Tuesday, May 18, 2010

Hadiah Buatmu (Bahagian 1)

Terkenang zaman waktu di alam persekolahan dulu...banyak kenangan pahit manis, suka duka dan gelak ketawa. Bersama teman, rakan, sahabat, kawan dan tak lupa para cikgu dan guru yang banyak membentuk diri hingga kini, saat ini...masih berpandukan ajaran dan bimbingan mereka. Tak ternilainya pengalaman dan kenangan lalu semasa masih bergelar murid dan pelajar sekolah.

Dunia buku dan penaku bermula di sebuah sekolah di bandar KotaBharu, iaitu
Sekolah Rendah Kebangsaan Islah (sekarang SK Islah) atau singkatannya SERKIS. Tahun 1991 aku menjejaki bangku darjah satu dengan rasa gementar dan bangga...GEMENTAR kerana dunia bakal berubah dan aku akan berdepan dengan ramai lagi budak sebayaku, dan aku BANGGA kerana aku akan menjadi harapan ibu dan ayahku bermula hari itu. Selama enam tahun berikutnya aku setia bergelar pelajar di SERKIS. Dalam jangka masa itu, banyak perubahan yang berlaku di sekolah kesayangan ini, aku telah saksikan dan alaminya sendiri. Guru Besar bertukar beberapa kali, pertukaran guru-guru dan juga rakan-rakan sekelas serta perubahan yang berlaku kepada struktur bangunan SERKIS sendiri.

Aku sendiri, bermula hari pertama di Tahun 1 Merah hingga ke Tahun 6 Cemerlang, aku telah berjaya memegang pelbagai jawatan penting di sekolah. Aku pernah menjadi ketua kelas, penolong ketua kelas, pengawas pusat sumber sekolah dan jawatan paling tinggi adalah sebagai pengawas sekolah (walaupun bukan aku ketua/penolong ketua pengawasnya ;p). Semua pengalaman ini cukup memberi kesan dalam perjalanan hidup aku seterusnya.

~Penghargaan buat guru-guru SERKIS (dulu dan kini) yg masih mengingatiku sebagai murid kalian...Cikgu Normah, Cikgu Tg. Noor Ashraf, Cikgu Mohd Zaid Mohd Zain, Sir Pasupathy Tarusu, Cikgu Anizan, Cikgu Ang John Sun dan lain-lain (cuma menyebut beberapa nama yang masih diingati), jasa dan kenangan bersama cikgu-cikgu semua masih segar dalam ingatan ^__^ ~

Aku tinggalkan persekolah rendah dengan pencapaian cemerlang dalam UPSR, dengan keputusan 4A (tahun 1996 tahun terakhir sebelum subjek sains ditambah dalam UPSR). Aku berjaya menempatkan diri di sebuah sekolah menengah agama tersohor di bumi Tanah Serendah Sekebun Bunga ini. Tahun 1997 aku mulakan sesi pembelajaran Tingkatan 1 di
Sekolah Menengah Kebangsaan (A) Naim Lilbanat, dengan kemasukan panggilan kedua. Pengajianku makin sukar dan aku kian menggalas harapan lebih besar kepada ibu dan ayah. Suasana cukup berbeza kerana sekolah satu jantina ini memberi aku peluang untuk bersaing sesama kaum hawaku sendiri dengan lebih disiplin dan terkawal, apatah lagi ini adalah sekolah agama.

Aku lebih berpeluang melibatkan diri dalam pelbagai kegiatan sukan dan persatuan ketika di peringkat menengah ini. Lebih banyak kejayaan dengan kegembiraan, lebih ramai rakan dan sahabat dalam kenangan dan aku sendiri telah berjaya mengenali kebolehan dan potensi diri sendiri. Alhamdulillah, akhirnya aku dapat buktikan kesabaran dan kesungguhan aku selama 5 tahun di sana dengan memperoleh keputusan yang baik dalam
PMR 1999 dan SPM 2001. Ini semua tak mungkin aku capai kalau bukan dengan dedikasi dan usaha guru-guru dan juga rakan-rakan sekelas/setingkatan.
~Saya kalungkan rasa bangga dan jutaan terima kasih kepada para guru SMKAN amnya dan khususnya buat guru-guru yang berusaha keras mengajar kelas Tingkatan 5 Ummu Habibah (5UH) tahun 2001...kalianlah batu loncatan untuk saya terus maju ke depan. Tanpa jemu dan kesungguhan kalian memberi tunjuk ajar, takkan saya akan sampai di sini hari ini. Terima kasih seagungnya untuk semua (",) ~

Dan duniaku menginjak ke destinasi berikutnya dalam perjalanan kehidupanku sebagai seorang anak, pelajar, rakan dan sahabat.

bersambung.....

