Sunday, June 6, 2010

Terjajah di tanah air sendiri...oleh warga sendiri!

Hari ini aku berkesempatan ke Serdang. Tugasan kerja menyebabkan terpaksa dihabiskan tak mengira hujung minggu atau cuti am. Namun peluang ini boleh diguna untuk 'bersiar-siar' seketika selepas terlalu lama tak ke mana-mana dalam sebulan dua ini. Agak lama tak menaiki komuter, jadi terasa untuk menggunakan kemudahan pengangkutan kereta landasan tersebut. Walaupun sedar pasti ramai yang akan menggunakannya juga tambahan lagi komuter ke Serdang laluannya menuju Seremban yang tentunya dinaiki ramai pengguna, Lebih-lebih lagi hari ini hari minggu. Aduhh! Nak tak nak, terpaksalah aku teruskan juga.

Lepas Zohor, aku keluar menuju ke Sentral Kuala Lumpur. Seperti yang dijangka, orang ramai seperti tak pernah sunyi daripada memenuhi tempat itu. Selepas mendapatkan tiket, aku terus ke platform 6 untuk menunggu komuter yang bakal tiba dalam beberapa minit saja lagi. Mulanya kelihatan tidaklah terlalu sesak yang menunggu komuter ke Seremban ini. Setelah komuter yang dinanti berhenti di platform, tiba-tiba sahaja jumlah orang bertambah dengan tiba-tiba berpusu-pusu hendak masuk ke perut komuter. Mujurlah aku terkedepan dan berjaya meloloskan diri ke dalam. Huh, lepas satu hal!

Sebaik sahaja berada di dalam komuter, aku tergamam seketika kerana kebanyakan yang memenuhi tempat duduk adalah lelaki dan mereka semuanya bukan warganegara! Apa nak buat, terpaksalah aku berdiri saja. Dalam hati tertanya-tanya dari mana dan ke mana mereka semua ni hendak pergi. Rasa tak begitu selesa bila antara mereka agak liar matanya memandang yang berdiri di tengah-tengah perut komuter. Namun, keresahan aku tak berakhir di situ. Semasa berada di hentian MidValley, satu pengumuman yang kedengaran di situ dan dalam setiap gerabak kemudiannya buat aku jadi rasa menyesal tak sudah. Suara tersebut mengatakan bahawa koc tengah adalah dikhaskan untuk penumpang wanita sahaja. Apa?! Sejak bila ada koc khas untuk wanita? Sebetulnya aku tidak tahu menahu mengenainya, yelah dah lama tak menaiki komuter untuk ke mana-mana.

Setelah melepasi stesen MidValley barulah aku perasan bahawa gerabak yang aku huni itu sungguh panas, semacam penghawa dinginnya tidak berfungsi. Penumpang yang baru menaiki gerabak yang sama turut merasai bahangnya. Sungguh seksa betul berada di dalam gerabak komuter tersebut selama 30 minit perjalanan berikutnya. Sesampai sahaja aku di Serdang aku terus menemui sahabat yang telah sedia menunggu aku di sana dan aku kena selesaikan urusan aku secepatnya supaya aku boleh balik sebelum hari terlalu petang.

Jam 5 aku telah dapat membereskan urusan aku dan aku bergegas untuk kembali ke KL...tentunya menaiki komuter kembali. Setelah aku dapat tahu bahawa terdapatnya koc khas untuk wanita, terasa lega sikit hati ni. Aku menunggu di tengah-tengah tempat menunggu yang aku rasa di tengah-tengah komuter. Mujur ada seorang wanita separuh baya yang aku panggilnya makcik sudi menunjukkan 'kawasan tengah' yang khas untuk wanita itu. Setelah komuter yang ditunggu tiba, aku lihat ramai yang berasak-asak untuk masuk ke gerabak khas tersebut yang nampaknya hampir padat. Yang membuatkan aku agak bengang adalah yang turut bergasak itu adalah kaum Adam! Makcik yang bersama aku tadi turut menyuarakan rasa terkilannya dengan kejadian itu.

Mujurlah di dalam koc itu pendingin hawanya berfungsi dengan baik. Walaupun kami berjaya memasuki koc tersebut, hati aku cukup cuak dengan sebilangan lelaki yang turut berebut memasuki koc yang kononnya khas untuk wanita. Kali ini bukan saja bukan warga tempatan sahaja malah orang sendiri pun sama saja. Bukan mereka semua tak tahu membaca sebab aku tengok label diletak pada cermin koc itu ditulis dalam 5 jenis bahasa! Aku boleh katakan lelaki-lelaki ni semuanya hanya mementingkan diri sendiri saja dan suka ambil kesempatan. Makcik di sebelah aku tu juga mengaku lelaki asing kebanyakannya buat-buat tak endah dengan peraturan koc khas ini, dan lelaki tempatan pun turut tunjuk belang di tempat yang salah.

