hidup.

Seronoknya tengok mereka yang ada ramai kawan dan masih tetap berhubung
Bukan macam aku...
Sejak sekolah aku ada ramai kawan,
Sekolah menengah aku ada ramai kawan perempuan,
Masuk universiti pun makin tambah kawan dari seluruh negeri,
Tapi sekarang aku tak dapat kira berapa ramai yang masih kenal aku,
Betul ke aku ada ramai kawan dulu?

Ramai kawan aku sekarang dah kerja cikgu, peguam, jurutera
dan macam-macam lagi,
Ada kereta sendiri, dan ramai yang dah kahwin pun,
Bukan macam aku...
Kerja aku tak besar, masih cari kerja yang bagus sampai sekarang
Kereta memang tak mampu milik, nak kahwin? buat malu saja...
Aku masih usaha, kalau aku mengalah sampai bila aku nak jadi macam ni?

Bila baca cerita keluarga kawan-kawan lain yang pergi bercuti
bagusnya, mereka mampu pergi mana-mana pun,
Bukan macam aku...
Kali terakhir aku bercuti dengan keluarga 3 tahun lepas,
Walaupun hanya di sekitar KL, itulah waktu paling gembira pernah aku rasa.

Kerja yang bagus dapat bawa kita jadi orang yang lebih baik,
Itulah yang aku tengok pada beberapa orang ternama hari ini,
Bukan macam aku...
Mak ayah aku jadi cikgu bukan sekejap, lebih 20 tahun
Ramai anak-anak didik mereka sekarang jauh lebih baik daripada anak mereka,
Amin Idris (Motivator/Personaliti TV9),
Syahrul Azwari (Pemain Skuad Harimau Muda)...
adalah mereka yang pernah mendapat didikan mak dan ayah aku.
Tapi aku tetap bangga, walaupun aku cuma jadi anak mereka.

Hidup senang, dapat penuhi kehendak hati, tak pernah susah hati
Itulah impian setiap manusia,
Ada masa kita di atas, semua mata menandang pada kita,
Namun bila kita jatuh ke bawah, tiada siapa peduli,
Susah senang, suka duka hanya kita sendiri yang dapat rasa
biarlah kita mencari jalan sendiri tanpa bergantung kepada orang lain.
Cuma panduan hidup tentulah datangnya daripada mereka yang lebih
dulu makan garam dari kita, itulah panduan yang pasti takkan tersasar.
Mintalah pedoman dan petunjuk dariNya setiap masa.


Monday, August 1, 2011

Salam Ramadhan

Ramadhan tiba lagi. Syukur aku masih boleh menyambutnya dan menjalani ibadah bersama mereka yang tersayang. Bulan mulia ini memberi banyak pengajaran buat kita yang mahu mengambil iktibar dan pedoman daripadanya. Bukan sahaja belajar menahan lapar dan dahaga, mendidik lebih pemurah dengan banyak bersedekah dan merasai kesusahan mereka yang memerlukan bantuan, malah puasa juga turut memberi keberkatan dalam setiap perkara baik yang kita buat.

Malah jika kita berjimat dalam berbelanja di bulan puasa ini pun dikira satu amalan ibadah dan mendapat keberkatan daripadaNya. Ini kerana jika diperhatikan, ramai orang Islam yang tak sedar perbelanjaan mereka di bulan puasa melebihi jumlah perbelanjaan ketika di bulan-bulan lain. Setiap tahun juga ramai di antara masyarakat kita yang kecundang dalam menangani masalah kewangan sepanjang bulan Ramadhan dan menjelang lebaran.

Seharusnya kita sebagai umat Islam haruslah pandai dan bijak berbelanja lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadhan yang mana menggalakkan umatnya berjimat-cermat dan tidak boros atau membazir. Bukan salah membeli makanan dan segala juadah enak untuk berbuka tetapi kita perlu ingat adakah semua yang nampak sedap dan lazat itu dapat kita habiskan atau kita hanya menjamah sedikit daripada makanan tersebut dan yang bakinya akan dibuang begitu saja? Bukankah amalan membazir dan boros itu amalan yang harus dielakkan dan Islam tidak menggalakkan umatnya menjadi orang yang suka berbelanja mengikut hawa nafsu semata-mata.

Memang berlaku setiap kali di bulan Ramadhan dan menjelang hari raya, kebanyakan daripada kita akan mengalami masalah kekurangan duit belanja. Namun ada juga yang mencari peluang menambah pendapatan sepanjang Ramadhan berlangsung; dengan menjual makanan, minuman atau pakaian dan hiasan rumah. Mereka bijak menggunakan peluang untuk mencari pendapatan sampingan kerana bulan Ramadhan juga adalah bulan di mana Allah akan murahkan rezeki kepada mereka yang mencari keredhaanNya. Tetapi jika pendapatan yang diperolehi ini juga digunakan untuk berbelanja sakan demi meraikan hari raya, tak ada gunanya juga.

