Monday, May 31, 2010

Cita-cita vs. Tanggungjawab

Selama ini aku fikir akulah 'yang pertama'. Pertama dalam hampir setiap perkara sepanjang hidup aku, walaupun hakikat sebenarnya aku nombor dua. Dari zaman sekolah, mula dengan sekolah rendah lagi akulah yang pertama dapat pegang jawatan penting di sekolah dan akhirnya dapat score penuh dalam UPSR. Kemudian bila di sekolah menengah, aku juga jadi yang pertama terlibat dalam ko-kurikulum hingga ke peringkat kebangsaan. Akhirnya selepas mengharungi zaman kampus yang penuh suka duka, akulah yang pertama tamatkan pengajian dengan segulung ijazah. Hingga kini, aku juga yang pertama menyambung pengajian ke peringkat sarjana.

Mungkin bukan aku yang pertama yang dapat melanjutkan pelajaran ke luar negara, bukan juga yang pertama yang telah bekerja setelah tamat pengajian. Namun bila disoal bila akan aku tamatkan pemburuan cita-cita aku ini, aku jadi serba salah. Aku tak salahkan adik aku yang telah tamatkan pengajiannya dan telah bekerja dalam bidangnya. Mungkin sebab aku terlalu mengambil masa yang panjang untuk menghabiskan pengajian ini, dia sedikit terganggu. Memikirkan sampai bila dia harus terus 'menanggung' keluarga sebagai anak yang bukan 'yang pertama' yang bekerja, sampai masanya dia ingin memulakan hidupnya sendiri.

Adakah aku terlalu obses untuk mengejar cita-cita hingga adikku menganggap aku telah mengenepikan tanggungjawab sebagai seorang anak, seorang yang sepatutnya jadi yang pertama? Aku bukan mengambil mudah bila disoal tentang soal tanggungjawab terhadap keluarga, terhadap ibu dan ayah. Kalau terlalu mendesak aku sanggup menangguhkan pengajian aku yang hanya tinggal setahun dua lagi untuk tamat....atau jika bukan rezeki aku, biarlah aku lupakan terus untuk menerima gelaran sarjana.

Nampaknya, terlalu banyak halangan dan dugaan untuk aku mencari apa yang aku impikan. Percayalah, aku di sini bukan sedang bergembira, jauh sekali bersenang lenang dengan biasiswa yang diterima saban bulan. Walaupun aku tidak 'wajib' untuk memberikan sumbangan kepada ibu dan ayah tetapi aku turut menanggung hal keluarga yang mungkin antaranya bukan dalam pengetahuan adik-beradik yang lain. Hidup di tempat orang, sendirian dan jauh daripada pandangan ibu bapa bukanlah semudah yang kau sangkakan. Dalam diri ini setiap waktu dan saat sentiasa berperang dengan kemahuan dan keperluan. Mungkin tidak kau ketahui, banyak yang telah aku ketepikan, semuanya demi ibu dan ayah tercinta dan juga demi adikku yang telah banyak berkorban untuk keluarga.

Untuk adikku yang teramat aku kasihi,
jika kau ingin berhenti daripada memikul amanah sementara ini untuk memulakan hidup sendiri bersama yang kau kasihi, sebagai yang pertama aku berikan keizinan. Aku takkan menghalang apa lagi hendak membantah keputusanmu setelah apa yang kau lakukan untuk keluarga hingga hari ini. Percayalah, aku sedang berusaha untuk mengubah nasib keluarga, nasib kita semua. Tiada yang akan menghalang walaupun cita-citaku yang jadi taruhannya. Tetap, tanggungjawab kepada keluarga akan terus jadi 'yang pertama' dalam diri ini.

No comments:

Post a Comment