Showing posts with label Kematian. Show all posts
Showing posts with label Kematian. Show all posts

Friday, June 7, 2013

Moga tenang...mohon padaNya kesejahteraan untuk kami semua

Usai sudah majlis tahlil malam 40 untuk arwah nenda di Machang semalam. Majlis yang bermula seawal tengah hari dihadiri sanak saudara terdekat, jiran tetangga sekampung. Disebabkan hari bekerja, sepupu dan saudara jauh kebanyakan tak dapat pulang kali ini. Namun alhamdulillah majlis berlangsung lancar hingga ke malamnya.

Kami sekeluarga sampai waktu tengah hari, lauk-pauk semua dah tersedia dimasak oleh jiran-jiran tetangga. Kami cuma bawa kuih muih untuk tambahan pencuci mulut. Alhamdulillah kebanyakan persiapan dah sedia untuk majlis malam nanti.


Untuk arwah Nenda dan Bonda, dua insan yang takkan kutatap wajahnya lagi, takkan kukucup dahinya lagi pada pagi Syawal dan yang takkan aku ucapkan Salam Sayang lagi...damailah kalian di sana. Nantikanku di sana, hanya doa buat hadiah kasih sayang buat Nenda dan Bonda tercinta. Rahmatilah kedua mereka, Aminn Ya Rabb Al-Aminn....

Tuesday, April 30, 2013

Di saat hayat di penghujung, waktu adalah tak terhitung detiknya

DaripadaNya kita datang dan kepadaNya jua kita akan kembali. Sesungguhnya tiada tempoh masa cepat atau lambat bagiNya memanggil kita mengadapNya. Sentiasalah bersiap sedia untuk pergi menemuiNya kerana tiada temujanji atau masa yang tepat bagi kita untuk berlengah bila tiba waktunya.

Kepada ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat handai yang lain hendaklah diingatkan kepada mereka agar menyiapkan diri kita andai telah tiba masanya untuk pergi menemuiNya jika waktu itu kita tidak lagi mampu menyiapkan diri sendiri.

Jika tanda-tanda itu telah kelihatan, namun masih diberi kesempatan untuk kita muhasabah kepadaNya, maka menjadi tanggungjawab seluruh ahli keluarga memanfaatkan waktu yang tersisa sebelum maut datang menjemput.


**************
Baru sebentar tadi mendapat khabaran duka dari Ayah, tokmek telah meninggal dunia. Sejak kelmarin kami berkampung di sana namun keadaan arwah telahpun di penghujung hayatnya, cuma menanti masa. Pak Ngah, Mak Ngah sekeluarga juga telah ada di sana, juga sepupu-sepupuku yang lain turut berada di sisi arwah. Majlis bacaan Yassin dan solat hajat diadakan mendoakan kesenangan dan dipermudahkan segala yang telah ditakdirkan berlaku.

Aku redha, begitu juga Ayah. Dua kehilangan dalam masa 5 bulan. Hanya yang dekat dengan mereka yang telah pergi, benar-benar merasakan kehilangan yang sangat bermakna ini. Doaku pada arwah agar dirinya bersemadi dengan aman dan ditempatkan di antara mereka yang soleh solehah.

Al-Fatihah…..




Wednesday, November 28, 2012

Satu Langkah, Sejuta Matlamat

Dah lama tak berkunjung di sini. Sebetulnya, dah kekeringan idea dan kekejangan jemari untuk menari mencoret kata di sini. Mungkin juga kerana tekanan dan pelbagai badai yang telah melanda dalam lebih setengah tahun ini, masa yang ada teramat singkat.

Dah hampir setahun rupanya berlalu. Semua saat-saat indah nampaknya berlalu begitu saja. Beberapa sambutan hari lahir mereka yang tersayang, satu majlis kahwin, masa terluang dengan teman-teman rapat dan juga sambutan hari lahir sendiri -- semuanya sepi. Namun di sebalik semua keluh kesah itu, masih ada yang dapat kembalikan segaris senyuman di bibir ini.