Seharusnya kita beringat setiap masa, baik semasa bulan Ramadhan atau pun di bulan-bulan yang lain, berjimat-cermat dan sentiasa bijak serta merancang perbelanjaan harian. Jangan sampai kita akhirnya terpaksa berhutang sana-sini kerana hendak menampung belanja sendiri dan keluarga. Beringatlah sebelum terlewat dan bulan puasa adalah sebaik-baik bulan untuk melatih dan mendidik diri, kawan-kawan serta keluarga tentang pentingnya berbelanja secara sederhana dan berhemah.

Monday, April 11, 2011

Bangkit semula daripada keruntuhan dan kebinasaan

Sudah fitrah alam, tanpa berita dan petanda bencana boleh berlaku secara tiba-tiba. Mungkin hari ini langit tampak cerah dengan awan bergumpalan serta mentari bersinar terang, namun keadaan boleh berubah sekelip mata menjadi mendung dengan awan gelap berarak membawa angin kencang. Tiada lagi sinar matahari yang terang, tiada lagi bayu lembut berpuput.

Jangan disangka air yang tenang tidak ada buaya, begitu juga dengan kuasa alam. Titisan air yang jatuh ke atas batu lama-kelamaan akan membentuk lekukan yang besar. Pelbagai lagi kuasa alam lain yang dasarnya amat bermanfaat kepada kehidupan harian manusia tetapi bila kuasa ini mula hilang kawalan ia boleh membawa bencana dan kemusnahan yang dasyat.

Hampir 4 minggu setelah kejadian bencana alam yang telah melanda Negara Matahari Terbit. Kemusnahan dan kerosakan paling besar berlaku dalam sejarah negara tersebut dalam tempoh 140 tahun. Gempa bumi terbesar dalam sejarah dicatat pada ukuran 9 darjah skala Richter membawa gelombang tsunami yang besar melanda beberapa bandar pelabuhan Jepun. Kemusnahan dianggarkan mencecah trillion yen dengan ramai mangsa yang terkorban dan masih ramai lagi yang belum dapat dikesan. Bencana ini turut mengakibatkan kerosakan teruk pada loji-loji nuklear di Fukushima di mana berlakunya kebocoran radioaktif akibat letupan dan kecairan reaktor. Berikutan itu ancaman radiasi terus meningkat mengancam kesihatan dan keselamatan mangsa dan juga penduduk di bandar-bandar berdekatan.

Hari ini sebilangan warga Jepun telah pun kembali membersihkan dan membangunkan semula kediaman dan bandar mereka yang telah musnah. Pertolongan daripada pelbagai badan-badan sukarelawan dan NGO seluruh dunia turut diterima saban hari. Walaupun kebanyakan mereka telah hilang ahli keluarga, saudara mara dan juga harta benda namun kecekalan jelas kelihatan pada semangat ganbatte yang telah sebati dalam diri mereka. Masih ramai yang hilang tanpa dapat dikesan meninggalkan anak-anak kecil dan juga ibu bapa yang kehilangan anak. Yang pasti mereka terus bangkit dan tetap meneruskan kehidupan dengan harapan mereka dapat membina kembali bandar dan kediaman sepertimana yang pernah mereka diami.

Kejadian ini seharusnya menjadi iktibar dan peringatan bagi setiap diri kita yang bebas daripada ancaman kuasa alam. Mungkin kita di Malaysia mengalami banjir yang teruk hingga menyebabkan kehilangan rumah dan harta benda tapi hanya sedikit yang menjadi korban jika dibanding dengan bencana di Jepun.

Kita mungkin mendapat biasan gempa dan tsunami seperti kejadian tsunami yang pernah berlaku beberapa tahun lalu dan ini sudah cukup mengingatkan kita bahawa kuasa alam tidak boleh dipandang ringan.
Bencana boleh terjadi tanpa disangka dan di mana-mana. Kita mungkin tidak berdepan dengan gempa bumi atau tsunami yang mengorbankan banyak jiwa saban waktu tapi kita masih mengorbankan ramai mangsa di atas jalan raya. Hanya kita sahaja yang mampu mengelak daripada terus menjadi mangsa seterusnya.


Tinta Emas - Jaga dan hargailah bumi kita, jangan sampai ia marahkan kita dengan menimpakan segala kuasa alamnya pada kita nanti.

Sunday, March 6, 2011

Berjalan, Melihat dan Mentafsir

Bila di dalam perjalanan yang panjang dan jauh, namun di pertengahan jalan kita tersasar daripada haluan yang betul. Apa tindakan yang sepatutnya diambil? Adakah perjalanan kita itu masih lagi satu perjalanan yang menyeronokkan atau kita jadi patah semangat untuk meneruskan perjalanan? Untuk menjejaki semula arah yang betul dan meneruskan perjalanan tersebut, kita terpaksa berharap kepada tanda arah dan intuisi sendiri, lebih-lebih lagi jika kita tidak arif tentang jalan yang dilalui.

