Saturday, May 25, 2013

Mulakan penjagaan tubuh badan anda sendiri

Alhamdulillah, genap sebulan setelah menjadi pengguna produk herba JSD rasa semakin baik -- keadaan penjagaan diri lebih segar dan sempurna. Diperkenalkan secara tak langsung dgn produk ini sebab banyak sangat iklannya kat FB. Dalam masa yang sama mengalami masalah penjagaan kesihatan 'wanita' yang agak teruk. Tapi mungkin tak seteruk  orang lain, tapi yang pastinya setelah bertahun mengalami kerengsaan (irritation), gatal-gatal (itchiness) dan bau yang tidak menyenangkan hingga terpaksa pakai pantiliners tiap masa lebih-lebih lagi lepas habis tempoh datang bulan.

Terima kasih kepada sahabat yang sedaya upaya mengesyorkan produk ini setelah dia sendiri menjadi pengguna selama 3 bulan seterusnya menjadi pengedar sah. Selama sebulan menggunakan barangan JSD ini, dah 3 kali buat pesanan dan akhirnya ambil keputusan untuk jadi ejen. Alhamdulillah segala masalah yang dialami sebelum ini semakin hilang dan kini tiba masanya untuk berkongsi dengan setiap wanita di luar sana.

JSD - Jamu Susuk Dara, sebut namanya saja dh lain macam kan. Tapi percayalah produk-produk di bawah label JSD ni merupakan produk kesihatan berasakan herba dan hasil sediaan secara tradisional yang telah diimprovisi dengan teknologi semasa serta mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Kesihatan Malaysia. Produk pertama yang saya guna adalah Feminine Wash (FW) dan Masker Vagina (MV).

Feminine Wash merupakan cool medicated feminine wash yang diperbuat dari bahan-bahan alam semulajadi seperti herba arab, cengkih, extrak sireh dan manjakani untuk mengekalkan pH normal vagina selain membersih dan menghalang bauan kurang enak dan mencegah kegatalan. Ianya selamat mengandungi bahan berubat antiseptik dan sangat lembut utk kegunaan harian hingga boleh digunakan diseluruh badan. Kandungan herbanya menolong mengekalkan kelembapan semulajadi di kawasan vagina, mencegah kekeringan melampau serta mengencangkan otot vagina dan membuat anda berasa selesa. Amat membantu di waktu kedatangan haid dari semua ketidakselesaan.

Magic Powder "Susuk Dara" - Masker Vagina 
Kenapa namanya camtu eh??? MAGICnye POWDER ni hanya si pemakai yang tahu.

Bagi wanita yang kerap merasa gatal-gatal di bahagian kemaluan tak kira masa - kadang2 kat opis tengah buat kerja, tgh tengok wayang, tengah belajar, tengah masak sekalipun,  lebih-lebih lagi kalau nak tido malam. Seksanya! Memang tak boleh tido. Gosok la dengan kain ke, dengan tisu, garu ke...cuci dgn air suam pon tak boleh nak baik gatal2 tu. Situasi gatal2 ni boleh terjadi kepada semua wanita baik dewasa atau pon kanak- kanak lebih - lebih lagi sering menghantui wanita - wanita mengandung.

Orang dulu2 akan cuci dengan air cengkih atau air sireh mahupon air manjakani. Sekarang ni sesuai dengan peredaran masa dan pengetahuan wanita2 moden telah memudahkan pengguna dengan penyediaan serbuk magic susuk dara yang terdiri daripada daun sireh, cengkih, manjakani, bunga rose putih dan serapat yang di jemur selama 2 minggu kemudian digiling dijadikan serbuk, dipacking kecil2 untuk memudahkan penggunaannya.

FEMININE WASH (RM48) 100ml

MASKER V (RM25) per peket

BERMINAT JUST PM/SMS/CALL= 0126295477. Kebersihan diri anda, khususnya wanita bermula dari dalam.

Produk-produk lain JSD dalam post akan datang.....

Tuesday, April 30, 2013

Di saat hayat di penghujung, waktu adalah tak terhitung detiknya

DaripadaNya kita datang dan kepadaNya jua kita akan kembali. Sesungguhnya tiada tempoh masa cepat atau lambat bagiNya memanggil kita mengadapNya. Sentiasalah bersiap sedia untuk pergi menemuiNya kerana tiada temujanji atau masa yang tepat bagi kita untuk berlengah bila tiba waktunya.

