Sunday, August 14, 2011

Frenemies

Adakah seseorang yang anda kenal itu betul-betul seorang sahabat atau seorang yang suka mengambil peluang? Tinggalkan mereka yang suka mengambil kesempatan dalam persahabatan jadi kamu akan dapat seorang yang benar-benar kamu perlukan dalam hidup.

Tidak dapat dinafikan lagi kawan dan sahabat memberikan pengaruh yang besar dalam kehidupan kita. Mungkin ada sesetengah kita yang memiliki senarai nama dan alamat sahabat mereka setebal buku panduan telefon, tetapi masih tidak mempunyai jaringan hubungan yang kukuh. Ada sesetengah sahabat yang sanggup melakukan sesuatu untuk kita, dan sesetengah yang kononnya seorang sahabat yang sentiasa cuba menjatuhkan kita.

Seperti mana bila kita membersihkan almari sekali-sekala, ianya boleh dikatakan sesuatu yang sihat juga untuk ‘membersihkan’ senarai nama dan alamat sahabat kita dan buangkan ‘sahabat’ yang tidak menghargai persahabatan sepertimana yang sepatutnya.

Mungkin antara di bawah ini boleh dijadikan panduan bagi sahabat yang mana patut dilupuskan, sebab-sebanya dan sahabat yang perlu kamu ada dalam hidup.

Si Perampas Teman Lelaki
Sangat malang bagi sesetengah wanita, mereka bertemu dengan kawan wanita yang ingin menjadi kawan kepada mereka tetapi kemudian tanpa diduga kawan wanita ini rupanya cuba mengambil alih teman lelaki mereka depan mata mereka sendiri.

Bila menjadi mangsa dan ditikam daripada belakang sebegitu amat melumpuhkan seluruh jiwa, bukan sahaja bila kamu dapat tahunya dalam situasi yang memalukan yang mana teman lelaki kamu begitu senang terpedaya dengan godaan, juga kerana kamu telah berikan sepenuh kepercayaan kepada wanita yang kemudiannya telah melanggar salah satu daripada peraturan utama dalam persahabatan; ‘Seorang sahabat tidak akan sama sekali mencari pandang apatah lagi merampas teman lelaki sahabatnya’.

Wanita sebegini harus dihapuskan segera daripada hidup kamu kerana mereka telah memanipulasi kebaikan kamu, tidak menghargai kamu sebagai sahabat dan telah mengkhianati kepercayaan kamu.


Si Span Yang Gembira
Seseorang yang seperti ini akan selalu menjatuhkan kamu dan membuatkan kamu merasa bersalah walaupun kamu cuma ketawa mengekek ataupun tersenyum sedikit. Sentiasa akan ada sesuatu yang tidak kena dengan hidup mereka ini. Oleh itu, bagaimana kamu boleh bergembira atau berseronok apabila mereka berkelakuan teruk sepanjang masa?

Katakanlah kamu mendapat kenaikan pangkat di tempat kerja atau bertemu dengan seorang lelaki yang kacak dan daripada mengucapkan tahniah untuk kamu atau mengajak kamu keluar untuk meraikannya, dia lebih merungut kenapa bukan dia yang mengalami semua itu.


Mempunyai seseorang seperti ini dalam hidup kamu, yang senantiasa negatif dan melemahkan kamu, akan memberikan kesudahan yang tidak sihat dalam hidup kamu.
Jadi cepat-cepat putuskan ikatan dengan seseorang seperti ini yang lebih memberikan tekanan dan kesengsaraan dalam hidup kamu berbanding kegembiraan, yang mana sepatutnya diberi oleh seorang sahabat.

Si Pusat Alam Semesta
Ini adalah wanita yang akan bertanyakan khabar kamu pada mulanya dan kemudian untuk 15 minit seterusnya adalah cerita dirinya pada sepanjang minggu lepas. Adalah mustahil untuk mencelah dan kamu terfikir macam manalah dia boleh bercerita tentang dirinya saja dalam masa yang panjang tanpa berhenti seketika untuk menarik nafas.

Dia menjangkakan kamu untuk berada bersamanya 24 jam sehari dan mendengar tentang apa yang sedang berlaku dalam hidupnya , tetapi tidak pernah sekali pun untuk luangkan masa ambil tahu bagaimana keadaan kamu dan sama ada kamu perlukan seseorang untuk mendengar.