Aku terfikir, di mana sikap budi bahasa dan kepatuhan mereka semua? Adakah kesedaran moral dan sivik lelaki-lelaki Malaysia sudah terhakis hari ini? Kalaulah betul, tak pelikla jika kadar kemalangan di jalanraya terus meningkat dan makin bertambah dari tahun ke tahun kerana kebanyakan pemandu Malaysia adalah lelaki! Semuanya saling berkait, jika lelaki sesuka hati nak ceroboh hak yang telah dikhaskan untuk wanita, tak mustahil perkara yang lebih teruk dan lebih menjengkelkan boleh berlaku ke atas kaum wanita disebabkan kelakuan kurang sopan dan sembrono kaum lelaki.

Satu lagi, kalau boleh pihak pengurusan KTMB kena tingkatkan lagi pengawasan penumpang-penumpang di setiap stesen komuter lebih-lebih lagi mengawasi jenis penumpang yang ingin menaiki koc khas untuk wanita. Jika pengawasan pun hanya sambil lewa memerhatikan sahaja tanpa menghalang, buatlah koc khas untuk orang tua pun, pasti yang memenuhi perut koc itu semuanya yang gagah perkasa belaka. Peraturan dikuatkuasakan adalah untuk dipatuhi, bukan sesenang hati untuk dilanggar. Aku harap ada lagi yang sedar akan masalah kemerosotan moral dankesedaran sivik masyarakat kita hari ini, dan aku seorang diri tak mungkin terdaya melakukannya. Ia memerlukan kerjasama semua dan barulah masyarakat Malaysia bukan saja lebih dikenali dengan sikap ramah-tamah tapi sikap bertanggungjawab dan patuh dengan peraturan tak kira tempat dan masa. Itu barulah masyarakat 1 Malaysia sebenar yang dilaung-laungkan selama ini.

Saturday, June 5, 2010

Malang tak berbau : Kesedaran di sebalik kecuaian

Pada jam 1 pagi sebentar tadi aku telah menyaksikan satu kebakaran berlaku di depan mata. Api yang telah marak sedang membakar sebuah kediaman tingkas atas di flat DBKL di Kerinchi. Dari balkoni rumah, api yang sedang marak dari dalam rumah berkenaan dapat dilihat dengan jelas. Lebih kurang 15 minit sebelum itu aku mendengar jeritan kuat orang ramai di luar menghebohkan tentang kebakaran yang sedang berlaku. Aku dikejutkan dengan teman serumah yang turut bergegas keluar untuk memastikan kekecohan yang berlaku.

Kelihatan dari jauh di tingkat atas sebuah rumah api sedang marak. Aku lihat orang ramai mula berkumpul memenuhi di sekitar perkarangan bawah flat dan Vista Angkasa setelah mula menyedari tentang kebakaran berkenaan. Jeritan bertalu-talu dilaungkan memberitahu penghuni blok berkenaan tentang api yang sedang marak. Namun aku perhatikan walaupun orang ramai kuat berteriak memberitahu, beberapa rumah bersebelahan dengan rumah yang sedang terbakar itu masih gelap. Mungkin juga penghuninya tiada di rumah dan mungkin juga penghuninya seolah-olah tidak mempedulikan jeritan dan laungan orang ramai tadi. Aku sendiri pun tak pasti. Yang aku fikir, ada sesiapa tak yang telah menelefon pihak bomba?!

Api kian marak. Jelas ia telah menyambar siling rumah berkenaan. Lebih kurang 1o minit kemudian siren bomba kedengaran dan aku rasa bersyukur mengharapkan pihak bomba dapat mengawal dan memadamkan api yang sedang marak. Terlintas di fikiran jika ada antara penghuni rumah berkenaan yang mengalami kecederaan. Aku cuma dapat berharap semuanya akan selamat. Akhirnya setelah hampir sejam aku setia menyaksikan drama realiti itu, kelihatan api berjaya dipadamkan sepenuhnya dan asap hitam masih berkepul-kepul memenuhi tingkat atas blok flat terbabit.

Dalm hati, aku terfikirkan jika musibah yang sama menimpa di blok kediaman aku ini. Apa yang sepatutnya aku buat dalam saat getir itu? Menjerit dan melaung meminta tolong? Sungguh, dalam waktu-waktu kecemasan sesiapa pun akan mengalami situasi 'lumpuh' seketika. Tidak tahu apa yang perlu dibuat, tidak tahu ke mana hendak larikan diri dan apa yang patut diselamatkan. Tetapi persoalan sebenar yang bermain-main di fikiran aku adalah, apa punca yang menyebabkan berlakunya kebakaran atau apa saja kemalangan itu? Adakah ianya disebabkan sikap cuai manusia sendiri atau kerana kesilapan teknikal?

Namun bila perkara yang telah berlaku tidak guna dipersoalkan. Seperti pepatah 'malang tak berbau', kemalangan dan musibah boleh berlaku kepada sesiapa dan di mana saja tidak kira masa. Hanya dengan langkah-langkah berjaga-jaga dan sikap bertanggungjawab saja yang mampu mencegahnya daripada berlaku. Cuma kita sebagai ahli yang hidup dalam satu komuniti di satu-satu tempat perlulah sentiasa berwaspada dan cepat bertindak sama ada untuk menghalang atau membantu jika ada kemalangan dan musibah yang terjadi.


Tinta Emas :~ Menunggu siaran berita mengenai kebakaran tadi...moga tiada yang cedera