Tahun 2013 telah menganjak ke bulan April. Masa berlalu sangat pantas, makin pantas hari demi hari, tahun demi tahun. Sedar tak sedar dah hampir 5 bulan setelah kami kehilangan insan tercinta. Saya dan keluarga mula dapat biasakan diri dengan keadaan sekarang dan kami teruskan kehidupan dengan sejuta memori indah bersamanya terpahat dalam ingatan.
Bulan Mac banyak perkara yang berlaku dan yang paling mengujakan adalah berita tentang adik lelaki ku yang bakal menamatkan pengajian di Miyazaki. Kami merancang percutian ke sana sambil memeriahkan majlis graduasinya pada 22 Mac. Dua bulan sebelumnya perancangan telah dibuat, namun hingga masa-masa terakhir masalah visa dan tiket dapat diselesaikan. Hampir-hampir saja Ayah putus asa ingin membatalkan perancangan ke sana gara-gara masalah visa yang bagi aku terlalu ketat prosedurnya. Namun semuanya berjalan seperti dijadualkan dan kami berlima - termasuk Ayah, 'Afaf, Anis dan suaminya (Li) terbang jua ke Negara Matahari Terbit buat pertama kalinya pada 19 Mac.

Kami mendarat di Lapangan Terbang Kansai setelah mengharungi 6 jam penerbangan daripada KLIA. Terpegun seketika bila pertama kali menjejakkan kaki di bumi samurai ini. Walaupun musim bunga, namun dingin musim sejuknya sangat ketara bagi kami yang mendiami rantau Asia Tenggara ini. Namun perjalanan masih jauh dari destinasi sebenar. Tempat adikku Azim belajar, Miyazaki memakan masa semalaman lagi dengan menaiki bas. Disebabkan kesuntukan masa dan kesilapan teknikal, cuma Ayah, Adik dan aku kumpulan pertama yang akan menaiki bas bersama Azim ke tempatnya. Anis dan Li akan menyusul dengan bas seterusnya keesokan harinya. Namun semuanya dalam keadaan terkawal bila kami semua tiba di kediaman Azim dengan selamat.

Cuma masih terdapat masalah untuk keluar bersiar-siar bersama, kerana peraturan ketat di sini terhadap jumlah penumpang kereta yang dibenarkan adalah tak lebih dari 4 orang. Kami terpaksa bergilir-gilir untuk keluar bersiar atau membeli-belah, dan juga ketika menghadiri majlis konvokesyen Azim. Rupanya fakulti dan kawasan varsiti tidak begitu jauh dari kediaman, kami sempat keluar bersiar-siar melihat sekitar kawasan varsiti yang sangat cantik dengan deretan pokok sakura yang masih berbunga. Petang tersebut diselangi dengan hujan yang turun renyai-renyai membuatkan jalan sedikit basah tapi melihatkan pemandangan indah bunga sakura dan bunga-bunga lain yang terang warnanya, petang itu sangat indah pada pandangan kami.




Pengalaman berada di bumi Matahari Terbit ini cukup indah, banyak input positif yang dapat dipelajari daripada pengamatan hanya selama 5 hari berada di sini. Masyarakat di sini amat menitikberatkan kebersihan, mengamalkan kaedah kitar semula, budaya hormat menghormati tak kira di jalan raya atau di tempat awam lain dan paling dikagumi sikap menepati waktu. Tak hairanlah warga samurai ini dikenali kerana mempunyai jati diri yang kental dan semangat untuk maju ke hadapan. Miyazaki, walaupun tidaklah sepadat populasi Tokyo namun mereka berkongsi cara hidup yang sederhana dan masih mengekalkan keindahan alam semulajadi. Tempat ini terkenal dengan produk tani, buah-buahan utama adalah limau dan pantai yang indah. Walau bagaimanapun kami tidak berkesempatan untuk melawatnya kerana kesuntukan masa.

Percutian inilah yang terbaik pernah aku lalui, dan aku percaya jika Mama masih ada dia pn tentu paling gembira dapat mengabadikan saat-saat ini. Ketika aku bersiap untuk meninggalkan bumi Matahari Terbit ini, terdetik bila lagi dapat aku kembali ke sini. Penerbangan Azim dengan MAS lebih dahulu berlepas pada jam 11pagi pada 25 Mac. Kami berlima menyusul dengan penerbangan Air Asia-X hanya pada jam 11malamnya.
Sayonara!