Pernahkan kejadian sesat dalam perjalanan berlaku kepada anda? Mungkin kita akan berasa kita telah membuang masa dengan mencari arah jalan yang betul dan terlalu banyak persimpangan yang mengelirukan telah buatkan kita menjadi tertekan dan marah. Aku pernah melalui saat-saat yang memenatkan dan membengangkan dalam perjalanan panjang yang tersesat. Bukan kerana tidak arif dengan arah jalan tetapi tanda arah yang mengelirukan, apatah lagi bagi pengguna jalan yang 'mahir' untuk sesat seperti aku ini. Bayangkan perjalanan melalui Lebuhraya Pantai Timur telah lebih daripada berpuluh kali aku lalui, baik dengan menaiki bas atau berkereta. Namun segalanya agak sukar bila cuaca dan keadaan mengawal suasana perjalanan.

Seharusnya pengalaman sesat atau tersalah ambil persimpangan jalan dapat membuatkan kita lebih peka dan belajar daripada kesilapan itu. Bila kita sampai atau melalui suatu tempat yang asing, kita dapat lebih banyak pengalaman dan melihat keadaan sekitar yang belum kita tengok. Tempat-tempat terbut mungkin nanti menjadi tanda arah dan bantuan untuk kita dalam perjalanan akan datang. Begitulah juga dengan pengembara-pengembara di waktu lampau, mereka menjelajah dan merantau ke seluruh ceruk rantau dan jalan hanya untuk mengenali dan belajar tentangnya. Bila mereka kerap kali menunjau dan melalui jalan yang sama, mereka jadi lebih mahir dengan laluan itu. Malah begitulah bagaimana peta-peta dilakar dan hingga kini menjadi alat kembara yang penting untuk kita hari ini.

Betapa bernilainya pengalaman kita yang sesat atau kesilapan yang dilakukan tanpa sengaja kerana semua itu pasti dapat digunakan dengan lebih baik oleh kita sendiri atau juga untuk orang lain. Oleh itu, janganlah terus panik atau tertekan bila kita tersasar daripada laluan, kerana di situlah nanti terbuka satu lalauan baru menuju destinasi sebenar.

Monday, January 17, 2011

Dunia terus berputar

Hidup ini bukanlah seperti yang segelintir kita impikan.
Segalanya indah, ceria, memukau dan bertuah.
Adakalanya kita terpaksa hadapi kegagalan, kesedihan,
kekecewaan dan juga kematian.
Tapi adakah kita akan ikut mati atau gagal jika
sesuatu yang buruk itu terjadi dalam hidup?

Tidakkk! Janganlah kerana kegagalan yang satu,
atau kesalahan yang kecil, juga kekecewaan yang sementara;
melupuskan semangat dan hasrat kita untuk terus mencari destinasi impian.
Ke mana langkah kaki kita menuju,
di mana jasad kita akan berhenti;
adalah menurut kehendak dan keinginan kita sendiri.
Jika kita buntu dan terus hilang keupayaan untuk melangkah lagi,
maka di situlah matinya usaha kita.
Jika dek kerana kecewa kerana usaha selama bertahun-tahun tidak seperti yang diharapkan,
tapi dengan tekad dan rasa tak mudah menyerah kalah maka kita bangkit semula;
maka akhir nanti (insyaAllah) kita pasti temui apa yang kita inginkan.

Hidup ini berlegar-legar antara keinginan dan keperluan;
kemajuan dan kegagalan dan segala yang positif dan negatif.
Kebersamaan ini adalah keseimbangan alam yang wujud sedari manusia melatari kehidupan ini.
Kesenangan yang hadir mungkin juga dengan kesusahan beriringan.
Jangan alpa bila dinaungi kebendaan dan materi.
Jangan tamak bila di sanjungi dan memiliki darjat.
Kerana manusia semua sama taranya; tiada yang lebih mulia darahnya berbanding yang lain.
Hanya kerana luaran dan nilai materi yang bisa dihitung dengan akal yang waras,
maka segelintir cuba menjadikan yang lain sebagai hak milik sendiri.
Lupa bahawa segala di realiti ini hanyalah pinjaman semata

Maka, hiduplah kita di hari ini untuk mendapat keberkatan, rahmah dan restu daripada Yang Satu.
Di sini kasih kita diuji dengan dugaan yang menimpa,
di sana cinta kita diangkat dengan nikmat yang tak ternilai hitungnya.
Penuhi harian dengan lidah yang basah dan sibuk dengan menyebut namaNya.
Kerjakan usaha kita tanpa bertangguh, kerana nanti akan kita perolehi keuntungan yang setimpal.
Dunia ini kan terus berputar, masa dan detik pastinya takkan terhenti;
hanya dengan izinNya pasti segala yang kita sedang nikmati dan miliki ini bisa hilang sekelip mata.
Hiduplah dengan seadanya, usahalah sedaya yang mampu dan sentiasalah mengingati asal kejadian kita di dunia fana ini.