Kepada ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat handai yang lain hendaklah diingatkan kepada mereka agar menyiapkan diri kita andai telah tiba masanya untuk pergi menemuiNya jika waktu itu kita tidak lagi mampu menyiapkan diri sendiri.

Jika tanda-tanda itu telah kelihatan, namun masih diberi kesempatan untuk kita muhasabah kepadaNya, maka menjadi tanggungjawab seluruh ahli keluarga memanfaatkan waktu yang tersisa sebelum maut datang menjemput.


**************
Baru sebentar tadi mendapat khabaran duka dari Ayah, tokmek telah meninggal dunia. Sejak kelmarin kami berkampung di sana namun keadaan arwah telahpun di penghujung hayatnya, cuma menanti masa. Pak Ngah, Mak Ngah sekeluarga juga telah ada di sana, juga sepupu-sepupuku yang lain turut berada di sisi arwah. Majlis bacaan Yassin dan solat hajat diadakan mendoakan kesenangan dan dipermudahkan segala yang telah ditakdirkan berlaku.

Aku redha, begitu juga Ayah. Dua kehilangan dalam masa 5 bulan. Hanya yang dekat dengan mereka yang telah pergi, benar-benar merasakan kehilangan yang sangat bermakna ini. Doaku pada arwah agar dirinya bersemadi dengan aman dan ditempatkan di antara mereka yang soleh solehah.

Al-Fatihah…..




Wednesday, April 24, 2013

Menuju perubahan dan pembaharuan: Konflik peribadi atau kepentingan umum

Setelah selesai urusan di Kepala Batas, pagi ni aku dan Makcik Jamilah bergerak keluar dari Padang Serai menuju destinasi seterusnya, Kuala Lumpur. Beginilah kehidupan kerja dan tanggungjawab aku, saban minggu pasti akan berulang alik dari KB ke Padang Serai, dari Padang Serai ke KL dan KL ke KB. Tak pernah jemu berkelana jauh-jauh bersama Makcik. Alhamdulillah ini rezekuMu untukku.

Sedia maklum sekarang telah pun berlarutan perang poster dan kain rentang sempena Plihanraya Umum ke-13 pada 5 Mei nanti. Bendera-bendera parti maasing-masing telah pun berpacakan di serata tempa sebelum hari penamaan calon lagi, bahkan terus meriah dan bertambah setelah calon-calon parti asing-masing telah diumumkan bakal bertanding.

Sepanjang perjalanan dari Kulim hinggalah ke Lenggong, mata aku disajikan dengan deretan panji-panji biru putih, hijau putih, merah bitu putih dan sesekali oren putih melambai-lambai di atas, bawah, kiri dan kanan jalan raya. Walaupun cuaca hari ini panas namun fenomena ini membuatkan mata aku kuyu dan semakin terpejam. Makcik juga meminta kuacinya kerana ingin menguyah yang mana aku sedia maklum dia akan menguyah kuaci jika terasa mengantuk. Bukan kerana aku tidak peduli tetapi mungkin sebab terkena hujan petang semalam membuatkan aku tidak cergas 100% pagi ini.

Aku juga seorang pemilih, yang akan memilih dan memberi sokongan kepada pilihan yang aku sedar mampu berkerja untuk umum. Namun aku tidak begitu berminat menyertai rapat umum yang rata-rata diadakan di setiap pusat-pusat operasi saban malam hari. Aku akan laksanakan tanggungjawab pada hari pemilihan nanti dan sudah tentu berharap dan juga mengajak rakan sahabat yang lain turut keluar memilih. Aku akui kata-kata 'Piihan di tangan anda' , 'Buatlah pilihan bijak' dan juga 'Membangun Bersama Islam' ada kebenaran dalam setiap frasanya. Tak salah jika kita mempunyai pendapat berlainan dan pilihan sokongan yang berbeza. Yang pentingnya biarlah kesenangan dan kemudahan yang terbaik dapat dinikmati oleh semua tak kira siapa yang mereka sokong.