Monday, May 17, 2010

KeranaNYA kita Bertemu dan Berpisah

PERTEMUAN...
di antara dua insan
mewujudkan satu rasa antara dua hati
membuahkan kasih dan sayang
mengikat tulus dan ikhlas di jiwa
anugerah Yang Esa bagi hambaNya

PENCARIAN...
erti kasih dan sayang
pastinya ada jiwa yang terluka
dilanda dilema dan kecewa
pilihan di tengah persimpangan
cintakan Allah atau manusia

CINTA...
hadirnya tak kelihatan namun dirasai
fitrah manusia ciptaanNya
dipenuhi untuk mencari redha Ilahi
jika cinta tak berpandu
hawa dan nafsu beraja di hati
tiada lagi rasa yang tertinggal

PERPISAHAN...
sungguh memeritkan, begitu memilukan
menguji keteguhan diri
adakah kita tabah dgn ketentuanNya
benarkan ini dugaan dariNYA
kelak kan tiba saat bahagia
bertemu untuk bersama selamanya

Pertemuan dan perpisahan itu milikNya
bukannya milik kita
biar terpisah jika itu kehendakMu
mendidik nafsu menundukkan mazmumah
jangan ada walau secebis perasaan ingin memiliki
kerana itu adalah sifatNya Yang Maha Pemilik
menjauhkan dari sifat hamba padaNya
bertemu dan berpisah hanya keranaNya

Aku redha dan aku pasrah...


Monday, May 10, 2010

Ucap dan katakanlah semahumu, DIA bisa mendengarnya...

Bila terasa gembira, selalunya kita kan terus merainya dengan sesiapa yang telah membuatkan kita gembira dan selalunya kegembiraan itu takkan lama. Tapi bila kita sedang sedih, kecewa dan patah hati, tak pula kita 'merainya' dengan mereka atau perkara yang membuatkan kita berduka begitu dan selalunya kita berkabung dengan kesedihan itu selama yang kita mahu, berharap agar kesedihan itu hilang.

Bagi yang 'sedar' bahawa apa sahaja yang berlaku adalah daripadaNya, kehendakNya dan dengan izinNya, mereka sentiasa berharap dan berdoa kepadaNya tidak kira di waktu senang atau susah. Kita lupa dan alpa, kesenangan yang diberi sepatutnya diraih dengan rasa syukur dan berpadaan sahajalah meraikannya dan ketika susah melanda, bukan ratapan tangis hiba yang sepatutnya disambut tetapi dengan doa supaya dirawat hati yang lemah dan mohon diberi kekuatan menghadapinya segala sesusahan dengan tabah.

Berbahagialah bagi mereka yang sentiasa terbuka hatinya dan sentiasa ingatannya pada Yang Esa sama ada ketika senang atau susah, gembira atau sedih. Sesungguhnya segala sesuatu yang berlaku pada setiap diri kita ada hikmah dan musababnya. Cuma kita saja yang perlu sentiasa ingat dan redha untuk mencari jawapannya.

Tuesday, March 23, 2010

Mungkinkah....

Mungkin,
Jika MASA boleh diundur...
dan WAKTU dapat kuhentikan...

Mungkin aku akan lafazkannya...

untuk kau dengarkan...

rahsia hati ini...


Mungkin pada awal lagi,

Aku bukanlah pilihannya...

