Monday, March 14, 2011

Khabaran duka

Gempar seketika hari ini (11 Mac) bila mendengar Jepun dilanda tsunami akibat gempa bumi yang mencecah 8.9 darjah skala Richter. Gempa yang berpusat di Iwate itu berlaku pada lewat jam 1.46 petang waktu tempatan. Bila sahaja mendapat berita ini, Mama segera minta aku hubungi Azim yang berada di Miyazaki. Mana tidaknya, selepas gempa bumi kuat berlaku tsunami melanda dengan ganas dan melenyapkan sebahagian besar bandar-bandar berdekatan dengan pesisiran laut.

Hari berikutnya melaporkan berita letupan besar terjadi di loji nuklear di Fukushima. Ditambah lagi dengan bekalan kuasa elektrik terputus bakal menyebabkan kegagalan reaktor berfungsi dan mungkin menyebabkan letupan susulan dan kebocoran bahan radioaktif akibat pemanasan melampau dalam reaktor. Ini sememangnya bencana terburuk abad ini!

Tak ketinggalan aku juga mengalami bencana, walaupun tak seburuk gempa bumi tapi tetap membantutkan kehidupan aku. Tiada apa yang dapat aku buat untuk sementara ini, hanya tetap mencari peluang yang ada. Aku pun harap segalanya masih dapai diubah dan belum terlambat untuk aku bertindak. Tanggungjawab aku ditagih bila ayah sibuk menguruskan perkhemahan PBSM sekolahnya. Dapatlah juga aku jadi peneman Mama yang setia mendengar perkhabaran bencana dari Jepun. Tambah merisaukan bila berita terjadi gegaran susulan di sana dan juga terdapat aktiviti aktif gunung berapi yang dijangka akan meletus di kawasan Azim.

Aku harap di sebalik berita-berita duka dan malang ini akan segera berakhir tanpa memakan korban yang ramai. Hanya doa dan tawakal padaNya aku berserah. Moga segalanya selamat dan kembali pulih segera.

Sunday, March 6, 2011

Berjalan, Melihat dan Mentafsir

Bila di dalam perjalanan yang panjang dan jauh, namun di pertengahan jalan kita tersasar daripada haluan yang betul. Apa tindakan yang sepatutnya diambil? Adakah perjalanan kita itu masih lagi satu perjalanan yang menyeronokkan atau kita jadi patah semangat untuk meneruskan perjalanan? Untuk menjejaki semula arah yang betul dan meneruskan perjalanan tersebut, kita terpaksa berharap kepada tanda arah dan intuisi sendiri, lebih-lebih lagi jika kita tidak arif tentang jalan yang dilalui.

Pernahkan kejadian sesat dalam perjalanan berlaku kepada anda? Mungkin kita akan berasa kita telah membuang masa dengan mencari arah jalan yang betul dan terlalu banyak persimpangan yang mengelirukan telah buatkan kita menjadi tertekan dan marah. Aku pernah melalui saat-saat yang memenatkan dan membengangkan dalam perjalanan panjang yang tersesat. Bukan kerana tidak arif dengan arah jalan tetapi tanda arah yang mengelirukan, apatah lagi bagi pengguna jalan yang 'mahir' untuk sesat seperti aku ini. Bayangkan perjalanan melalui Lebuhraya Pantai Timur telah lebih daripada berpuluh kali aku lalui, baik dengan menaiki bas atau berkereta. Namun segalanya agak sukar bila cuaca dan keadaan mengawal suasana perjalanan.

Seharusnya pengalaman sesat atau tersalah ambil persimpangan jalan dapat membuatkan kita lebih peka dan belajar daripada kesilapan itu. Bila kita sampai atau melalui suatu tempat yang asing, kita dapat lebih banyak pengalaman dan melihat keadaan sekitar yang belum kita tengok. Tempat-tempat terbut mungkin nanti menjadi tanda arah dan bantuan untuk kita dalam perjalanan akan datang. Begitulah juga dengan pengembara-pengembara di waktu lampau, mereka menjelajah dan merantau ke seluruh ceruk rantau dan jalan hanya untuk mengenali dan belajar tentangnya. Bila mereka kerap kali menunjau dan melalui jalan yang sama, mereka jadi lebih mahir dengan laluan itu. Malah begitulah bagaimana peta-peta dilakar dan hingga kini menjadi alat kembara yang penting untuk kita hari ini.

Betapa bernilainya pengalaman kita yang sesat atau kesilapan yang dilakukan tanpa sengaja kerana semua itu pasti dapat digunakan dengan lebih baik oleh kita sendiri atau juga untuk orang lain. Oleh itu, janganlah terus panik atau tertekan bila kita tersasar daripada laluan, kerana di situlah nanti terbuka satu lalauan baru menuju destinasi sebenar.