Jangan kerana kepentingan peribadi dan ahli keluarga sendiri, segala harapan dan amanah umum diketepikan bahkan dibuat acuh tak acuh saja. Ketepikanlah provokasi peribadi dan penceritaan tidak bermoral dalam memenangi pertandingan, buangkanlah cara kotor dan tidak bermaruah untuk menjatuhkan pihak lawan demi mendapatkan sokongan umum. Kerana akhir nanti segala perbuatan sembunyi tangan itu akan terbongkar jua. Berjuanglah dengan bermaruah, jangan sesekali mengecilkan pihak lawan dengan cacian dan kejian bahkan biarlah kebaikannya juga turut dikhabarkan. Berikan hak memilih kepada umum, jika mereka yakin dengan perjuangan itu tentunya pilihan umum adalah tepat dan inilah sistem demokrasi yang mampu menaikkan nama Malaysia di mata para pemerhati dunia.

Hingga sampai ke perhentian rehat Sg. Perak, barulah pemandangan hijau semulajadi memenuhi segenap kiri dan kanan jalan...mata kembali segar. Alhamdulillah.

Tinta Emas : Dalam banyak-banyak warna bendera, tercari-cari bendera berwarna kuning...Ape pun menanti 5 Mei dengan penuh teruja.

Sunday, April 14, 2013

Hidup, Mati, Pertemuan, Perpisahan, Jodoh -- Semuanya ketentuanNya Yang Esa.

Alhamdulillah aku masih berkesempatan berkelana di bumiMU. Aku makin biasa dengan kerja-kerja pembantu kepada Makcik Jamilah a.k.a ibu angkat aku. Walaupun nampak aku terpaksa berkejar ke sana sini namun, aku tak banyak bersungut. Aku 'bebas'! Kemahiran aku dihargai, kesungguhan aku disokong dan aku masih boleh membuat keputusan sendiri dalam beberapa perkara berkaitan kerja. Makcik memberikan sepenuh kepercayaannya kepada aku. Pakcik Shuib pun boleh menerima aku dalam keluarganya.

Hampir 6 bulan aku bersama Makcik -- kami 'berlari' ke Padang Serai ke Kepala Batas, dari Kepala Batas ke Kuala Lumpur dan dari Kuala Lumpur ke Padang Serai. Aku lalui semua itu dengan cabaran, dengan rasa ingin mencari pengalaman dan untuk mencabar kemampuan diri. Aku masih bertahan kini, alhamdulillah. Makcik banyak memberi semangat kepada aku, seingat aku sejak pemergian Mama dialah yang sering memberi kata perangsang untuk aku tak mudah mengalah dan rezeki di bumiNya ini amat luas. Aku rasa bersyukur.

Banyak yang aku sempat kongsikan dengan Makcik. Tentang pengalaman lepas, tentang kehidupan aku yang lalu dan kenangan bersama Mama, aku cuba berkongsi rasa suka dan duka dengannya. Alhamdulillah Makcik amat memahami dan memberi dorongan yang positif setiap kali aku utarakan sesuatu masalah kepadanya. Dia banyak menyokong keputusan yang aku ingin ambil. Bahkan dia berjanji untuk membantu aku mendapatkan peluang belajar ke peringkat tertinggi, insya Allah.

Kini aku hidup dengan keputusan sepenuhnya di tangan aku, namun aku masih dahulukan Ayah dan mereka yang lebih berpengalaman daripada aku. Biarlah pengalaman lalu aku simpan, biarlah jika dia yang lepas telah mempunyai orang lain bersamanya, biarlah jika dia yang berjanji dengan aku tidak pernah menunaikan janjinya...kerana kini aku tahu Dia Yang Esa takkan sesekali membiarkan aku sendiri. Aku gembira dengan pertemuan itu, masih diberi kesempatan untuk menyayangi dan disayangi. Moga tempoh masa yang ada ini aku dapat manfaatkan hingga waktu itu tiba untuk aku realitikan jodoh yang telah ditentukan untuk aku. Sesungguhnya setiap perpisahan adalah sebuah pertemuan indah yang lain.





~Jodoh itu tetap ada; nun jauh di hadapan kita mencari tapi hampa. Mungkinkah dia yang telah berada di belakang kita sejak sekian lama, menunggu  untuk kita berpaling padanya
saja....

Monday, April 1, 2013

WELCOME BACK, WELCOME HOME!