Cuma teman biasa…
Entah bila hati ini berubah,
Mungkin juga dia menyedarinya…

Sungguh dekat bagai terasa saat itu...
Indah…tapi semuanya tak lama…

Mungkin betul,

Antara LELAKI dan aku,

Hanya setakat AWAK dan SAYA saja,

Tanpa SAYANG dan CINTA perlu hadir,

cuma rasa SUKA yang terus kekal...

memenuhi segenap ruang HATI ini…


Mungkin ini takdir,

Walau PAHIT untuk ditelan,

Kenyataan itu tak dapat diubah,

AKU patut undurkan diri sejak awal,

Maaf kerana rasa SAYANG ini wujud…

Maaf kerana aku tak mampu LUPAkannya…


Mungkinkah,
Dalam kegelapan yang suram ini,

Aku bolah dapatkan kekuatan diri semula,

Munajatku pada-NYA agar hijabkan hati ini,

daripada perasaan yang telah tewaskan aku,

Tenangkan jiwa aku yang hampir MATI,

Moga kesakitan ini hilang bersama
kenangan aku dan dia….

tanpa sedar air mata ini mengalir membasahi pipiku lagi...


Mungkinkah….
segalanya akan lebih BAIK jika KITA bertemu lebih awal?




Tinta Emas
23 Mac 2010, 00:15 am
Vista Angkasa

Saturday, January 30, 2010

Salahkah aku

Kalau benar antara LELAKI dan WANITA
boleh jadi teman rapat,

Salahkah aku untuk mengambil berat tentangnya?

Bertanya khabar tentang keadaan dirinya,
dan ambil tahu apa yang sedang dilakukannya.


Kalau betul antara LELAKI dan WANITA itu
bisa jadi AWAK dan SAYA,

Salahkah aku cuba berkongsi masalah dan bahagia,

Tanpa ada rasa SAYANG dan CINTA

cuma rasa SUKA dan MAHU…


Kalau betul antara LELAKI dan WANITA

mampu kekal sebagai TEMAN mesra,

Salahkah aku untuk tahu siapa WANITA itu di sisinya,

Bukan untuk CEMBURU cuma MAHU tahu.


Kalau betul antara LELAKI dan WANITA
bila berjumpa, SENYUM dan KETAWA bersama

tanpa perlu berPURA-PURA,

Salahkah aku cuba berMIMPIkan dirinya,

menjadi PUTERA IMPIAN dalam dunia fantasiku.


Kalaulah betul,
antara AKU dan DIA sememangnya diTAKDIRkan bersama,

Salahkah aku untuk terus menDAMPINGinya,
menjaga HATInya dan HATI ini,

moga berSATU akhir nanti dengan IZINNYA.


Buat waktu ini, biarlah KITA begini saja….



Tinta Emas
30 Januari 2010, 16:22pm
Vista Angkasa


Sunday, September 13, 2009

Yang Telah Pergi dan Yang Masih Kekal Di Sini

Punya ramai kawan, rakan, sahabat dan teman tak menjamin mereka akan terus kekal di sisi. Masa berlalu, manusia berubah dan segalanya pasti takkan sama dan kekal selepas 10 atau 15 tahun selepas itu. Kalau ada yang kekal pun mungkin hanyalah gambar-gambar dan album kenangan bersama mereka semua...itupun kalau masih tersimpan baik dalam koleksi.

Manusia meningkat dewasa secara berperingkat. Dari alam bayi ke alam kanak-kanak, memasuki alam remaja, seterusnya meningkah ke alam dewasa, mencapai kematangan dan seterusnya menjengah alam warga emas. Akhirnya alam barzakh yang menanti. Walau bagaimanapun, tak siapa tahu seseorang manusia itu sempat meniti alam-alam tadi secara urutan. Mungkin hidupnya berakhir sebelum dia sempat memasuki alam dewasa pun. Ataupun hidup terlalu disayangi oleh Yang Maha Penyayang, dirinya terus diambil ketika hayatnya masih bayi atau kanak-kanak. DaripadaNya kita datang dan kepadaNya kita makhluk ciptaaNya akan kembali padaNya.

Tak siapa dan tiada apa yang pasti kekal di dunia ini. Segalanya hanya pinjaman. Tak mudah memiliki apa-apa pun sebagai hak milik mutlak. Sampai saat ketikanya, semuanya pasti akan dikembalikan. Hanya masa yang menentukannya. Tiada siapa dapat menduga bila waktu itu tiba. Bukan seperti tarikh luput pada sesuatu barang yang senang kita agak. Alangkah bagusnya kalau kita dapat menghalang segala perpisahan dan perpecahan daripada terjadi....

