Saturday, September 4, 2010

Akhir Ramadhan ini….

Hanya tinggal 5 hari lagi Ramadhan akan pergi. Suasana raya makin terasa. Dari corong-corong radio dan televisyen kerap mendendangkan lagu-lagu raya. Raya kali ini bersempena cuti sekolah, makin meriahlah jawabnya nanti bila orang-orang tersayang akan pulang ke kampung halaman. Keadaan di Kota Bharu semakan sesak, itulah yang diberitahu oleh adik aku yang pulang dari kerja hari ini. Jalan-jalan di sekitar bandar sesak tiba-tiba petang tadi menandakan mereka yang berada di perantauan telah mula pulang. Aku jangkakan jalan-jalan di bandar akan jadi lebih sesak lagi dalam dua tiga hari ni dan berterusan hingga 1 Syawal nanti.

Aku suka hari raya tapi aku juga sedih bila harinya tiba. Entah kenapa, aku tiba-tiba rasa sungguh sepi sekali. Walaupun aku bersama mama dan ayah serta 8 adik-beradik yang lain, perasaan sebak dan pilu memenuhi segenap hati aku. Apa yang aku fikir dan rasa aku sendiri tak pasti. Bila melihat mereka yang lain gembira menyambut hari raya dengan orang-orang tersayang aku jadi begitu sebak. Kenapa? Mungkin kerana aku pernah berangan untuk mempunyai orang tersayang seperti yang lain. Tapi itu semua hanya angan-angan yang tak mungkin dapat aku capai.

Umurku genap 26 tahun 30 Ogos lalu bersamaan 2 Ramadhan. Pada usia begini sepatutnya aku telah ada sesuatu yang boleh aku banggakan tapi hakikatnya aku masih sama seperti enam tahun lepas malah lebih teruk lagi bila aku juga turut menanggung beban masalah yang tak mungkin dapat diselesai dalam masa terdekat ini. Aku dah letih, teramat letih untuk mencari jalan keluar. Aku tak mungkin dapat hidup bahagian dan berjaya seperti orang lain. Aku redha dan pasrah dengan Jalan yang aku pilih ini. Aku tak percaya lagi pada jodoh pada perkahwinan atau pada cinta. Semua itu bohong, semua itu dongeng kalau ia wujud pun itu cuma dalam cerita novel dan drama lakonan sahaja.

Pada akhir-akhir bulan yang mulia, bulan keampunan dan bulan keberkatan ini, aku cuma mampu memohon dan berharap aku dapat hidup dengan tenang walaupun segala masalah yang aku pikul itu tetap takkan dapat diselesaikan. Aku hanya ingin hidup bersama kedua orang tua aku dengan tenang dan dengan rasa syukur. Bukan harta atau kebendaan yang aku harapkan, jauh sekali untuk hidup dalam kemewahan. Aku juga takkan mencari cinta lagi untuk seumur hidup aku kerana hati aku dah tertutup untuk memiliki cinta lagi buat selama-lamanya. Hanya Allah sahaja yang tahu apa yang aku telah rasa selama ini dan hanya DIAlah yang mampu mengubah segalanya.


No comments:

Post a Comment