Thursday, October 27, 2011

Harapan

Benarlah, kita tak dapat menghalang jika ianya adalah ketentuan Ilahi. Jika inilah takdir yang telah termaktub, kita hendaklah menerimanya dengan hati yang tabah. Mungkin sekarang kesusahan dan musibah ini terasa sungguh perit untuk diterima. Tapi di sebaliknya insyaAllah akan ada sinar bahagia yang pasti menerangi hari esok. Di sinilah penentuan kita dalam menghadapi ujian dan dugaanNya, lantas sebagai hambaNya kita hendaklah pasrah dan terus memohon kepada Dia Yang Satu supaya diberi kekuatan dan tabah dalam menghadapinya.

Hari-hari yang berlalu terasa sungguh sunyi. Rumah yang dulunya ceria dan gempita dengan suara gurau senda mahupun percakaran kecil antara seisi rumah kini hanya tinggal bunyi keriut daun pintu dan suara dari peti televisyen. Sesekali kedengaran bunyi lesung batu ditumbuk serta sudip dan kuali berlaga menandakan seseorang sedang memasak. Namun itupun hanya sekali sehari. Aku terasa sedih dengan keadaan rumah sekarang memandangkan Mama masih belum pulih daripada sakitnya dan berada di hospital. Hanya tinggal aku dan 3 orang adik bersama di rumah. Ayah berada bersama Mama, menjaganya setiap masa ditemani adik perempuanku yang seorang lagi. Ayah dan adik aku terpaksa mengambil cuti kerana ingin berada di sisi Mama.

Cuma aku, yang paling tua diamanahkan untuk menjaga adik-adik aku yang lain kerana perlu mengahadiri sekolah dan akan mengambil peperiksaan. Bukan aku tak pernah ditugaskan menjaga rumah dan menjaga adik-adik semasa ketiadaan Ayah dan Mama, tetapi sekarang aku bukan sahaja bertindak sebagai kakak yang tua namun aku juga adalah penjaga utama. Kerana Mama masih belum pasti bila akan keluar daripada hospital, akulah yang akan bertanggungjawab akan keadaan adik-adik dan rumah buat masa sekarang.

Harapan aku agar Mama akan segera sembuh dan dapat kembali ke rumah, bersama Ayah dan adik-adik yang lain. Aku harap dengan Hari Raya Aidiladha yang semakin tiba ni, kami boleh menyambutnya bersama-sama seperti tahun-tahun lepas. Aku sangat-sangat berharap aku masih sempat bersama-sama Mama seperti biasa, ketawa dan menangis bersama dan juga masih banyak ilmu kehidupan yang aku belum belajar daripadanya.Terlalu banyak yang belum aku kecapi daripada Mama dan hidup ini, hanya harapan dan doa aku mohon moga Engkau mendengarnya dan dengan izinMu aku masih dapat memeluk ibuku lagi...


p/s: Jika keadaan masih seperti ini, mungkin Aidiladha kali ini akan kami sambut di HKL bersama Mama di sana. Yang pastinya Aidiladha kali ini amat berbeza daripada tahun-tahun lalu.