Saturday, January 1, 2011

Salam 2011 :: Mulakan dengan Bismillah...perjalanan masih panjang

Akhirnya 2010 melabuhkan tirainya bila tepat jam 12 tgh malam, memberi laluan 2011 mengambil alih. Itulah perjalanan masa dan kehidupan, terus berlalu tanpa pernah berhenti walau sedetik. Telah banyak yang kita tinggalkan selama 12 bulan yang berlalu. Semuanya akan tinggal kenangan dan menjadi memori suka duka, pahit manis untuk dikenang kembali.

Alhamdulillah aku masih diizinkanNya untuk terus bernafas di sini, menikmati sisa-sisa hidup yang aku sendiri pun tak pasti bila akan berakhir. Tentunya aku amat bersyukur dengan kurnia nikmat sejahtera dan kesihatan yang diberi. Lebih-lebih lagi bila saat ini aku dapat kongsikan dengan keluarga tercinta dan orang-orang yang aku sayangi. Inilah saat dan momen yang aku benar-benar hargai dan aku tak ingin lepaskan saat-saat sebegini sama sekali.

Aku lepaskan tahun 2010 yang penuh rintangan dengan seribu rasa di jiwa. Terasa lega dan kosong bila jarum melewati angka 12 tengah malam 31 Disember. Hari terakhir di tahun 2010 aku dapat bersama keluarga, bergembira dan menghabiskan saat-saat manis bersama-sama. Perancangan berkelah di pantai di saat-saat akhir terlaksana jua setelah dibatalkan pada hari Rabu lepas disebabkan keadaan cuaca yang tak mengizinkan. Tapi hari ini kami tetap meneruskan rancangan berkelah di pantai walaupun keadaan agak tergesa-gesa. Namun segalanya berjalan lancar dan kami tiba di Pantai Sri Telong setelah bertolak seusai solat Jumaat.




Keadaan berangin yang agak kuat dan ombak besar di pantai tidak menghalang api memanggang dinyalakan. Setelah aku dan ayah bertungkus lumus menyediakan tempat memanggang, kami dapat jua menikmati ayam dan ikan bakar di tepi pantai. Seronok bila dapat buat aktiviti keluarga macam ni. Cuma keadaan laut dan pantai yang bergelora dengan ombak besar menghempas pantai, kami tak dapat mandi pantai petang tadi. Kami pulang lebih kurang jam 6 petang. Inilah momen terakhir kami sebagai penutup tahun 2010 yang terindah.

Di sini ingin aku ucapkan jutaan terima kasih dan mohon kemaafan seagungnya kepada semua yang mengenali diri aku, kepada sahabat, teman dan kawan-kawan yang sentiasa dan masih berhubung serta tak lupa kepada mereka yang sudi membaca dan mengikuti catatan aku di sini;


SELAMAT TAHUN BARU 2011! SEMOGA TAHUN BARU INI MEMBAWA KEGEMBIRAAN, KEBAHAGIAAN DAN KESEJAHTERAAN KEPADA ANDA SEMUA. TERUSKAN MEMBINA IMPIAN DAN KEJAR SEGALA PELUANG YANG ADA. SEGALA YANG DIINGINKAN ADALAH ERMULA DARIPADA SATU IMPIAN.

Friday, December 24, 2010

Menghitung detik-detik terakhir

Tanggal esok adalah 25 Disember yang juga merupakan perayaan Hari Natal bagi para penganut Kristian di seluruh dunia. Aku telah selamat kembali ke halaman tercinta setelah dua hari di tempat lama, menguruskan hal-hal berkaitan dan mengambil segala keperluan aku yang masih berada di sana. Kepulangan kali ini adalah untuk mencari hala tuju baru dan teruskan melaksanakan segala yang tertangguh dahulu.

Walau keadaaan masih samar-samar, aku tekad tak akan mengalah dan beralah kali ini. Biarlah teman-teman makin memencil tapi aku masih ada keluarga yang setia menyokong. Ada bebrapa hal yang terpaksa aku korbankan tapi aku tak menyesal mengambil keputusan sebegitu rupa. Bagi aku semuanya pasti ada hikmah di sebalik sesuatu kejadian.

Dengan cuti sekolah yang masih berbaki, aku sedaya upaya cuba memenuhi masa terluang bersama keluarga. Bila saja sesi persekolahan baru bermula nanti pasti mak dan ayah kembali ke rutin asal mereka sebagai pendidik. Dua adik perempuan aku pun tentunya akan masing-masing memulakan sesi baru di Tingkatan Lima dan di Tahun Enam. Wahhh, seronoknya kalau dapat kembali semula ke sekolah!!

