Saturday, June 5, 2010

Malang tak berbau : Kesedaran di sebalik kecuaian

Pada jam 1 pagi sebentar tadi aku telah menyaksikan satu kebakaran berlaku di depan mata. Api yang telah marak sedang membakar sebuah kediaman tingkas atas di flat DBKL di Kerinchi. Dari balkoni rumah, api yang sedang marak dari dalam rumah berkenaan dapat dilihat dengan jelas. Lebih kurang 15 minit sebelum itu aku mendengar jeritan kuat orang ramai di luar menghebohkan tentang kebakaran yang sedang berlaku. Aku dikejutkan dengan teman serumah yang turut bergegas keluar untuk memastikan kekecohan yang berlaku.

Kelihatan dari jauh di tingkat atas sebuah rumah api sedang marak. Aku lihat orang ramai mula berkumpul memenuhi di sekitar perkarangan bawah flat dan Vista Angkasa setelah mula menyedari tentang kebakaran berkenaan. Jeritan bertalu-talu dilaungkan memberitahu penghuni blok berkenaan tentang api yang sedang marak. Namun aku perhatikan walaupun orang ramai kuat berteriak memberitahu, beberapa rumah bersebelahan dengan rumah yang sedang terbakar itu masih gelap. Mungkin juga penghuninya tiada di rumah dan mungkin juga penghuninya seolah-olah tidak mempedulikan jeritan dan laungan orang ramai tadi. Aku sendiri pun tak pasti. Yang aku fikir, ada sesiapa tak yang telah menelefon pihak bomba?!

Api kian marak. Jelas ia telah menyambar siling rumah berkenaan. Lebih kurang 1o minit kemudian siren bomba kedengaran dan aku rasa bersyukur mengharapkan pihak bomba dapat mengawal dan memadamkan api yang sedang marak. Terlintas di fikiran jika ada antara penghuni rumah berkenaan yang mengalami kecederaan. Aku cuma dapat berharap semuanya akan selamat. Akhirnya setelah hampir sejam aku setia menyaksikan drama realiti itu, kelihatan api berjaya dipadamkan sepenuhnya dan asap hitam masih berkepul-kepul memenuhi tingkat atas blok flat terbabit.

Dalm hati, aku terfikirkan jika musibah yang sama menimpa di blok kediaman aku ini. Apa yang sepatutnya aku buat dalam saat getir itu? Menjerit dan melaung meminta tolong? Sungguh, dalam waktu-waktu kecemasan sesiapa pun akan mengalami situasi 'lumpuh' seketika. Tidak tahu apa yang perlu dibuat, tidak tahu ke mana hendak larikan diri dan apa yang patut diselamatkan. Tetapi persoalan sebenar yang bermain-main di fikiran aku adalah, apa punca yang menyebabkan berlakunya kebakaran atau apa saja kemalangan itu? Adakah ianya disebabkan sikap cuai manusia sendiri atau kerana kesilapan teknikal?

Namun bila perkara yang telah berlaku tidak guna dipersoalkan. Seperti pepatah 'malang tak berbau', kemalangan dan musibah boleh berlaku kepada sesiapa dan di mana saja tidak kira masa. Hanya dengan langkah-langkah berjaga-jaga dan sikap bertanggungjawab saja yang mampu mencegahnya daripada berlaku. Cuma kita sebagai ahli yang hidup dalam satu komuniti di satu-satu tempat perlulah sentiasa berwaspada dan cepat bertindak sama ada untuk menghalang atau membantu jika ada kemalangan dan musibah yang terjadi.


Tinta Emas :~ Menunggu siaran berita mengenai kebakaran tadi...moga tiada yang cedera

No comments:

Post a Comment