Dah lama Mama disahkan menghidap diabetes jenis 2. Kami pun dah sedia maklum. Sebelum ini Mama alhamdulillah masih boleh bergerak bebas, kuat, sihat dan masih boleh keluar shopping bersama. Namun sejak 2 tahun lepas, keadaan Mama makin merosot dan tahun inilah Mama nampak terlalu lemah, mudah letih dan kerap pengsan. Aku amat maklum dengan situasi Mama dan seakan tidak mahu berenggang dengannya, aku terus berada di sisinya hingga kini.
Ternyata Dia lebih mengetahui. Bila bulan lepas Mama mendapat luka di ibu jari kakinya dek di'makan air' dan lukanya tidak sembuh hinggalah terpaksa berjumpa doktor. Ketika diperiksa, keadaan Mama agak teruk dan ditambah dengan pemeriksaan tekanan darahnya yang tinggi. Mama dimasukkan ke dalam wad untuk rawatan. Alhamdulillah, sehari di wad Mama dibenarkan keluar tetapi luka di kakinya belum sembuh juga. Kerana tidak mahu keadaan Mama tambah melarat, ayah bawa Mama ke sebuah hospital di Beris Panchor untuk cuci luka. Tapi itu pun masih belum membantu. Ayah bawa Mama ke HRPZ II untuk pemeriksaan rutin dan ternyata doktor telah bagi kata putus yang cukup payah untuk kami terima, lebih-lebih lagi buat Mama.
Keadaan luka di kaki Mama sudah terlalu teruk dan ibu jari takkan dapat diselamatkan lagi. Untuk mengelak daripada sel-sel mati teruk merebak, doktor telah cadangkan agar Mama menjalani amputasi di bahagian ibu jari kaki kirinya itu. Aku tahu Mama sangat kecewa dan terlalu payah untuk terima kedaan itu. Akhirnya Mama bersetuju untuk menjalani prosedur tersebut atas perbincangan bersama ayah. Moga itulah jalan yang terbaik Mama ambil agar kesihatannya tidak terjejas lebih teruk lagi. Kini Mama ditempatkan di Wad Dahlia HRPZ II dan pagi ini Mama sedang jalani amputasi ibu jari kakinya. Aku tak dapat berada disisinya kerana terpaksa berkerja. Mungkin petang nanti selepas habis kerja aku akan terus ke hospital melawat Mama.
~Aku mohon segala kekuatan daripadaMU Ya Allah dan tabahkan hatiku, dan hati ibuku moga kami dapat harungi masa-masa susah dan jadikan segala yang terjadi dugaan daripdaMU. Ampunilah segala dosa-dosa ibuku dan sejahterakanlah hidupnya di dunia dan di akhirat nanti. Aku sanggup berikan segala kegembiraan dalam hidupku hanya untuk melihat ibuku kembali sihat dan melihatnya tersenyum lagi....~
No comments:
Post a Comment