Teringat dulu-dulu waktu aku akan melangkah ke tahun baru persekolahan, lebih-lebih lagi di sekolah rendah. Dah menjadi kelaziman akulah antara yang terawal sampai di sekolah dan semestinya aku tidak ada masalah memilih tempat duduk tebaik di dalam kelas baru. Di sebabkan mak dan ayah juga terpaksa tiba awal di sekolah masing-masing, jadi aku dan adik-adik terpaksalah dihantar lebih awal ke sekolah. Jadi selalunya jika ada adik aku yang baru masuk Tahun Satu atau ke tahun baru, akulah yang diamanahkan untuk melihat dan menjaga mereka di pagi pertama persekolahan. Aku selalu menjadi pemerhati setia pelajar-pelajar lain yang datang bersama ibu bapa di hari pertama persekolahan. Tiada yang menghibakan selain perasaan teruja dan seronok melihat gelagat pelajar-pelajar baru. Satu pengalaman yang tak mungkin aku boleh lupakan.

Kini zaman tersebut telah lama berlalu. Yang tinggal hanya kenangan dan memori untuk dikenang. Aku pun dah lama tidak melawat ke sekolah lama aku tu. Cuma bila aku ada kesempatan menghantar adik aku ke kelas tambahannya di sekolah, barulah aku dapat meninjau seketika di sekolah yang banyak memberi pengalaman bagi aku. Keadaannya telah seratus peratus berubah walaupun bangunan pejabat, kantin dan beberapa blok kelas lama masih ada. Kini aku hanya tinggal legasi terakhir aku di situ, adik perempuan aku yang bongsu. Kesemua adik-beradik aku mendapat pendidikan awal di sekolah tersebut. Tak mustahillah jika ada cikgu-cikgu aku yang sempat mengajar adik-adik aku yang lain di sana. Sememangnya itulah sekolah yang benar-benar menggambarkan 'Sekolahku, Rumahku'.

Masih tinggal beberapa hari sahaja lagi untuk tahun 2010 menurunkan tirainya, memberikan laluan kepada tahun baru 2011. Banyak yang telah berlaku sepanjang 12 bulan lepas dan aku hanya boleh ambil iktibar daripada perkara yang negatif yang telah berlaku dan apa yang baik aku jadikan panduan. Apa yang perlu aku betulkan akan aku baiki dan yang buruk yang perlu di tinggalkan akan aku tolak ke tepi. Aku harapkan hijrah aku ini akan mendapat berkat dan restu daripadaNya.

Monday, November 15, 2010

Masih di sini...

Salam sejahtera untuk semua. Yang mengenali diri ini atau yang sudi mengikuti catatan lembaran aku di sini. Alhamdulillah, segalanya seakan lebih cerah dan tenang. Macam mentari yang bersinar pagi ini. Walaupun semalam hujan turun dengan lebatnya sejak petang lagi, namun keindahan pagi ini tidaklah tercela sedikit pun. Rahmat Ilahi jelas kelihatan ke seluruh alam ini.

Tinggal 2 hari lagi umat Islam akan menyambut 'Aidiladha. Aku masih di sini, insya Allah esok aku akan berangkat pulang. Moga perjalananku selamat tiba di sana. Kali ini mungkin kepulanganku lebih lama. Bukan meninggalkan terus apa yang telah aku mulakan di sini, tapi aku ingin beralih angin sekejap. Dah terlalu lama aku 'keracunan' dengan udara di sini, dan aku nak menghirup udara dari tempat lahirku pula. Lagipun aku tak dapat nak teruskan apa-apa kerja selama aku masih di sini, dengan tekanan dan perasaan negatif yang berlegar-legar di sekeliling. Harapnya bila aku bersama dengan keluarga sendiri, segala yang menyakitkan itu akan mereda. Dengan perancangan yang telah aku buat, aku yakin aku boleh melakukan sesuatu yang lebih baik (insya Allah!).

Aku ada menghadiri temuduga baru-baru ini, untuk jawatan pembantu penyelidik. Namun bukan rezeki aku mungkin, aku tak dapat pun. Aku ingat dapatla aku berubah bidang jika dapat kerja tu, takla aku terlalu bergelumang dalam dunia saintifik ni saja. Tapi tak mengapalah, aku boleh cuba lagi jika ada tawaran lain. Jika bukan rezeki aku di sini aku masih boleh cuba di tempat aku nanti. Memang aku sedia maklum bukan senang kalau hendakkan sesuatu dan teramatlah mudah kalau kita nak tinggalkan atau buang sesuatu. Siapa bilang aku suka bergantung kepada orang lain? Selama ini pun aku bukanlah seorang yang terlalu mengharapkan dan bergantung kepada orang lain. Aku lakukan semuanya sendiri dan mengambil keputusan atas kehendak aku sendiri bila aku mula menjejakkan kaki di kampus. Kebebasan seratus peratus diizinkan oleh kedua orang tua aku bagi aku tentukan hala tuju aku di sini (dan tentunya aku akan mintak pandangan daripada mereka dahulu) sehinggalah aku berjaya habiskan fasa pertama dalam pengajian aku.