Bila menghadiri majlis bersama kamu, bila dia rasa bosan dia akan tinggalkan majlis tanpa memberitahu kamu terlebih dulu, tapi dia akan marah-marah bila kamu yang berbuat demikian dan sanggup membongkarkan rahsia kamu kepada orang lain sebagai ganti.


Apabila perhatian tidak diberikan kepadanya sebagaimana sepatutnya, dia akan bertukar watak kepada perengus dan panas baran serta merungut yang kamu tidak ambil peduli tentangnya.
Adalah lebih baik kamu tinggalkannya segera! Terutamanya bila dia melenyapkan sifat-sifat baik kamu dan menggunakan diri kamu untuk kebaikannya sendiri sedangkan dia tidak pernah memberi apa-apa atau memberi sokongan terhadap keperluan kamu.

Si Tembok Batu
Juga lebih dikenali sebagai 'wanita batu', kawan seperti ini akan pastikan perhatian tidak tertumpu kepada kamu apabila ianya tentang lelaki.

Bila keluar bersama, ada kalanya kamu lebih mendapat perhatian daripada lelaki yang cuba untuk mendekati atau berkenalan dengan kamu berbanding kawan-kawan kamu yang lain.


Walau bagaimanapun, dari pandangan kononnya sahabat kamu, ini bukanlah sesuatu yang menarik dan dia akan pastikan yang perhatian sebegitu akan beralih kepada dia dengan memberitahu kamu bahawa lelaki itu adalah lelaki yang jahat, atau lelaki ini punya ramai teman wanita. Malah dia masih boleh menyampuk dan mencuri perhatian lelaki tersebut dengan menggodanya dengan cara yang memalukan sepanjang masa kerana dia tidak mendapat perhatian.

Si Ketagih Pengawal
Kawan jenis ini berasakan mereka mempunyai kelebihan dalam persahabatan di antara kamu dan oleh sebab itu dia akan mengatakan bahawa kamu tidak ambil berat dalam persahabatan kamu berdua, dan akan marah-marah bila kamu terlambat sedikit, atau mengadu yang dia terpaksa melakukan semua perkara kerana kamu tak sengaja tersilap tarikh.

Biasanya hanya ada satu isu sahaja yang mendorong kepada perlakuan sahabat jenis berat sebelah ini; wanita yang mempunyai masalah dalam kawalan diri sentiasanya akan berasa lebih selamat apabila dunia di sekeliling mereka teratur dan oleh itu mereka cuba untuk memberi tekanan kepada kawan-kawan mereka yang lain untuk kekalkan keadaan itu untuk kepentingan dirinya sahaja.



Sumber : Flora McCraith, MSN

Monday, August 1, 2011

Salam Ramadhan

Ramadhan tiba lagi. Syukur aku masih boleh menyambutnya dan menjalani ibadah bersama mereka yang tersayang. Bulan mulia ini memberi banyak pengajaran buat kita yang mahu mengambil iktibar dan pedoman daripadanya. Bukan sahaja belajar menahan lapar dan dahaga, mendidik lebih pemurah dengan banyak bersedekah dan merasai kesusahan mereka yang memerlukan bantuan, malah puasa juga turut memberi keberkatan dalam setiap perkara baik yang kita buat.

Malah jika kita berjimat dalam berbelanja di bulan puasa ini pun dikira satu amalan ibadah dan mendapat keberkatan daripadaNya. Ini kerana jika diperhatikan, ramai orang Islam yang tak sedar perbelanjaan mereka di bulan puasa melebihi jumlah perbelanjaan ketika di bulan-bulan lain. Setiap tahun juga ramai di antara masyarakat kita yang kecundang dalam menangani masalah kewangan sepanjang bulan Ramadhan dan menjelang lebaran.

Seharusnya kita sebagai umat Islam haruslah pandai dan bijak berbelanja lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadhan yang mana menggalakkan umatnya berjimat-cermat dan tidak boros atau membazir. Bukan salah membeli makanan dan segala juadah enak untuk berbuka tetapi kita perlu ingat adakah semua yang nampak sedap dan lazat itu dapat kita habiskan atau kita hanya menjamah sedikit daripada makanan tersebut dan yang bakinya akan dibuang begitu saja? Bukankah amalan membazir dan boros itu amalan yang harus dielakkan dan Islam tidak menggalakkan umatnya menjadi orang yang suka berbelanja mengikut hawa nafsu semata-mata.

