Tuesday, May 18, 2010

Hadiah Buatmu (Bahagian 2)


Dengan keputusan SPM yang bagiku cukup meyakinkan, aku memohon untuk memasuki salah satu IPTA melalui permohonan UPU. Berbanding dengan kebanyakan kawanku yang lain, aku tidak memohon untuk mengikuti program matrikulasi atas saranan Ayahku kerana bimbang aku tidak mampu mengikutinya. Apa pun, dulu aku tidak kisah tentang keputusan yang dibuat untukku, namun kini....aku makin jelas dengan keputusan Ayahku. Mungkin jika aku berkeras untuk teruskan juga mengikuti program matrikulasi tersebut, aku tidak mungkin akan terfikir untuk menjejakkan kaki ke universiti tertua di Malaysia sepertimana yang berlaku pada 7 tahun lepas. Aku, pada 3 tahun lalu pula telah berjaya bergelar graduan Universiti Malaya dengan mendapat kepujian dalam ijazah pertamaku. Selama 4 tahun aku berhempas pulas berkejar dengan nota kuliah, berlari dengan ujian dan peperiksaan, memberikan pengalaman yang cukup berharga selama aku bergelar seorang mahasiswi.

Liku-liku hidupku dalam kehidupan kampus bermula bila aku diterima masuk ke Akademi Pengajian Islam UM Nilam Puri (APIUMNP). Pada mulanya aku agak keberatan dengan pilihan itu kerana varsiti itu bukanlah pilihan utamaku. Setelah tiga kali aku menghubungi pusat panggilan UPU untuk meminta pengesahan permohonanku, aku menerima dengan berat hati. Walaupun lokasinya cuma 30 minit perjalan dari rumah aku, tapi aku tak ingin ke sana kerana pada hematku, "Orang bila dapat ke universiti mestilah jauh daripada kampung halaman....ini dekatnya tak sampai 3 kilometer sahaja, sama macam masuk ke Tingkatan Enam saja". Namun itulah takdir daripadaNya yang telah ditentukan untukku. Pada hari pendaftaran di APIUMNP, aku sengaja melewatkan ketibaan ke sana sebagai tanda protes. Tapi Ayah hanya mengikut rentak aku tanpa banyak soal kerana dia sememangnya telah maklum dengan perangaiku yang suka membantah dengan tingkah laku. Akhirnya, setelah selesai urusan pendaftaran pelajar baru dan berkenalan serba sedikit dengan senior dan tempat pengajianku yang baru itu, aku pasrah dan berjaya memujuk diri untuk terus bertahan hingga ke akhirnya.

Berkat doa dan tekad untuk tidak mengalah, aku berjaya mengharungi setahun setengah pengajian di APIUMNP. Sungguh banyak kenangan yang aku lalui selama mengikuti kuliah, menyiapkan kerja tugasan dan menduduki peperiksaan bersama teman-teman sepengajian yang lain. Seterusnya kami semua berpindah ke kampus induk, UMKL untuk merasai sendiri kehidupan sepenuhnya sebagai mahasiswa/wi UM. Tahun-tahun seterusnya memperlihatkan kematangan dan komitmenku menguruskan masa dan jadual harian dengan daya usaha sendiri. Di samping menghadiri kuliah dan bersengkang mata dengan kerja tugasan, aku amat bertuah kerana masih berpeluang melibatkan diri dengan kegiatan persatuan dan badan pelajar di fakulti. Banyak perkara dan pengalaman yang aku dapat selama aku bergiat dalam kegiatan pelajar tersebut, yang mana semuanya belum tentu aku boleh dapat dari dalam bilik kuliah. 'Pengalaman' itulah yang telah membentuk aku sebagaimana aku menjalani kehidupan sekarang.

Hari ini, aku masih lagi seorang PELAJAR, tetap seorang ANAK dan juga adalah SAHABAT dan TEMAN buatmu....GURU-GURUku, IBU AYAH tercinta dan RAKAN taulan yang telah bersama mencorakkan perjalanan kehidupanku. Tidak cukup dengan kata-kata dan penghargaan untuk diberikan kepada kalian bagi menggambarkan betapa besarnya dan pentingnya peranan kalian dalam merencanakan diri ini.

Sempena Hari Ibu dan Hari Guru yang diraikan, diri ini dengan serendah-rendah hati ingin mengucapkan jutaan TERIMA KASIH buat semua warga pendidik dan pensyarah yang telah mengajar, mendidik dan membimbingku secara langsung atau tidak langsung. Juga buat BONDA & AYAHANDA yang juga guru pertamaku, jika dihitung segala bintang di langit takkan terhitung dengan jasa dan keringat kalian membesar dan membimbingku hingga menjadi manusia berguna seperti hari ini.

Inilah hadiah buatmu ~ Semoga kalian sentiasa diberikan KESIHATAN dan KESEJAHTERAAN berpanjangan, dikurniakan REZEKI yang melimpah ruah serta mendapat KEBERKATAN HIDUP di DUNIA & di AKHIRAT~ \(^_^)/


No comments:

Post a Comment