Hidup aku bukan seperti sekarang, jauh sekali aku inginkan kehidupan seperti ini. Namun aku bukan punya apa-apa kuasa untuk mengubahnya. Aku terima jika aku diuji sedemikian rupa, namun sesekali aku rasakan dugaan dan musibah itu terlalu berat untuk aku tanggung dan tidak berkesudahan akhirnya. Aku pun bukan orang yang jahil agama; aku lahir dengan Islam mengalir dalam urat nadi dan cuma dengan ajaran dan bimbingan yang betul aku dapat berpegang dengan Islam dalam cara hidup aku. Aku sedar aku takkan dapat capai apa yang aku inginkan tapi aku boleh lakukan jika aku kerjakan dengan cara yang betul. Biarpun aku masih berdiri di kalangan orang-orang yang aku lihat dapat jatuhkan air muka aku dan suka cari pasal, aku takkan ambil kisah itu semua. Apa yang aku tahu api jika disimbah dengan minyak ia nyala lebih marak, dan jika dibiarkan apinya pasti padam dengan sendiri.

Selamat Hari Raya 'Aidiladha buat semua rakan-rakan dan teman-teman yang mengenali dan yang mengikuti catatan aku di sini. Semoga kehidupan kalian diberkati dan dilimpahi rahmat dan keberkatan daripadaNya. Mohon maaf atas segala kekhilafan kata dan keterlanjuran bicara.Terima kasih kerana sudi memberi setitis kebahagiaan dan sekelumit harapan untuk diri ini.


Tinta Emas : Syukur peluang untuk aku masih terbuka luas. Moga permohonan aku seterusnya akan membuahkan hasil. Aku boleh jadi sebaik-baik manusia dan aku juga sedaya upaya berbuat baik terhadap sesiapa, hatta kepada orang yang bukan aku kenal; walaupun akhirnya kebaikan itu tidak pasti akan kembali kepada aku.

Wednesday, September 22, 2010

Hidup untuk belajar vs. Belajar untuk hidup

Setelah lama 'bercuti' aku kini kembali ke laman kampus. Masih pening-pening ketupat dan lemang orang kata, aku tercari-cari kembali semangat dan kekuatan yang makin pudar. Masih banyak pekerjaan yang aku tangguhkan harus aku selesaikan. Juga masih ada janji yang aku belum laksanakan sepenuhnya.

Perkara pertama yang aku harus uruskan adalah berkenaan yuran pengajian yang belum dijelaskan. Nampaknya terpaksalah aku menggunakan kewangan sendiri menjelaskannya. Mujur ada peluang sebagai Pembantu Penyelidik untuk aku pohon. Walaupun kekosongan itu di fakulti lain namun tak salah kalau aku cuba. Syarat-syaratnya pun taklah ketat sangat. Aku masih menunggu jawapan daripada pensyarah tersebut. Perkara seterusnya adalah berkenaan hal ehwal rumah tempat tinggal aku tu. Empat orang telah keluar agak serentak bulan lepas dan kemasukan penyewa baru semasa aku pulang ke KB menimbulkan masalah berkenaan sewa. Oleh kerana aku tiada, semua hal diuruskan oleh budak serumah dan bila aku sedar banyak menimbulkan kekeliruan berkenaan sewa rumah.

Aku tak tahu macam mana nak selesaikan hal ini lagi melainkan berbincang dengan penyewa-penyewa baru tu. Dua orang lagi yang nak masuk rupa-rupanya akan mula menyewa pada bulan depan dan itupun memberi kesan kepada masalah ini. Bila masalah berkait dengan duit ni aku jadi agak tertekan. Aku sendiri bukanlah seorang yang berduit, dengan masalah yang timbul agak memberi impak yang negatif pada aku. Jika aku dapat tangani hal ini dengan baik tanpa 'mengasari' perasaan sesiapa aku akan rasa lega sangat.

Dalam menangani hal-hal berat seperti kewangan dan menguruskan keperluan peribadi, aku banyak belajar tentang erti kehidupan. Selama yang aku sedar aku bukanlah tergolong daripada latar belakang yang senang dan berkedudukan, cuma daripada majoriti yang sederhana corak kehidupannya. Bila berdepan dengan hal duit dan kerja, semuanya nampak begitu besar dan sungguh rumit untuk diselesaikan. Masalah-masalah begini sedikit sebanyak memberi kesan kepada aku dalam mencari penyelesaian yang tepat. Jalan mudah yang negatif atau memilih jalan sukar yang positif. Dua tiga tahun ni, aku banyak terbabit dengan masalah berkaitan dengan kewangan. Bukan saja masalah kewangan diri aku sendiri tetapi juga masalah kewangan keluarga juga aku turut tangani.

