Friday, December 24, 2010

Menghitung detik-detik terakhir

Tanggal esok adalah 25 Disember yang juga merupakan perayaan Hari Natal bagi para penganut Kristian di seluruh dunia. Aku telah selamat kembali ke halaman tercinta setelah dua hari di tempat lama, menguruskan hal-hal berkaitan dan mengambil segala keperluan aku yang masih berada di sana. Kepulangan kali ini adalah untuk mencari hala tuju baru dan teruskan melaksanakan segala yang tertangguh dahulu.

Walau keadaaan masih samar-samar, aku tekad tak akan mengalah dan beralah kali ini. Biarlah teman-teman makin memencil tapi aku masih ada keluarga yang setia menyokong. Ada bebrapa hal yang terpaksa aku korbankan tapi aku tak menyesal mengambil keputusan sebegitu rupa. Bagi aku semuanya pasti ada hikmah di sebalik sesuatu kejadian.

Dengan cuti sekolah yang masih berbaki, aku sedaya upaya cuba memenuhi masa terluang bersama keluarga. Bila saja sesi persekolahan baru bermula nanti pasti mak dan ayah kembali ke rutin asal mereka sebagai pendidik. Dua adik perempuan aku pun tentunya akan masing-masing memulakan sesi baru di Tingkatan Lima dan di Tahun Enam. Wahhh, seronoknya kalau dapat kembali semula ke sekolah!!

Teringat dulu-dulu waktu aku akan melangkah ke tahun baru persekolahan, lebih-lebih lagi di sekolah rendah. Dah menjadi kelaziman akulah antara yang terawal sampai di sekolah dan semestinya aku tidak ada masalah memilih tempat duduk tebaik di dalam kelas baru. Di sebabkan mak dan ayah juga terpaksa tiba awal di sekolah masing-masing, jadi aku dan adik-adik terpaksalah dihantar lebih awal ke sekolah. Jadi selalunya jika ada adik aku yang baru masuk Tahun Satu atau ke tahun baru, akulah yang diamanahkan untuk melihat dan menjaga mereka di pagi pertama persekolahan. Aku selalu menjadi pemerhati setia pelajar-pelajar lain yang datang bersama ibu bapa di hari pertama persekolahan. Tiada yang menghibakan selain perasaan teruja dan seronok melihat gelagat pelajar-pelajar baru. Satu pengalaman yang tak mungkin aku boleh lupakan.

Kini zaman tersebut telah lama berlalu. Yang tinggal hanya kenangan dan memori untuk dikenang. Aku pun dah lama tidak melawat ke sekolah lama aku tu. Cuma bila aku ada kesempatan menghantar adik aku ke kelas tambahannya di sekolah, barulah aku dapat meninjau seketika di sekolah yang banyak memberi pengalaman bagi aku. Keadaannya telah seratus peratus berubah walaupun bangunan pejabat, kantin dan beberapa blok kelas lama masih ada. Kini aku hanya tinggal legasi terakhir aku di situ, adik perempuan aku yang bongsu. Kesemua adik-beradik aku mendapat pendidikan awal di sekolah tersebut. Tak mustahillah jika ada cikgu-cikgu aku yang sempat mengajar adik-adik aku yang lain di sana. Sememangnya itulah sekolah yang benar-benar menggambarkan 'Sekolahku, Rumahku'.

Masih tinggal beberapa hari sahaja lagi untuk tahun 2010 menurunkan tirainya, memberikan laluan kepada tahun baru 2011. Banyak yang telah berlaku sepanjang 12 bulan lepas dan aku hanya boleh ambil iktibar daripada perkara yang negatif yang telah berlaku dan apa yang baik aku jadikan panduan. Apa yang perlu aku betulkan akan aku baiki dan yang buruk yang perlu di tinggalkan akan aku tolak ke tepi. Aku harapkan hijrah aku ini akan mendapat berkat dan restu daripadaNya.

Sunday, December 12, 2010

Kesalkah aku....?

Dah 3 hari demam aku ni masih belum kebah. Kepala aku ni makin berat, ditambah batuk yang memeritkan tekak. Aku ni jenis yang jarang sakit, jadi bila dapat sakit terukla keadaannya.

Malam ni aku tak boleh nak lelap pulak. Entah kenapa...mungkin sebab awal tadi dan sejak petang lagi dah dekat 3 peket kopi 3in1 yang aku minum. Adoiii, esok mesti tambah berpusing kepala ni.

Tiba-tiba alarm phone aku menjerit nyaring. Reminder ape pula ni? Rasanya aku tak tinggalkan apa-apa pesanan untuk esok. Bila aku lihat pada skrin yang tertera adalah peringatan hari lahir seseorang yang aku kenal tapi telah lama hilang dalam hidup aku. Aku terdiam seketika. Rupanya aku tak pernah buang pun namanya daripada buku alamat aku.

'Selamat hari lahir, moga dirahmati olehNya dan sentiasa beroleh kesenangan dan kesejahteraan'. Hanya itu yang terluah oleh aku, walaupun hanya dari hati ini. Biarlah tarikh itu menjadi salah satu imbasan silam aku. Tiada apa yang aku sesali dan aku tak berharap untuk mengingati tarikh itu lagi.