Tahun 2013 telah menganjak ke bulan April. Masa berlalu sangat pantas, makin pantas hari demi hari, tahun demi tahun. Sedar tak sedar dah hampir 5 bulan setelah kami kehilangan insan tercinta. Saya dan keluarga mula dapat biasakan diri dengan keadaan sekarang dan kami teruskan kehidupan dengan sejuta memori indah bersamanya terpahat dalam ingatan.

Bulan Mac banyak perkara yang berlaku dan yang paling mengujakan adalah berita tentang adik lelaki ku yang bakal menamatkan pengajian di Miyazaki. Kami merancang percutian ke sana sambil memeriahkan majlis graduasinya pada 22 Mac. Dua bulan sebelumnya perancangan telah dibuat, namun hingga masa-masa terakhir masalah visa dan tiket dapat diselesaikan. Hampir-hampir saja Ayah putus asa ingin membatalkan perancangan ke sana gara-gara masalah visa yang bagi aku terlalu ketat prosedurnya. Namun semuanya berjalan seperti dijadualkan dan kami berlima - termasuk Ayah, 'Afaf, Anis dan suaminya (Li) terbang jua ke Negara Matahari Terbit buat pertama kalinya pada 19 Mac.
Kami mendarat di Lapangan Terbang Kansai setelah mengharungi 6 jam penerbangan daripada KLIA. Terpegun seketika bila pertama kali menjejakkan kaki di bumi samurai ini. Walaupun musim bunga, namun dingin musim sejuknya sangat ketara bagi kami yang mendiami rantau Asia Tenggara ini. Namun perjalanan masih jauh dari destinasi sebenar. Tempat adikku Azim belajar, Miyazaki memakan masa semalaman lagi dengan menaiki bas. Disebabkan kesuntukan masa dan kesilapan teknikal, cuma Ayah, Adik dan aku kumpulan pertama yang akan menaiki bas bersama Azim ke tempatnya. Anis dan Li akan menyusul dengan bas seterusnya keesokan harinya. Namun semuanya dalam keadaan terkawal bila kami semua tiba di kediaman Azim dengan selamat.


Cuma masih terdapat masalah untuk keluar bersiar-siar bersama, kerana peraturan ketat di sini terhadap jumlah penumpang kereta yang dibenarkan adalah tak lebih dari 4 orang. Kami terpaksa bergilir-gilir untuk keluar bersiar atau membeli-belah, dan juga ketika menghadiri majlis konvokesyen Azim. Rupanya fakulti dan kawasan varsiti tidak begitu jauh dari kediaman, kami sempat keluar bersiar-siar melihat sekitar kawasan varsiti yang sangat cantik dengan deretan pokok sakura yang masih berbunga. Petang tersebut diselangi dengan hujan yang turun renyai-renyai membuatkan jalan sedikit basah tapi melihatkan pemandangan indah bunga sakura dan bunga-bunga lain yang terang warnanya, petang itu sangat indah pada pandangan kami.





Pengalaman berada di bumi Matahari Terbit ini cukup indah, banyak input positif yang dapat dipelajari daripada pengamatan hanya selama 5 hari berada di sini. Masyarakat di sini amat menitikberatkan kebersihan, mengamalkan kaedah kitar semula, budaya hormat menghormati tak kira di jalan raya atau di tempat awam lain dan paling dikagumi sikap menepati waktu. Tak hairanlah warga samurai ini dikenali kerana mempunyai jati diri yang kental dan semangat untuk maju ke hadapan. Miyazaki, walaupun tidaklah sepadat populasi Tokyo namun mereka berkongsi cara hidup yang sederhana dan masih mengekalkan keindahan alam semulajadi. Tempat ini terkenal dengan produk tani, buah-buahan utama adalah limau dan pantai yang indah. Walau bagaimanapun kami tidak berkesempatan untuk melawatnya kerana kesuntukan masa.


Percutian inilah yang terbaik pernah aku lalui, dan aku percaya jika Mama masih ada dia pn tentu paling gembira dapat mengabadikan saat-saat ini. Ketika aku bersiap untuk meninggalkan bumi Matahari Terbit ini, terdetik bila lagi dapat aku kembali ke sini. Penerbangan Azim dengan MAS lebih dahulu berlepas pada jam 11pagi pada 25 Mac. Kami berlima menyusul dengan penerbangan Air Asia-X hanya pada jam 11malamnya.



Sayonara!

