Sunday, September 13, 2009

Yang Telah Pergi dan Yang Masih Kekal Di Sini

Punya ramai kawan, rakan, sahabat dan teman tak menjamin mereka akan terus kekal di sisi. Masa berlalu, manusia berubah dan segalanya pasti takkan sama dan kekal selepas 10 atau 15 tahun selepas itu. Kalau ada yang kekal pun mungkin hanyalah gambar-gambar dan album kenangan bersama mereka semua...itupun kalau masih tersimpan baik dalam koleksi.

Manusia meningkat dewasa secara berperingkat. Dari alam bayi ke alam kanak-kanak, memasuki alam remaja, seterusnya meningkah ke alam dewasa, mencapai kematangan dan seterusnya menjengah alam warga emas. Akhirnya alam barzakh yang menanti. Walau bagaimanapun, tak siapa tahu seseorang manusia itu sempat meniti alam-alam tadi secara urutan. Mungkin hidupnya berakhir sebelum dia sempat memasuki alam dewasa pun. Ataupun hidup terlalu disayangi oleh Yang Maha Penyayang, dirinya terus diambil ketika hayatnya masih bayi atau kanak-kanak. DaripadaNya kita datang dan kepadaNya kita makhluk ciptaaNya akan kembali padaNya.

Tak siapa dan tiada apa yang pasti kekal di dunia ini. Segalanya hanya pinjaman. Tak mudah memiliki apa-apa pun sebagai hak milik mutlak. Sampai saat ketikanya, semuanya pasti akan dikembalikan. Hanya masa yang menentukannya. Tiada siapa dapat menduga bila waktu itu tiba. Bukan seperti tarikh luput pada sesuatu barang yang senang kita agak. Alangkah bagusnya kalau kita dapat menghalang segala perpisahan dan perpecahan daripada terjadi....

Ramai yang hadir dan pergi dalam hidup kita, silih berganti saban hari, saban waktu sepanjang kita meniti kembara ke destinasi abadi...tapi hanya orang yang benar-benar bermakna dalam hidup kita sahaja yang meninggalkan jejaknya dalam hati kita setelah dia pergi...

Sunday, August 30, 2009

Androfobia

Di kalangan wanita, bila perkataan 'LELAKI' disebut, apakah yang anda akan fikir atau terbayangkan? Adakah anda akan berfikir tentang salah seorang teman baik anda yang juga seorang lelaki? Atau terlintas di fikiran anda seseorang lelaki yang anda sayangi? Atau terkenangkan seseorang yang telah lama terpisah dan ingin berjumpa dengannya? Atau tergenang di mata anda seseorang yang anda amat benci dan kecewa dengannya disebabkan perbuatannya terhadap anda?

Tentu banyak lagi yang bermain di fikiran anda bila disebutkan perkataan 'LELAKI'. Suka, gembira, sayang, marah, benci, dendam dan rindu mungkin antara perasaan yang terbit bila perkataan 'LELAKI' diperkatakan. Namun tak banyak hal LELAKI yang diperbincangkan walaupun merekalah yang paling banyak menyumbangkan 'kekecohan' dan 'ketegangan'' dalam kehidupan. Bila timbul konflik, kebanyakannya menunding kepada wanita sebagai sumber pencetus, atas sebab wanita sedia maklum dikenali sebagai 'yang sukar diagak' tingkah lakunya.

Perbezaan antara lelaki dan wanita jelas amat ketara, baik dari segi fizikal dan emosi. Lelaki dikatakan mempunyai banyak akal berbanding wanita yang memiliki banyak kemahuan (nafsu). Antara lelaki dan wanita juga saling tertarik pada satu sama lain dan perbezaan sifat dan sikap kedua jantina inilah yang mencorakkan kehidupan. Namun, apa yang boleh terjadi jika wanita TIDAK SUKA atau BENCI terhadap lelaki?


Dalam istilah psikologi, sikap dan perasaan tidak suka atau benci terhadap lelaki dikenali sebagai ANDROFOBIA. Apa yang menyebabkan perasaan ini timbul? Pengalaman atau perhubungan lampau dengan seseorang lelaki yang mana ia tidak berakhir dengan baik menjurus kepada punca perasaan ini timbul. Perasaan pernah dikecewakan, disakiti, dikhianati dan ditinggalkan oleh lelaki antara pencetus androfobia di dalam diri wanita. Perasaan negatif ini bermula dengan rasa kecewa dan marah namun jika tidak dikawal dan diatasi dengan betul akhirnya akan mewujudkan sikap menolak dan benci terhadap lelaki yang akhirnya memupuk rasa dendam yang tak berkesudahan.

Secara semulajadi sifat dan kelakuan wanita adalah lemah lembut dan kebanyakan tindak tanduknya dipengaruhi oleh emosi. Jiwa wanita amat rapuh, serapuh kayu yang dimakan anai-anai; mudah musnah dan dihancurkan. Namun di sebalik semua sifat yang dianggap lemah oleh kaum lelaki ini, wanita adalah umpama bom berjangka yang bila-bila masa sahaja boleh meletup bila tidak dijaga dengan baik. Sikap wanita cukup prihatin pada keadaan, tetap hatinya pabila telah nekad dan cukup menjaga rahsia diri adalah antara pendorong wanita bisa jadi musuh paling bahaya kepada lelaki, lebih-lebih lagi lelaki yang telah menyakiti dan melukakan perasaannya.