Ramai yang hadir dan pergi dalam hidup kita, silih berganti saban hari, saban waktu sepanjang kita meniti kembara ke destinasi abadi...tapi hanya orang yang benar-benar bermakna dalam hidup kita sahaja yang meninggalkan jejaknya dalam hati kita setelah dia pergi...

Sunday, August 30, 2009

Androfobia

Di kalangan wanita, bila perkataan 'LELAKI' disebut, apakah yang anda akan fikir atau terbayangkan? Adakah anda akan berfikir tentang salah seorang teman baik anda yang juga seorang lelaki? Atau terlintas di fikiran anda seseorang lelaki yang anda sayangi? Atau terkenangkan seseorang yang telah lama terpisah dan ingin berjumpa dengannya? Atau tergenang di mata anda seseorang yang anda amat benci dan kecewa dengannya disebabkan perbuatannya terhadap anda?

Tentu banyak lagi yang bermain di fikiran anda bila disebutkan perkataan 'LELAKI'. Suka, gembira, sayang, marah, benci, dendam dan rindu mungkin antara perasaan yang terbit bila perkataan 'LELAKI' diperkatakan. Namun tak banyak hal LELAKI yang diperbincangkan walaupun merekalah yang paling banyak menyumbangkan 'kekecohan' dan 'ketegangan'' dalam kehidupan. Bila timbul konflik, kebanyakannya menunding kepada wanita sebagai sumber pencetus, atas sebab wanita sedia maklum dikenali sebagai 'yang sukar diagak' tingkah lakunya.

Perbezaan antara lelaki dan wanita jelas amat ketara, baik dari segi fizikal dan emosi. Lelaki dikatakan mempunyai banyak akal berbanding wanita yang memiliki banyak kemahuan (nafsu). Antara lelaki dan wanita juga saling tertarik pada satu sama lain dan perbezaan sifat dan sikap kedua jantina inilah yang mencorakkan kehidupan. Namun, apa yang boleh terjadi jika wanita TIDAK SUKA atau BENCI terhadap lelaki?


Dalam istilah psikologi, sikap dan perasaan tidak suka atau benci terhadap lelaki dikenali sebagai ANDROFOBIA. Apa yang menyebabkan perasaan ini timbul? Pengalaman atau perhubungan lampau dengan seseorang lelaki yang mana ia tidak berakhir dengan baik menjurus kepada punca perasaan ini timbul. Perasaan pernah dikecewakan, disakiti, dikhianati dan ditinggalkan oleh lelaki antara pencetus androfobia di dalam diri wanita. Perasaan negatif ini bermula dengan rasa kecewa dan marah namun jika tidak dikawal dan diatasi dengan betul akhirnya akan mewujudkan sikap menolak dan benci terhadap lelaki yang akhirnya memupuk rasa dendam yang tak berkesudahan.

Secara semulajadi sifat dan kelakuan wanita adalah lemah lembut dan kebanyakan tindak tanduknya dipengaruhi oleh emosi. Jiwa wanita amat rapuh, serapuh kayu yang dimakan anai-anai; mudah musnah dan dihancurkan. Namun di sebalik semua sifat yang dianggap lemah oleh kaum lelaki ini, wanita adalah umpama bom berjangka yang bila-bila masa sahaja boleh meletup bila tidak dijaga dengan baik. Sikap wanita cukup prihatin pada keadaan, tetap hatinya pabila telah nekad dan cukup menjaga rahsia diri adalah antara pendorong wanita bisa jadi musuh paling bahaya kepada lelaki, lebih-lebih lagi lelaki yang telah menyakiti dan melukakan perasaannya.


Justeru, ambillah pendekatan berhikmah bila melayan dan berteman dengan wanita. Dari pesona luarannya, wanita mungkin mementingkan kebendaan dan kecantikan tapi siapa boleh menduga di sebalik itu tersembunyi satu perasaan membuak yang mungkin mampu 'membunuh' dan ancaman utamanya tentulah terhadap lelaki. Hargailah setiap wanita yang hadir dalam hidupmu wahai LELAKI, kerana sekali seorang wanita itu kasih padamu sampai bila-bila kasihnya tetap pada seorang lelaki itu. Jangan biarkan rasa sayang ini bertukar benci.


~Tinta Emas~....hingga saat ini, ingatan ini masih padamu...