Friday, September 10, 2010

Salam lebaran :: Mohon kemaafan daripada semua.

Menjelang 1 Syawal, aku berasa bertuah berada di laman bonda dan ayahanda. Seawal sepanjang Ramadhan lagi aku telah di sini. Malam menjelang pagi Aidilfitri tampak meriah dengan tak henti-henti tembakan dan letupan mercun dan bunga api yang kedengaran di sekeliling rumah. Masa telah berganjak ke 2.00 pagi tapi suasana seakan awal untuk mata terlelap. Di dapur masih sibuk dengan persiapan hidangan di pagi esok, menu utama seperti tahun-tahun sudah yang pasti ada; rendang buatan bonda. Tak sabar rasanya, menantikan takbir Syawal kedengaran esok pagi.

Sebagaimana biasa, aku sekeluarga akan pulang ke kampung di Machang. Satu-satunya kampung yang aku ada. Rumah nenek dan datuk di sebelah ayah. Sejak kecil hingga sekarang rumah tua itulah yang kerap aku kunjungi bila ke sana. Alhamdulillah kesihatan nenek dan datukku masih dipelihara olehNya. Mereka masih kuat fizikal dan mental hingga kini. Meriah kali ini kerana Pak Ngah dan Mak Ngah aku turut pulang berhari raya bersama. Kecoh dan riuh rendahlah suasana di rumah tua itu esok.

Tiada yang dapat aku katakan selain syukur ke hadrat Ilahi dengan nikmat kesihatan dan ikatan keluarga yang masih dapat aku alami hingga detik aku bernafas kini. Usiaku genap 26 tahun pada 20 Ramadhan lepas telah membawaku berfikir tentang masa hadapanku. Aku masih tanpa apa-apa dan tiada siapa-siapa sebagai teman pendamping. Tapi itu bukanlah yang paling aku kesalkan cuma aku sungguh-sungguh berharap aku dapat buktikan sesuatu yang bermakna untuk kedua ayah bonda, keluarga dan diri aku sendiri. Aku tak boleh terus berlengah dan terleka lagi. Masih tinggal separuh jalan untuk habiskan perjalanan aku yang lalu dan aku perlu aturkan perjalanan yang baru sekarang.

Aku mohon seteguh kekuatan dan keyakinan diri daripadaMu Ya Rabb, Engkau lindungilah diriku dan seluruh keluargaku. Sepuluh jari ku susun mendoakan petunjukMu dan mengharapkan kemaafan daripada sahabat handai, rakan taulan serta semua yang mengenali diri ini. Semoga Syawal kali ini menambah ikatan silaturrahim yang terjalin dan menyambung kembali yang telah lama menyepi. Minal Aidil wal Faidzin.

No comments:

Post a Comment