Tika yang lain semuanya telah berlalu pergi, aku masih di sini. Aku telah teruskan jua, dalam kepayahan dan kegalauan hinggalah aku putuskan untuk teruskan saja. Tak putus doa dan harapan aku pohonkan kepadaNya agar diberikan yang lebih baik. Aku cuba bertahan sedaya rupa, tak hiraukan cemuhan dan jelingan sinis mereka yang belum tentu berada dalam situasi aku. Akhirnya, aku mula dapat sesuatu yang benar-benar sebati dengan jiwa. Betullah, kalau kita sabar dan terima dengan hati terbuka segala yang ada untuk kita, pasti akan datang kepada kita sesuatu yang takkan dijangka satu ketika nanti.

Genap setahun aku bekerja di Diana Net Station pada bulan Ogos 2012. Aku bersyukur aku masih dapat terus buat kerja yang aku suka (walaupun aku masih berusaha untuk mendapat yang lebih baik). Takdir itu tiba bila seorang pelanggan, wanita usia di lewat 60-an telah menawarkan kerja  untuk aku dan bersungguh-sungguh mahu aku menjadi pembantunya sekaligus membantu aku mendapatkan peluang yang lebih baik di tempatnya. Peluang ini aku rasakan terbaik buat masa ini, sayang untuk dilepaskan. Setelah difikirkan baik buruk (berat ke arah baik sebenarnya :) aku letak jawatan dan mulakan kerja baru di Kepala Batas dengan Makcik Jamilah.

Namun hanya Dia yang Maha Mengetahui, tersurat di sana di mana aku sedang mengubah haluan hidup di saat itu jua aku kehilangan yang lebih penting dari segunung emas. Ibu tercintatelah pergi meninggalkan kami menyahut seruan Ilahi. Sungguh aku begitu terpukul menerima berita ini sementelah aku hanya 2 hari memulakan kerja di tempat baru. Aku banyak menyalahkan diri sendiri atas pemergian Mama, di mana yang paling aku rasa terkilan bila aku tidak berada di sisinya tika dia menghembuskan nafas terakhir. Ayah pun merasakan yang sama, kerana Mama tiada ketika di bilik ICU disebabkab kegagalan buah pinggang yang kritikal. Doaku moga Mama tenang di sana, ditempatkan di kalangan orang-orang yang dirahmatiNya.

Aku masih bersedih, perginya seorang insan yang tiada galang gantinya dalam hidup aku. Hilanglah tempat aku bermanja, insan yang banyak ketawa bersama dan juga yang sudi mendengar luahan duka bersamaku. Jika diberi satu jauta saat untuk bersama seseorang, aku pastinya ingin habiskan saat itu bersama Mama.

...Ya Allah Ya Rabb, Engkaulah Yang Maha Mendengar segala rintihan hati ini. Ubatilah kedukaan dalam lubuk jiwaku, agar aku dapat rasakan tenangnya pemergian Ibuku ke pangkuanMu. Hiasilah hari-hari laluku bersamanya dalam doaku kepadanya di sana. Jika nanti sampai waktu kupergi menghadapMu, aku pohon ditemukan dengan Ibuku. Aku pasrah dengan ketentuanMu....

Thursday, November 22, 2012

Perginya insan tercinta buat selamanya

Hari itu tanggal 21 November 2012, aku baru 2 hari memulakan tugas sebagai pembantu Pn. Jamilah di AUCMS, Kepala Batas. Pagi itu seperti biasa kami keluar seawal 6.30pg dari Padang Serai, Kulim menuju tempat kerja. Pada jam 7.30pg Makcik Jamilah mengajak aku bersarapan pagi di kedai makan berdekatan. Setelah 30 minit, aku memulakan tugas seperti biasa di makmal komputer. Namun panggilan daripada Ayah pada jam 8.40pg mengubah seluruh hidup aku --khabaran duka tentang pemergian Bonda tercinta buat selama-lamanya!

