Setelah selesai urusan di Kepala Batas, pagi ni aku dan Makcik Jamilah bergerak keluar dari Padang Serai menuju destinasi seterusnya, Kuala Lumpur. Beginilah kehidupan kerja dan tanggungjawab aku, saban minggu pasti akan berulang alik dari KB ke Padang Serai, dari Padang Serai ke KL dan KL ke KB. Tak pernah jemu berkelana jauh-jauh bersama Makcik. Alhamdulillah ini rezekuMu untukku.
Sedia maklum sekarang telah pun berlarutan perang poster dan kain rentang sempena Plihanraya Umum ke-13 pada 5 Mei nanti. Bendera-bendera parti maasing-masing telah pun berpacakan di serata tempa sebelum hari penamaan calon lagi, bahkan terus meriah dan bertambah setelah calon-calon parti asing-masing telah diumumkan bakal bertanding.
Sepanjang perjalanan dari Kulim hinggalah ke Lenggong, mata aku disajikan dengan deretan panji-panji biru putih, hijau putih, merah bitu putih dan sesekali oren putih melambai-lambai di atas, bawah, kiri dan kanan jalan raya. Walaupun cuaca hari ini panas namun fenomena ini membuatkan mata aku kuyu dan semakin terpejam. Makcik juga meminta kuacinya kerana ingin menguyah yang mana aku sedia maklum dia akan menguyah kuaci jika terasa mengantuk. Bukan kerana aku tidak peduli tetapi mungkin sebab terkena hujan petang semalam membuatkan aku tidak cergas 100% pagi ini.
Aku juga seorang pemilih, yang akan memilih dan memberi sokongan kepada pilihan yang aku sedar mampu berkerja untuk umum. Namun aku tidak begitu berminat menyertai rapat umum yang rata-rata diadakan di setiap pusat-pusat operasi saban malam hari. Aku akan laksanakan tanggungjawab pada hari pemilihan nanti dan sudah tentu berharap dan juga mengajak rakan sahabat yang lain turut keluar memilih. Aku akui kata-kata 'Piihan di tangan anda' , 'Buatlah pilihan bijak' dan juga 'Membangun Bersama Islam' ada kebenaran dalam setiap frasanya. Tak salah jika kita mempunyai pendapat berlainan dan pilihan sokongan yang berbeza. Yang pentingnya biarlah kesenangan dan kemudahan yang terbaik dapat dinikmati oleh semua tak kira siapa yang mereka sokong.
Jangan kerana kepentingan peribadi dan ahli keluarga sendiri, segala harapan dan amanah umum diketepikan bahkan dibuat acuh tak acuh saja. Ketepikanlah provokasi peribadi dan penceritaan tidak bermoral dalam memenangi pertandingan, buangkanlah cara kotor dan tidak bermaruah untuk menjatuhkan pihak lawan demi mendapatkan sokongan umum. Kerana akhir nanti segala perbuatan sembunyi tangan itu akan terbongkar jua. Berjuanglah dengan bermaruah, jangan sesekali mengecilkan pihak lawan dengan cacian dan kejian bahkan biarlah kebaikannya juga turut dikhabarkan. Berikan hak memilih kepada umum, jika mereka yakin dengan perjuangan itu tentunya pilihan umum adalah tepat dan inilah sistem demokrasi yang mampu menaikkan nama Malaysia di mata para pemerhati dunia.
Hingga sampai ke perhentian rehat Sg. Perak, barulah pemandangan hijau semulajadi memenuhi segenap kiri dan kanan jalan...mata kembali segar. Alhamdulillah.
Tinta Emas : Dalam banyak-banyak warna bendera, tercari-cari bendera berwarna kuning...Ape pun menanti 5 Mei dengan penuh teruja.
No comments:
Post a Comment