Wednesday, November 28, 2012

Satu Langkah, Sejuta Matlamat

Dah lama tak berkunjung di sini. Sebetulnya, dah kekeringan idea dan kekejangan jemari untuk menari mencoret kata di sini. Mungkin juga kerana tekanan dan pelbagai badai yang telah melanda dalam lebih setengah tahun ini, masa yang ada teramat singkat.

Dah hampir setahun rupanya berlalu. Semua saat-saat indah nampaknya berlalu begitu saja. Beberapa sambutan hari lahir mereka yang tersayang, satu majlis kahwin, masa terluang dengan teman-teman rapat dan juga sambutan hari lahir sendiri -- semuanya sepi. Namun di sebalik semua keluh kesah itu, masih ada yang dapat kembalikan segaris senyuman di bibir ini.

Tika yang lain semuanya telah berlalu pergi, aku masih di sini. Aku telah teruskan jua, dalam kepayahan dan kegalauan hinggalah aku putuskan untuk teruskan saja. Tak putus doa dan harapan aku pohonkan kepadaNya agar diberikan yang lebih baik. Aku cuba bertahan sedaya rupa, tak hiraukan cemuhan dan jelingan sinis mereka yang belum tentu berada dalam situasi aku. Akhirnya, aku mula dapat sesuatu yang benar-benar sebati dengan jiwa. Betullah, kalau kita sabar dan terima dengan hati terbuka segala yang ada untuk kita, pasti akan datang kepada kita sesuatu yang takkan dijangka satu ketika nanti.

Genap setahun aku bekerja di Diana Net Station pada bulan Ogos 2012. Aku bersyukur aku masih dapat terus buat kerja yang aku suka (walaupun aku masih berusaha untuk mendapat yang lebih baik). Takdir itu tiba bila seorang pelanggan, wanita usia di lewat 60-an telah menawarkan kerja  untuk aku dan bersungguh-sungguh mahu aku menjadi pembantunya sekaligus membantu aku mendapatkan peluang yang lebih baik di tempatnya. Peluang ini aku rasakan terbaik buat masa ini, sayang untuk dilepaskan. Setelah difikirkan baik buruk (berat ke arah baik sebenarnya :) aku letak jawatan dan mulakan kerja baru di Kepala Batas dengan Makcik Jamilah.

Namun hanya Dia yang Maha Mengetahui, tersurat di sana di mana aku sedang mengubah haluan hidup di saat itu jua aku kehilangan yang lebih penting dari segunung emas. Ibu tercintatelah pergi meninggalkan kami menyahut seruan Ilahi. Sungguh aku begitu terpukul menerima berita ini sementelah aku hanya 2 hari memulakan kerja di tempat baru. Aku banyak menyalahkan diri sendiri atas pemergian Mama, di mana yang paling aku rasa terkilan bila aku tidak berada di sisinya tika dia menghembuskan nafas terakhir. Ayah pun merasakan yang sama, kerana Mama tiada ketika di bilik ICU disebabkab kegagalan buah pinggang yang kritikal. Doaku moga Mama tenang di sana, ditempatkan di kalangan orang-orang yang dirahmatiNya.

Aku masih bersedih, perginya seorang insan yang tiada galang gantinya dalam hidup aku. Hilanglah tempat aku bermanja, insan yang banyak ketawa bersama dan juga yang sudi mendengar luahan duka bersamaku. Jika diberi satu jauta saat untuk bersama seseorang, aku pastinya ingin habiskan saat itu bersama Mama.

...Ya Allah Ya Rabb, Engkaulah Yang Maha Mendengar segala rintihan hati ini. Ubatilah kedukaan dalam lubuk jiwaku, agar aku dapat rasakan tenangnya pemergian Ibuku ke pangkuanMu. Hiasilah hari-hari laluku bersamanya dalam doaku kepadanya di sana. Jika nanti sampai waktu kupergi menghadapMu, aku pohon ditemukan dengan Ibuku. Aku pasrah dengan ketentuanMu....

Thursday, November 22, 2012

Perginya insan tercinta buat selamanya

Hari itu tanggal 21 November 2012, aku baru 2 hari memulakan tugas sebagai pembantu Pn. Jamilah di AUCMS, Kepala Batas. Pagi itu seperti biasa kami keluar seawal 6.30pg dari Padang Serai, Kulim menuju tempat kerja. Pada jam 7.30pg Makcik Jamilah mengajak aku bersarapan pagi di kedai makan berdekatan. Setelah 30 minit, aku memulakan tugas seperti biasa di makmal komputer. Namun panggilan daripada Ayah pada jam 8.40pg mengubah seluruh hidup aku --khabaran duka tentang pemergian Bonda tercinta buat selama-lamanya!

