Sunday, September 13, 2009

Yang Telah Pergi dan Yang Masih Kekal Di Sini

Punya ramai kawan, rakan, sahabat dan teman tak menjamin mereka akan terus kekal di sisi. Masa berlalu, manusia berubah dan segalanya pasti takkan sama dan kekal selepas 10 atau 15 tahun selepas itu. Kalau ada yang kekal pun mungkin hanyalah gambar-gambar dan album kenangan bersama mereka semua...itupun kalau masih tersimpan baik dalam koleksi.

Manusia meningkat dewasa secara berperingkat. Dari alam bayi ke alam kanak-kanak, memasuki alam remaja, seterusnya meningkah ke alam dewasa, mencapai kematangan dan seterusnya menjengah alam warga emas. Akhirnya alam barzakh yang menanti. Walau bagaimanapun, tak siapa tahu seseorang manusia itu sempat meniti alam-alam tadi secara urutan. Mungkin hidupnya berakhir sebelum dia sempat memasuki alam dewasa pun. Ataupun hidup terlalu disayangi oleh Yang Maha Penyayang, dirinya terus diambil ketika hayatnya masih bayi atau kanak-kanak. DaripadaNya kita datang dan kepadaNya kita makhluk ciptaaNya akan kembali padaNya.

Tak siapa dan tiada apa yang pasti kekal di dunia ini. Segalanya hanya pinjaman. Tak mudah memiliki apa-apa pun sebagai hak milik mutlak. Sampai saat ketikanya, semuanya pasti akan dikembalikan. Hanya masa yang menentukannya. Tiada siapa dapat menduga bila waktu itu tiba. Bukan seperti tarikh luput pada sesuatu barang yang senang kita agak. Alangkah bagusnya kalau kita dapat menghalang segala perpisahan dan perpecahan daripada terjadi....

Ramai yang hadir dan pergi dalam hidup kita, silih berganti saban hari, saban waktu sepanjang kita meniti kembara ke destinasi abadi...tapi hanya orang yang benar-benar bermakna dalam hidup kita sahaja yang meninggalkan jejaknya dalam hati kita setelah dia pergi...