Alhamdulillah aku masih berkesempatan berkelana di bumiMU. Aku makin biasa dengan kerja-kerja pembantu kepada Makcik Jamilah a.k.a ibu angkat aku. Walaupun nampak aku terpaksa berkejar ke sana sini namun, aku tak banyak bersungut. Aku 'bebas'! Kemahiran aku dihargai, kesungguhan aku disokong dan aku masih boleh membuat keputusan sendiri dalam beberapa perkara berkaitan kerja. Makcik memberikan sepenuh kepercayaannya kepada aku. Pakcik Shuib pun boleh menerima aku dalam keluarganya.
Hampir 6 bulan aku bersama Makcik -- kami 'berlari' ke Padang Serai ke Kepala Batas, dari Kepala Batas ke Kuala Lumpur dan dari Kuala Lumpur ke Padang Serai. Aku lalui semua itu dengan cabaran, dengan rasa ingin mencari pengalaman dan untuk mencabar kemampuan diri. Aku masih bertahan kini, alhamdulillah. Makcik banyak memberi semangat kepada aku, seingat aku sejak pemergian Mama dialah yang sering memberi kata perangsang untuk aku tak mudah mengalah dan rezeki di bumiNya ini amat luas. Aku rasa bersyukur.
Banyak yang aku sempat kongsikan dengan Makcik. Tentang pengalaman lepas, tentang kehidupan aku yang lalu dan kenangan bersama Mama, aku cuba berkongsi rasa suka dan duka dengannya. Alhamdulillah Makcik amat memahami dan memberi dorongan yang positif setiap kali aku utarakan sesuatu masalah kepadanya. Dia banyak menyokong keputusan yang aku ingin ambil. Bahkan dia berjanji untuk membantu aku mendapatkan peluang belajar ke peringkat tertinggi, insya Allah.
Kini aku hidup dengan keputusan sepenuhnya di tangan aku, namun aku masih dahulukan Ayah dan mereka yang lebih berpengalaman daripada aku. Biarlah pengalaman lalu aku simpan, biarlah jika dia yang lepas telah mempunyai orang lain bersamanya, biarlah jika dia yang berjanji dengan aku tidak pernah menunaikan janjinya...kerana kini aku tahu Dia Yang Esa takkan sesekali membiarkan aku sendiri. Aku gembira dengan pertemuan itu, masih diberi kesempatan untuk menyayangi dan disayangi. Moga tempoh masa yang ada ini aku dapat manfaatkan hingga waktu itu tiba untuk aku realitikan jodoh yang telah ditentukan untuk aku. Sesungguhnya setiap perpisahan adalah sebuah pertemuan indah yang lain.
~Jodoh itu tetap ada; nun jauh di hadapan kita mencari tapi hampa. Mungkinkah dia yang telah berada di belakang kita sejak sekian lama, menunggu untuk kita berpaling padanya
saja....
No comments:
Post a Comment