Bagai bergegar duniaku waktu menerima perkhabaran sedih itu. Tubuh aku merasa seram sejuk dan aku cukup kecewa dan hati ini remuk kerana aku tidak berada di sisi ibu di saat-saat akhir nafasnya. Masih terngiang di telingaku esak tangis Ayah sewaktu memberitahuku berita ini. Dalam keadaan terlalu sedih, aku cuma teringatkan sahabat baikku, Mc Zack (Nurul Izzati) dan terus menghubunginya, cuma ingin berkongsi berita pilu ini dengannya.

Ayah minta aku pulang seberapa segera kerana jenazah Bonda bakal dikebumikan pada hari itu juga. Lantas aku menghubungi Makcik Jamilah mengkhabarkan berita tergempar ini. Dia sama bersimpati dengan aku dan juga sedaya upaya mencari jalan untuk aku pulang pada hari itu juga. Dia juga dapatkan pelepasan kecemasan untuk menghantar aku pulang ke Kota Bharu, kerana jika aku menggunakan bas untuk pulang, akan mengambil masa yang lama. Setelah Makcik Jamilah selesaikan beberapa urusan penting, kami terus bertolak pulang -tanpa sempat membawa apa-apa barang bersama, tanpa singgah di mana-mana. Sungguh aku bersyukur dipertemukan dengan insan sebaik Makcik Jamilah.

Perjalanan bermula jam 10.30pg dari Kepala Batas ke Kota Bharu akan mengambil masa kira-kira 4-5 jam jika tiada apa-apa masalah. Namun kira-kira sejam kemudian Ayah menghubungi aku meminta jika aku dapat singgah mengambil adik lelaki aku yang sedang mengikuti latihan di Kem TUDM Ipoh. Dia mendapat pelepasan kecemasan daripada pegawainya dan kerana tiada pengangkutan untuk membawanya pulang Ayah meminta pegawainya menghubungi aku untuk mengambil adik aku. Untuk berpatah balik ke Ipoh, kami telah terlalu jauh namun Makcik Jamilah kata kami masih boleh ubah haluan ke Kuala Kangsar untuk mengambilnya. Namun perjalanan pergi dan balik itu mengambil masa 2 jam sebelum kami dapat teruskan perjalanan melalui jalan Grik-Rantau Panjang.

Ayah masih menunggu kami tiba kerana memikirkan adik aku yang tidak bertemu arwah sejak 6 bulan lepas kerana mengikuti latihan. Perjalanan terasa paling panjang, kami tiba pada lewat 6.15ptg dan keliahatan halaman rumah masih dipenuhi tetamu dan sanak saudara. Ayah menyambutku dan aku benar-benar tidak dapat menahan perasaan melihat sekujur jenazah Bonda telah dikafankan. Alhamdulillah aku dan adik sempat melihat dan mengucup Bonda buat kali terakhir sebelum dikebumikan selepas Maghrib di pusara Kubur Maras, Langgar.

Bersemadilah Bonda di sana dengan aman dan tenang. Moga syafaat daripada adinda Basirah yang telah lama meninggalkan kita dapat membantu Bonda di alam sana. Along pasti akan menjaga dan membela nasib keluarga kita --terutama sekali Ayah yang tampak sungguh terkesan dengan kehilangan Bonda dari hidupnya. Biarpun Bonda memasang keinginan untuk menghadiri konvokesyen Akif pada 24 November ini, majlis tamat latihan Afif pada 15 Disember nanti dan juga ke graduasi Azim di Miyazaki pada bulan 3 tahun hadapan, namun Allah lebih menyayangi Bonda, mengambil Bonda daripada kami menamatkan penderitaan Bonda sejak sekian lama. Kami pasrah, namun kami terima dengan hati yang lapang atas ketentuan ini. Damailah Bonda di sana, kami akan sentiasa mengingati dan menghadiahkan Bonda kesejahteraan agar pusara Bonda senantiasa diterangi cahaya rahmat dan rahhimNya. Aminn Ya Rabbal 'alaminn.