Tuesday, February 15, 2011

Menelusuri perjalanan hidup Kekasih Allah

Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Muhammad S.A.W Rasul sekalian umat manusia akhir zaman.

صَـلَّى اللهُ عَـلَى مُحَمَّد صَـلَّى اللهُ عَـلَيْهِ وَسَـلَّم
يَا نَبِى سَلاَمُ عَلَيْكَ يَا رَسُوْلُ سَلاَمُ عَلَيْكَ
يَا حَبِبُ سَلاَمُ عَلَيْكَ صَلَوَاتُ اللهِ عَلَيْكَ

Bersempena sambutan Maulidur Rasul 1432H, sebaik-baiknya kita hayati dan singkap kembali sejarah kehidupan Baginda S.A.W sedari peristiwa kelahiran, zaman kanak-kanak Baginda S.A.W hinggalah rentetan perjuangan dakwah Baginda S.A.W.

Telah dijelaskan dalam Al-Quran dan Hadith, Baginda S.A.W adalah manusia terulung dengan memiliki sikap dan sifat-sifat yang tidak ada tolok bandingnya. Antara sifat terpuji Baginda S.A.W yang cukup aku kagumi adalah sikap sabar dan pemaaf Baginda S.A.W. Dalam satu peristiwa di mana Baginda S.A.W yang datang ke Thaif untuk berdakwah kepada penduduk di sana namun kedatangan Baginda S.A.W tidak diterima dengan baik. Bahkan penduduk Thaif telah memperlakukan Baginda S.A.W dengan buruk bila mereka menghina dan memukul Baginda S.A.W hingga berdarah di muka. Namun dengan sabar Baginda Rasulullah S.A.W memaafkan penduduk Thaif yang telah memperlakukan Baginda S.A.W dengan buruk. Malah Baginda S.A.W mendoakan pula agar para penduduk Thaif nanti akan menerima kebenaran Islam dan beriman kepada Allah S.W.T. suatu masa nanti kerana mereka masih jahil. (Hadith Bukhari)

Itulah antara sikap yang bukan tidak ada tapi jarang-jarang ada pada umat Muhammad hari ini. Sikap suka memaafkan bila ada yang berbuat salah kepada kita dan juga sikap sabar dengan perlakuan buruk orang terhadap kita atau sabar dalam menghadapi kesusahan hidup. Mungkin sikap sabar itu lebih ramai yang memilikinya berbanding sikap pemaaf. Sabar dalam hadapi kesulitan, sabar dengan masalah yang melanda malah ada yang 'sabar' dalam kemarahan terhadap orang lain.

Justeru seeloknyalah di bulan Rabi'ul Awal ini kita menyedarkan diri kita tentang sejarah Baginda S.A.W serta menghayati nilai-nilai murni yang telah ditinggalkan Baginda S.A.W kepada kita untuk diamalkan. Tiada manusia agung selain Baginda Rasulullah S.A.W, kekasih Allah, idola sepanjang zaman bagi kita sebagai umat akhir zaman ini. Inilah hari kekasih yang sepatutnya diingati oleh segenap lapisan masyarakat Islam dan diraikan dengan penuh pengertian.

Salam Maulidur Rasul untuk semua.

Saturday, February 12, 2011

Krisis Mesir : Pengakhiran yang pasti

Akhirnya berita yang selama ini dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Mesir berlaku juga. Aku tak arif sangat tentang hal ehwal politik Arab di sini tapi yang aku faham corak pemerintahan yang ada adalah membebankan serta menindas rakyat. Memang padanlah jika rakyat bangkit dan menentang pemerintah yang bersikap kuku besi dan korup kerana tidak akan selamanya bertahan pemerintah yang tidak menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pelindung dan pentadbir negara. Inilah yang telah ditunjukkan oleh seluruh masyarakat Mesir.

Mubarak letak jawatan, rakyat Mesir berpesta.

KAHERAH 12 Feb. - Presiden Hosni Mubarak akhirnya tunduk kepada desakan jutaan rakyatnya apabila meletakkan jawatan yang diumumkan oleh naib presidennya, Omar Suleiman dalam televisyen negara itu malam tadi. “Mengambil kira ketegangan yang berlaku, presiden mengambil keputusan meletak jawatannya sebagai presiden dan Majlis Tertinggi Tentera akan mengambilalih pentadbiran negara,” kata Omar ketika mengumumkannya dalam televisyen. Jutaan rakyat Mesir yang membanjiri Dataran Tharir dan yang mengadakan tunjuk perasaan diseluruh negara bersorak dan menari kegembiraan sebaik Omar membuat pengumuman tersebut. Mubarak, 82, yang memerintah selama 30 tahun telah meninggalkan Kaherah bersama anggota keluarganya ke pusat percutian di Sharm el-Sheikh di Laut Merah. Di Tunis, rakyat Tunisia turut berpesta meraikan perletakkan jawatan Mubarak selepas empat minggu mereka menggulingkan Zine El Abidine Ben Ali dari tampuk pemerintahan dengan menari dan membunyikan hon kenderaan sepanjang jalan. Sebelum itu, satu sumber memberitahu AFP, setiausaha agung parti pemerintah Mesir, Parti Demokratik yang baru dilantik oleh Mubarak, Hossam Badrawi meletakkan jawatan. - AFP

Monday, February 7, 2011

Kepulangan yang dinanti

Beberapa hari ni berita-berita panas berkisar tentang kejadian berdarah di Tanah Arab sana memenuhi paparan akhbar tanah air. Dan selama itulah juga rakyat Malaysia berdebar-debar menantikan berita tentang keselamatan sanak saudara dan juga pelajar-pelajar yang sedang menuntut di sana. Hingga keadaan telah sampai ke kemuncak, pihak Wisma Putra memutuskan untuk membawa balik semua rakyat Malaysia yang berada di Mesir untuk keselamatan mereka.

JEDDAH – Seramai 762 pelajar Malaysia yang ditempatkan di Pusat Transit Haji, Madinatul Hujjaj di sini menjadi kumpulan pertama berlepas pulang ke tanah air dengan penerbangan pertama pada pukul 6.30 petang waktu tempatan. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, seramai 320 orang akan menaiki penerbangan AirAsia, diikuti 442 lagi dengan pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang dijadual berlepas pukul 8 malam (waktu tempatan) semalam. “Kedua-dua penerbangan ini dijangka tiba serentak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 9.30 pagi ini,” katanya ketika memberi taklimat kepada kumpulan pertama pelajar yang akan berlepas pulang di sini semalam. Jamil Khir juga memberitahu, ketibaan kumpulan pelajar itu akan disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ops Piramid: 778 rakyat Malaysia selamat tiba di tanah air
SEPANG 7 Feb. – Kumpulan pertama 778 orang warga Malaysia yang dibawa pulang dari Mesir melalui Ops Piramid, selamat tiba di tanah air hari ini. Rakyat Malaysia itu termasuk penuntut di Mesir, menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia dari Jeddah, tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira 10 pagi. Seramai 459 orang adalah penumpang MAS manakala 319 lagi penumpang AirAsia. Ops Piramid merupakan usaha untuk membawa rakyat Malaysia yang terperangkap di Mesir, yang sedang dilanda pergolakan, ke Jeddah di Arab Saudi sebelum dibawa pulang ke tanah air. – Bernama

Aku berharap semuanya berjalan dengan lancar dan keadaan akan kembali aman di Mesir.