Dunia buku dan penaku bermula di sebuah sekolah di bandar KotaBharu, iaitu Sekolah Rendah Kebangsaan Islah (sekarang SK Islah) atau singkatannya SERKIS. Tahun 1991 aku menjejaki bangku darjah satu dengan rasa gementar dan bangga...GEMENTAR kerana dunia bakal berubah dan aku akan berdepan dengan ramai lagi budak sebayaku, dan aku BANGGA kerana aku akan menjadi harapan ibu dan ayahku bermula hari itu. Selama enam tahun berikutnya aku setia bergelar pelajar di SERKIS. Dalam jangka masa itu, banyak perubahan yang berlaku di sekolah kesayangan ini, aku telah saksikan dan alaminya sendiri. Guru Besar bertukar beberapa kali, pertukaran guru-guru dan juga rakan-rakan sekelas serta perubahan yang berlaku kepada struktur bangunan SERKIS sendiri.
Aku sendiri, bermula hari pertama di Tahun 1 Merah hingga ke Tahun 6 Cemerlang, aku telah berjaya memegang pelbagai jawatan penting di sekolah. Aku pernah menjadi ketua kelas, penolong ketua kelas, pengawas pusat sumber sekolah dan jawatan paling tinggi adalah sebagai pengawas sekolah (walaupun bukan aku ketua/penolong ketua pengawasnya ;p). Semua pengalaman ini cukup memberi kesan dalam perjalanan hidup aku seterusnya.
~Penghargaan buat guru-guru SERKIS (dulu dan kini) yg masih mengingatiku sebagai murid kalian...Cikgu Normah, Cikgu Tg. Noor Ashraf, Cikgu Mohd Zaid Mohd Zain, Sir Pasupathy Tarusu, Cikgu Anizan, Cikgu Ang John Sun dan lain-lain (cuma menyebut beberapa nama yang masih diingati), jasa dan kenangan bersama cikgu-cikgu semua masih segar dalam ingatan ^__^ ~
Aku tinggalkan persekolah rendah dengan pencapaian cemerlang dalam UPSR, dengan keputusan 4A (tahun 1996 tahun terakhir sebelum subjek sains ditambah dalam UPSR). Aku berjaya menempatkan diri di sebuah sekolah menengah agama tersohor di bumi Tanah Serendah Sekebun Bunga ini. Tahun 1997 aku mulakan sesi pembelajaran Tingkatan 1 di Sekolah Menengah Kebangsaan (A) Naim Lilbanat, dengan kemasukan panggilan kedua. Pengajianku makin sukar dan aku kian menggalas harapan lebih besar kepada ibu dan ayah. Suasana cukup berbeza kerana sekolah satu jantina ini memberi aku peluang untuk bersaing sesama kaum hawaku sendiri dengan lebih disiplin dan terkawal, apatah lagi ini adalah sekolah agama.
Aku lebih berpeluang melibatkan diri dalam pelbagai kegiatan sukan dan persatuan ketika di peringkat menengah ini. Lebih banyak kejayaan dengan kegembiraan, lebih ramai rakan dan sahabat dalam kenangan dan aku sendiri telah berjaya mengenali kebolehan dan potensi diri sendiri. Alhamdulillah, akhirnya aku dapat buktikan kesabaran dan kesungguhan aku selama 5 tahun di sana dengan memperoleh keputusan yang baik dalam PMR 1999 dan SPM 2001. Ini semua tak mungkin aku capai kalau bukan dengan dedikasi dan usaha guru-guru dan juga rakan-rakan sekelas/setingkatan.
~Saya kalungkan rasa bangga dan jutaan terima kasih kepada para guru SMKAN amnya dan khususnya buat guru-guru yang berusaha keras mengajar kelas Tingkatan 5 Ummu Habibah (5UH) tahun 2001...kalianlah batu loncatan untuk saya terus maju ke depan. Tanpa jemu dan kesungguhan kalian memberi tunjuk ajar, takkan saya akan sampai di sini hari ini. Terima kasih seagungnya untuk semua (",) ~
Dan duniaku menginjak ke destinasi berikutnya dalam perjalanan kehidupanku sebagai seorang anak, pelajar, rakan dan sahabat.
bersambung.....
No comments:
Post a Comment