Aku tak kisah bersusah payah dan tak dapat jalani hidup sesenang orang lain tetapi aku sendiri tak pasti sampai bila masalah ini akan berlarutan. Kalau ianya tak melibatkan banyak pihak ketiga aku taklah sampai jadi tak keruan macam sekarang. Hakikatnya aku terpaksa berdepan dan menebalkan muka dengan ramai orang termasuklah teman-teman dan orang-orang yang mengenali aku. Aku terpaksa rela membiarkan reputasi dan nama aku menjadi cacian dan kutukan kerana aku bukan sengaja membiarkan masalah ini berpanjangan, tapi keadaan aku yang tidak mengizinkan buat masa sekarang.

Aku berharap dapatlah kiranya mereka yang terlibat dengan aku dapat bersabar buat sedikit masa lagi kerana aku sedang sedaya upaya berusaha mencari penyelesaian. Tak mengapalah jika aku terpaksa lagi bermukim di varsiti tercinta ini buat beberapa tahun lagi jika itu yang dapat menyelesaikan segala masalah yang timbul sekarang. Biarlah aku meneruskan kehidupan aku untuk terus belajar jika pelajaran yang terima itu dapat menolong aku dalam meneruskan hidup aku di masa akan datang. Aku sanggup untuk terus menggalas nama sebagai pelajar untuk sepanjang hidup, umpama kata-kata hikmah 'Belajarlah hingga ke liang lahad'.

*Syukur tak terhingga bila dapat panggilan daripada IPS meminta aku ke sana mengambil surat pengecualian yuran bagi semester ini. Akhirnya doa aku termakbul jua, syukur Ya Rabb atas ihsan dan kasihMu. Walaupun pengecualian itu hanya untuk yuran dan aku takkan menerima elaun bulanan itu dah cukup memadai buat aku. Seterusnya aku perlu kerja lebih keras lagi untuk menampung keperluan sendiri. Berilah aku petunjuk Ya Allah!

Thursday, August 12, 2010

Ramadhan : Murnikan niat dan sucikan hati

Setahun berlalu lagi, Ramadhan tiba melengkapkan kalendar Hijrah 1431. Bulan keberkatan penuh dengan ganjaran bagi umat yang taat dan dambakan nikmat kurniaan daripadaNya. Selama sebulan umat Islam akan berpuasa dan amalan solat sunat tarawikh kembali memeriahkan malam-malam di masjid dan surau seluruh negeri.

Ramadhan bagiku cukup tersendiri. Mungkin ada kedengarannya lucu tapi benar-benar berlaku, sama ada kita sedar atau tidak. Bila tiba bulan puasa ni, yang tak pernah-pernah dengar azan Maghrib atau Subuh, tiba-tiba jadi peka dan tertunggu-tunggu suara muazin melaungkannya. Kalau sebelum ni, yang bekerja akan masuk lewat ke pejabat dan balik awal tapi bila bulan puasa, mereka masuk awal dan balik pun awal sebab nak elakkan kesesakan lalu lintas dan sampai awal di rumah untuk berbuka puasa. Hari-hari biasa di bulan lain, kebanyakan orang akan membeli-belah di pasar raya atau ke pasar membeli keperluan harian hanya di hujung minggu sahaja. Tapi bila di bulan Ramadhan ni, ramai yang sedaya upaya akan mengunjungi pasar raya tiap-tiap hari yang terluang kerana jualan sempena perayaan dan juga singgah membeli lauk-pauk di pasar-pasar Ramadhan setiap hari bagi mencari juadah berbuka yang pelbagai.

Begitulah antara pro dan kontranya suasana yang berlaku bila tibanya bulan puasa. Walaupun ada perubahan tersebut kepada kebaikan, tapi kalau hanya di bukan Ramadhan sahaja tak ada gunanya. Biarlah setiap kecenderungan ke arah kebaikan ini berterusan, bukan sekadar segalanya cuma kerana menghormati bulan ibadah yang mulia.

Wednesday, August 11, 2010

Menyambut salam Ramadhan : Siapakah di sisi kita kali ini?

Selamat menjalani ibadah puasa di bulan penuh barakah dan rahmah ini, buat semua keluarga tercinta, sahabat handai, sanak saudara yang berada di mana jua jauh dan dekat. Semoga setiap pekerjaan mulia yang dilakukan dalam bulan Ramadhan ini diberi gandaan pahala daripadaNya. Sama-samalah kita berlumba-lumba membuat kebaikan dan ibadah dengan sepenuh hati kerana ganjaran yang telah dijanjikan olehNya berlipat kali ganda daripada ganjaran beribadah di bulan-bulan biasa yang lain.

Terlalu banyak keistimewaan dan nikmat yang takkan habis-habis diterima oleh umat Muslim di sepanjang bulan pesta ibadah ini. Antaranya adalah nikmat untuk berkongsi bersama keluarga. Memanglah bukan semua orang yang dapat bersama keluarga tercinta sepanjang Ramadhan tapi waktu yang terluang jika dapat diluangkan bersama keluarga adalah saat-saat yang paling aku hargai. Yang bekerja, jauh daripada keluarga mungkin berkata mana dapat berbuka puasa dengan keluarga selalu jika tempat kerja pun dah lain-lain negeri. Betul, tapi bukankah bersama rakan-rakan pun boleh dianggap bersama keluarga?