Bagai bergegar duniaku waktu menerima perkhabaran sedih itu. Tubuh aku merasa seram sejuk dan aku cukup kecewa dan hati ini remuk kerana aku tidak berada di sisi ibu di saat-saat akhir nafasnya. Masih terngiang di telingaku esak tangis Ayah sewaktu memberitahuku berita ini. Dalam keadaan terlalu sedih, aku cuma teringatkan sahabat baikku, Mc Zack (Nurul Izzati) dan terus menghubunginya, cuma ingin berkongsi berita pilu ini dengannya.

Ayah minta aku pulang seberapa segera kerana jenazah Bonda bakal dikebumikan pada hari itu juga. Lantas aku menghubungi Makcik Jamilah mengkhabarkan berita tergempar ini. Dia sama bersimpati dengan aku dan juga sedaya upaya mencari jalan untuk aku pulang pada hari itu juga. Dia juga dapatkan pelepasan kecemasan untuk menghantar aku pulang ke Kota Bharu, kerana jika aku menggunakan bas untuk pulang, akan mengambil masa yang lama. Setelah Makcik Jamilah selesaikan beberapa urusan penting, kami terus bertolak pulang -tanpa sempat membawa apa-apa barang bersama, tanpa singgah di mana-mana. Sungguh aku bersyukur dipertemukan dengan insan sebaik Makcik Jamilah.

Perjalanan bermula jam 10.30pg dari Kepala Batas ke Kota Bharu akan mengambil masa kira-kira 4-5 jam jika tiada apa-apa masalah. Namun kira-kira sejam kemudian Ayah menghubungi aku meminta jika aku dapat singgah mengambil adik lelaki aku yang sedang mengikuti latihan di Kem TUDM Ipoh. Dia mendapat pelepasan kecemasan daripada pegawainya dan kerana tiada pengangkutan untuk membawanya pulang Ayah meminta pegawainya menghubungi aku untuk mengambil adik aku. Untuk berpatah balik ke Ipoh, kami telah terlalu jauh namun Makcik Jamilah kata kami masih boleh ubah haluan ke Kuala Kangsar untuk mengambilnya. Namun perjalanan pergi dan balik itu mengambil masa 2 jam sebelum kami dapat teruskan perjalanan melalui jalan Grik-Rantau Panjang.

Ayah masih menunggu kami tiba kerana memikirkan adik aku yang tidak bertemu arwah sejak 6 bulan lepas kerana mengikuti latihan. Perjalanan terasa paling panjang, kami tiba pada lewat 6.15ptg dan keliahatan halaman rumah masih dipenuhi tetamu dan sanak saudara. Ayah menyambutku dan aku benar-benar tidak dapat menahan perasaan melihat sekujur jenazah Bonda telah dikafankan. Alhamdulillah aku dan adik sempat melihat dan mengucup Bonda buat kali terakhir sebelum dikebumikan selepas Maghrib di pusara Kubur Maras, Langgar.

Bersemadilah Bonda di sana dengan aman dan tenang. Moga syafaat daripada adinda Basirah yang telah lama meninggalkan kita dapat membantu Bonda di alam sana. Along pasti akan menjaga dan membela nasib keluarga kita --terutama sekali Ayah yang tampak sungguh terkesan dengan kehilangan Bonda dari hidupnya. Biarpun Bonda memasang keinginan untuk menghadiri konvokesyen Akif pada 24 November ini, majlis tamat latihan Afif pada 15 Disember nanti dan juga ke graduasi Azim di Miyazaki pada bulan 3 tahun hadapan, namun Allah lebih menyayangi Bonda, mengambil Bonda daripada kami menamatkan penderitaan Bonda sejak sekian lama. Kami pasrah, namun kami terima dengan hati yang lapang atas ketentuan ini. Damailah Bonda di sana, kami akan sentiasa mengingati dan menghadiahkan Bonda kesejahteraan agar pusara Bonda senantiasa diterangi cahaya rahmat dan rahhimNya. Aminn Ya Rabbal 'alaminn.