Wednesday, September 7, 2011

Penggunaan internet di kalangan remaja dan kanak-kanak: Keperluan atau Ketagihan?

Tiap kali bila aku di kaunter, tak sampai sejam aku buka kedai dah ada pengunjung dan pelanggan-pelanggan kecil dan remaja yang datang menyerbu. Aku hanya ingat keadaan ini hanya terjadi di bandar-bandar besar seperti di KL yang mana tak hairanlah pengunjung kecil dan muda kebanyakan menjadi pelanggan tetapnya.

Bukan aku arif dalam menilai keadaan ini memandangkan belumpun sampai setengah bulan aku kerja di sini. Namun bila saban hari aku berada di sini, aku dapat mengagak trend kebanyakan remaja dan kanak-kanak yang datang. Kemudahan internet diguna sepenuhnya untuk hiburan semata-mata. Daripada melayari laman-laman sosial hinggalah bermain online game, kesemua pengunjung tegar ini menghabiskan purata 1-2 jam sehari. Pengunjung pula adalah dalam lingkungan usia 6-25 tahun, manakala yang kerap menghabiskan masa di sini ialah yang berumur 10-18 tahun.

Aku bukanlah orang yang dipertanggungjawabkan untuk meletak salah atau hukum dalam hal ini tapi sebagai warga yang amat prihatin tentang kelalaian dan sikap lewa juga lagho' yang cukup membimbangkan, aku cuma hanya dapat luahkan pendapat di sini. Mungkin ada larangan atau peraturan yang boleh diguna untuk mencegah daripada gejala membuang masa dan juga wang ringgit dengan berhibur dan berseronok di pusat-pusat cyber di kalangan remaja atau kanak-kanak yang masih bersekolah.

Ada satu kejadian yang berlaku di tempat aku ini, yang mana satu hari seorang bapa kepada pengunjung tetap di kedai ini datang mencarinya. Daripada riak mukanya dapat aku agak yang pakcik itu dalam kedaan marah. Tika anaknya berjaya dipanggil keluar dari kedai, aku perhatikan pakcik tersebut sedang memarahi anaknya. Dilihat dia memeriksa dompet anaknya dan aku dapat lihat dengan jelas dari cermin kedai, anaknya itu mempunyai sejumlah wang yang aku sendiri fikir tak mungkin budak seusia itu mampu memiliki sejumlah wang seperti itu. Kemudian pakcik tersebut masuk ke dalam kedai dan cuba bertanyakan aku dan rakan sekerja aku yang turut berada di dalam ketika itu tentang kegiatan anaknya yang saban waktu berkunjung ke situ. Aku dan rakan sekerjaku sedaya mungkin tidak mahu menimbulkan sebarang konflik atau provokasi antara dia dan anaknya dan cuba sebaik mungkin memberitahu bahawa anaknya itu bukanlah seorang pengunjung tegar atau membelanjakan banyak wang dan masa setiap kali mengunjungi kedai itu. Mujurlah kata-kata kami dapat diterima oleh pakcik tersebut. Kemudian dia berlalu pergi dengan meninggalkan pesan supaya tidak lagi membenarkan anaknya itu memasuki premis atau menggunakan internet di situ. Kami akur dan akan menepati janji tersebut.

Setelah kejadian itu, buatkan aku berfikir kenapa timbul sisi buruk tentang penggunaan internet waima dunia hari ini sepenuhnya banyak bergantung kepada kemudahan capaian jalur lebar dan alam maya. Komunikasi atau segala urusan dari kegiatan harian hinggalah urusniaga dan pendidikan, banyak memerlukan kemudahan internet. Di mana silapnya hingga timbul penggunaan internet memberikan pengaruh buruk dalam kehidupan harian kita? Adakah pemahaman di kalangan beberapa golongan pengguna yang menyalahgunakan kemudahan internet atau memang internet memberikan kesan buruk kepada pengguna untuk jangka masa panjang? Siapa yang dapat kita ajukan persoalan ini untuk mendapatkan kebenaran dan jawapan yang betul? Jika hiburan di internet begitu negatif kepada kita, samalah dengan penggunaan televisyen di rumah malah mungkin lebih teruk kerana semua orang menontonnya hampir setiap saat setiap hari.

No comments:

Post a Comment