Friday, May 21, 2010

Bila yang Disayangi pergi meninggalkan, Bila yang Menyayangi berpaling tanpa kata

Masa-masa bersendirian adalah masa yang paling bermakna dalam saat putaran kehidupan seseorang. Tatkala berseorangan pelbagai perkara menerobos masuk ke dalam minda~ mengarahkan akal dan kotak fikiran saling bekerja untuk mencari sebab, punca serta kata pemutus akan sesuatu hal. Mungkin juga sesekali perkara lampau berlegar-legar di alam pra sedar, membawa diri kembali menayangkan kenangan-kenangan suka dan duka di layar serebrum.

Lebih-lebih lagi jika diri dalam suasana melankolik...satu-persatu gambaran lalu akan menerpa dalam ingatan. Aku memejamkan mata, cuba menolak kepingan-kepingan kenangan lalu itu daripada terus menguasai fikiran. Semuanya sungguh menyakitkan walaupun antaranya ada saat indah dan gembira.

"Wahai diri...kamu hanya menCINTAi ALLAH tatkala kamu mendapat nikmat. Sebaliknya apabila datang suatu bencana dan cubaan kepadamu, kamu segera berpaling dan lari seakan-akan ALLAH itu bukan penyelamatmu, bukan kekasihmu. Seharusnya seseorang hamba itu nyata akan DIA, pabila menerima ujian daripadaNYA. Apabila menimpa kepadamu ujian dan cabaran daripada ALLAH sedangkan kamu tetap bertahan dan tabah menerimanya, maka kamulah orang yang menCINTAi ALLAH dengan sesungguh hatimu. Sebaliknya jika haluanmu berubah, maka jelaslah kejahilanmu, sia-sialah perbuatanmu yang lalu dan berlalu begitu sahaja."

Bukanlah kudratku melawan takdirNYA. Luka di hati memang tidak terucap, tidak tergambar peritnya. Meskipun perasaan ibarat telah mati, malangnya jasad ini masih bernyawa dan nadi masih berdenyut. Luka itu pastinya meninggalkan kesan yang mendalam, namun kehidupan mesti diteruskan. Hati ini nekad dengan keyakinan bahawa ALLAH itu lebih tahu apa yang terbaik untuk diri ini. Tidak pula DIA menimpakan ujian untuk menzalimi hambaNYA, melainkan untuk mendidik dan menyedarkan bahawa tidak ada satu pun di dunia ini kan jadi milik kekal manusia meskipun sesuatu itu teramat disayangi dan dikasihi. Datang dan pergi bagi segala yang ada di dunia ini adalah dengan kehendakNYA. Moga keampunan yang ku pohon menjadi penawar buat diri yang penuh dengan kekhilafan.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Dulu, aku sendirian di sini
Tapi dikau hadir mencuit sepi diri ini
Bagai mimpi kaulah penyeri hidupku
aku terasa dunia telah kembali aman

Namun, tak semuanya indah berpanjangan
kau hadir sebagai singgahan
sirna yang kurasakan cukup indah
bila bersamamu walau sekejap.
Aku bukan sesal, jauh sekali terkilan
Kau dan aku punya destinasi sendiri
Aku gembira kau dapat aku kenali
Buatku sempurna sebagai seorang perempuan.

Bisakan aku bertemu lagi denganmu?
atau aku terpaksa sendirian lagi
menunggu menanti yang tak kunjung tiba
menghitung waktu yang kian berlalu.
Senantiasa aku titipkan doa buatmu
agar dikau sejahtera di sana

Ya Rabb, kurniakanlah aku
seorang teman hidup
yang dapat membimbing dan menjaga diriku
andai hanya inilah waktu yang aku ada
untuk aku rasakan cinta sesama makhlukMu.

Kiranya telah tertulis tiada lagi cinta buatku
cukuplah cintaMU pengubat sepi, penyuluh hidupku
Jadikanlah aku tabah menghadapi dugaan ini.


No comments:

Post a Comment