Justeru, ambillah pendekatan berhikmah bila melayan dan berteman dengan wanita. Dari pesona luarannya, wanita mungkin mementingkan kebendaan dan kecantikan tapi siapa boleh menduga di sebalik itu tersembunyi satu perasaan membuak yang mungkin mampu 'membunuh' dan ancaman utamanya tentulah terhadap lelaki. Hargailah setiap wanita yang hadir dalam hidupmu wahai LELAKI, kerana sekali seorang wanita itu kasih padamu sampai bila-bila kasihnya tetap pada seorang lelaki itu. Jangan biarkan rasa sayang ini bertukar benci.


~Tinta Emas~....hingga saat ini, ingatan ini masih padamu...

Wednesday, June 3, 2009

Siapakah Kawan, Rakan, Sahabat atau Teman?

Setia orang pastinya memiliki lebih ramai kenalan berbanding ahli keluarga sendiri. Siapa yang tidak ada kenalan selain dirinya sendiri? Rugilah dirinya jika sepanjang hidupnya hanya bersendirian sepanjang hidupnya. Banyak panggilan diberi terhadap kenalan rapat ini. Ada yang memanggilnya kawan, ada yang menggelarnya rakan, ada juga yang suka menyebutnya dengan nama sahabat dan ada yang lebih gemar menamakannya dengan panggilan teman.

Aku bukan sesuka hati hendak mengkategorikan gelaran-gelaran tersebut kerana maksud bagi semua perkataan terbut adalah sama cuma kalau diberikan maksud istilahnya, mungkin ada pertikaian. Apa pun ingin aku kongsikan petikan nasihat Al-Qamah kepada puteranya dalam mencari dan memilih teman untuk bersahabat.

Berpesan Al-Qamah kepada puteranya,"Wahai puteraku! Sekiranya kamu merasakan perlu untuk bersahabat dengan seseorang maka hendaklah kamu memilih teman-teman yang memiliki sifat-sifat yang berikut;

* Jika kamu ditimpa oleh bencana maka temanmu itu akan cuba melakukan sesuatu untuk menghilangkan dan meringankan kesusahanmu itu;

* Jika kamu meminta sesuatu bantuan atau pertolongan dari temanmu itu makan dia akan segera mengusahakannya;

* Jika kamu merancangkan sesuatu maka temanmu itu akan turut membantumu dengan memberikan pandangannya;

* Jika kamu bercakap dengannya maka temanmu itu akan membenarkan kata-katamu;

* Jika temanmu itu melihat sesuatu yang tidak baik dari perbuatanmu atau perkataanmu maka dia segera menutupinya (menegurmu);

* Jika kamu mengeratkan hubungan persahabatan dengan temanmu itu maka dia akan membalas dengan baik pertalian persahabatan itu;

* Jika kamu menghulurkan sesuatu kebaikan kepada temanmu itu maka dia akan menerimanya dengan baik malah membalasnya kembali;

* Jika temanmu itu mendapat sesuatu kebaikan atau kebajikan daripadamu maka dia akan mengingatinya, menghargai dan menyebutkan akan kebaikanmu itu;

* Jika kamu berdiam diri atau malu (segan) untuk meminta sesuatu daripadanya maka dia akan bertanyakan akan kesusahanmu itu;

* Jika kamu berselisih faham dengan temanmu itu maka dia lebih rela mengalah demi untuk memelihara persahabatan kamu berdua;

maka seandainya demikianlah sifat-sifat yang ada pada teman-temanmu itu, dialah yang seharusnya kamu jadikan teman baikmu".

"Sekiranya kamu hendak mengetahui akan tingkah laku, peribadi atau perlakuan seseorang itu yang mana adakah dia seorang yang soleh atau tidak, maka tidak perlulah engkau bertanyakan ke sana-sini atau kepada mana-mana orang. Cukuplah dengan kamu melihat siapakah kawannya dan siapakah orang-orang yang disayanginya, dari dengan itu kamu akan mengetahui peribadinya kerana seseorang yang berkawan lazimnya akan mengikut kelakuan dan perbuatan kawannya sendiri." (Hukamak)

Renung-renungkanlah dan moga menjadi panduan kalian....

Saturday, May 2, 2009

Kalam Bicara

Ya Rabb!! Ku bukakan lembaran catatanku ini dalam perjalanan mencari cinta kepadaMU. Telah kudaki puncak derita sengsara tatkala KAU tiada di hatiku. Telah ku Jatuh tersungkur ke lembah hina bila hatiku jauh daripadaMU. Telah ku terapung di langit kecewa bila hilang namaMU dari halaman jiwaku.

Ya Muqaddim!! maka sehinanya sifat hamba dalam diri ini, restuilah perjalananku dalam mencari redhaMU, dalam meraih keampunan dan rahmat daripadaMU. Agar tidak tersesat dalam lingkaran waktuMU.

Ya Allah! Tiada serinya hidupku ini waima melimpah ruah kasih insan sedang tiada pula kasihMU di kalbuku. Andai tiada kasihku untukMU di hatiku ini, maka perkenankanlah perjalanan batinku... dalam mencari jalan pulang kepadaMU dengan cinta yang tulus suci.