Siapa 'keluarga' sebenar bagi kita? Dasarnya 'keluarga' pada kita terdiri daripada ibu, ayah, abang, kakak dan adik-adik selain datuk dan juga nenek serta saudara-saudara terdekat yang lain. Tapi bagi aku bila mendefinisikan 'keluarga', aku bukanlah terhadkan istilah keluarga kepada kedua ibu bapa dan adik-beradik. Mungkin aku lebih terbuka bila mengungkapkan makna 'keluarga' bersesuaian dengan siapa bersama-sama aku kala itu. Aku punya 'keluarga' di kalangan sahabat-sahabat dan teman-teman. Walaupun berjauhan dengan keluarga sendiri, namun aku tak pernah merasakan aku berseorangan kerana aku ada teman-teman yang juga sama-sama berjauhan dengan keluarga mereka masing-masing.

Betapa eratnya hubungan yang terjalin antara kami hingga ada ketikanya kami merasakan telah menjadi keluarga antara satu sama lain. Susah senang suka duka sama-sama dihadapi dan kami kongsi bersama. Bukan mudah untuk menyatukan kami yang berlainan latar belakang keluarga dengan satu ikatan jika bukan kerana persefahaman dan kepercayaan antara satu sama lain. Pada kami, dulu kini dan selamanya kami tetap adalah 'keluarga'. Kini, walaupun kami tidak lagi bersama seperti dulu tapi ikatan yang telah terjalin tetap utuh dan kenangan bersama tersimpan kemas dalam ingatan.

Itu antara pengalaman semasa aku di zaman kampus dulu. Kini aku masih punya 'keluarga' teman-teman, walaupun orangnya tak sama tapi yang telah tinggal serumah untuk beberapa ketika cukup buat aku terasa bersama keluarga sendiri. Moga Ramadhan kali ini lebih memberi pengertian buat aku dan rakan-rakan lain....dan aku tentunya lebih-lebih lagi cukup menghargai apa yang aku ada buat waktu ini.
Salam Ramadhan!

Tuesday, July 20, 2010

Pemberian bermakna tanpa balasan dipinta

Pemberian apakah yang paling berharga pernah anda lakukan? Sama ada ianya adalah dari segi masa, tenaga dan material yang penting adalah pemberian itu dilakukan dengan hati yang ikhlas. Aku bukanlah seorang yang dermawan tetapi aku tahu aku takkan menolak jika ada yang meminta bantuan daripadaku. Bermula di bangku sekolah lagi aku belajar memberikan perhatian kepada orang lain, menunjukkan potensi sebagai pemimpin dan sedaya upaya menyelesaikan segala tugasan seperti yang diarahkan. Hingga akhirnya aku membina sikap suka menolong serta membantu orang lain tanpa soal, memberikan segala yang termampu kepada yang memerlukan adalah paling utama dan kepentingan diri aku sendiri, tak pernah aku dulukan.

Entah, aku pun tak pernah fikirkan akibat daripada sikap aku itu. Selama ini aku tak pernah menolak daripada menolong sesiapa yang memerlukan, lebih-lebih lagi sahabat, rakan dan teman-teman. Tak terucap rasanya bila tahu orang yang ditolong itu terlepas daripada masalahnya. Biarpun ada kalanya aku memberikan apa yang aku ada ketika itu, tak pernah aku rasakan keterpaksaan dalam memberi. Aku berpegang dengan 'memberilah untuk menerima' tapi jika kita tidak menerima setaranya seperti apa yang telah kita beri, mungkin nanti kita akan mendapat lebih daripada itu. Semuanya adalah daripadaNya dan dengan kehendakNya jua.

Tapi bila niat baik aku dibalas dengan pengkhianatan, aku cukup kecewa. Mungkin aku terlalu baik, terlalu lebihkan orang lain berbanding diri sendiri dan memberikan peluang kepada orang lain mengambil kesempatan atas kebaikan aku. Kini aku terpaksa menerima dan menanggung segala kesulitan dan masalah yang timbul kerana kebaikan dan pertolongan yang telah aku berikan. Kenapa ada yang sanggup menangguk di air keruh, membiarkan yang berhati telus dalam kesusahan dan menanggung segala kesakitan?

Bukan aku ingin meminta balasan, jauh sekali ingin diberi ganjaran besar-besaran. Cuma kenanglah setiap usaha dan keringat yang telah dipertaruhkan untuk pertolongan yang telah diberi. Banyak kita memberi, semakin banyaklah pula kita akan menerima; tapi betulkah ini boleh terjadi? Atau ianya cuma ungkapan semata-mata. Aku masih berharap setiap yang aku berikan walau kepada sesiapa pun akan menyenangkan orang itu dan sama ada aku akan terima sesuatu daripada perbuatan aku itu, hanya Dia yang dapat membalasnya.