Memang berlaku setiap kali di bulan Ramadhan dan menjelang hari raya, kebanyakan daripada kita akan mengalami masalah kekurangan duit belanja. Namun ada juga yang mencari peluang menambah pendapatan sepanjang Ramadhan berlangsung; dengan menjual makanan, minuman atau pakaian dan hiasan rumah. Mereka bijak menggunakan peluang untuk mencari pendapatan sampingan kerana bulan Ramadhan juga adalah bulan di mana Allah akan murahkan rezeki kepada mereka yang mencari keredhaanNya. Tetapi jika pendapatan yang diperolehi ini juga digunakan untuk berbelanja sakan demi meraikan hari raya, tak ada gunanya juga.

Seharusnya kita beringat setiap masa, baik semasa bulan Ramadhan atau pun di bulan-bulan yang lain, berjimat-cermat dan sentiasa bijak serta merancang perbelanjaan harian. Jangan sampai kita akhirnya terpaksa berhutang sana-sini kerana hendak menampung belanja sendiri dan keluarga. Beringatlah sebelum terlewat dan bulan puasa adalah sebaik-baik bulan untuk melatih dan mendidik diri, kawan-kawan serta keluarga tentang pentingnya berbelanja secara sederhana dan berhemah.

Saturday, July 16, 2011

Khabar mesra dari orang lama

Tak sangka dengan sati klik saja, satu hubungan yang disangka telah hilang kini kembali tersambung. Lebih mengharukan bila jalinan ukhuwwah itu adalah antara seorang guru dan bekas pelajarnya. Paling mencuit kenangan lalu bila guru tersebut merupakan idola dan pendorong utama diri ini ketika di bangku sekolah.

Bila teringatkan zaman muda-muda dulu, terukir senyum panjang di wajah. Setelah sekian lama rupa-rupanya cikgu yang mengajar matapelajaran Sejarah dan juga penasihat Kelab Badminton itu masih tak lupakan anak didiknya ini. Aku bukanlah seorang pelajar popular di sekolah dulu. Cuma seorang pelajar yang ingin menjadi yang terbaik dalam setiap bidang yang diceburinya. Mungkin aku lebih aktif dan cemerlang dalam sukan berbanding akademik tapi itu bukan alasan aku untuk tidak menunjukkan prestasi yang baik dalam kelas.

Sekarang setelah zaman itu telah hampir 10 tahun berlalu, aku bukanlah seorang yang sosial tapi bila online saja dan terjumpa mereka yang aku kenal, rasa ingin menyambung silaturrahim itu tiba-tiba muncul. Lagipun tak salahkan kalau kita saling bertanya khabar setelah bertahun-tahun tidak bertemu. Mana tahu ada khabar gembira boleh dikongsi lagi.
Aku harap dengan terjalinnya kembali ukhuwwah ini, ianya akan terus kekal selagi masih diizinkanNya.


Tinta Emas - Gembira bertemu lagi dengan En. Mohd Ariffin Ghazali. Masih bergelar pendidik di UPSI, alhamdulillah.

Saturday, June 25, 2011

Masih ada yang setia

Peluang untuk bersama teman-teman sepersekolahan dulu tak aku sia-siakan. Barbeku dan bermalam di rumahnya nampak seperti satu acara hujung minggu yang menyeronokkan. Idea oleh Amani ini mungkin kelihatan seperti majlis reunion kecil-kecilan tapi bagi aku inilah peluang yang takkan aku lepaskan untuk berkumpul kembali dan bercerita tentang zaman sekolah lalu.


Bersama-sama yang turut serta adalah McZack, Enon, Gna dan Farah rasanya tak cukup semalaman untuk berborak sakan mengimbau kisah-kisah dulu kala tika di bangku sekolah. Antara kami ada yang satu kelas dan juga yang sama-sama menyambung pelajaran di IPTA yang sama. Selain aku dan Gna, Amani, McZack dan Farah bekerja di sini manakala Enon seorang guru di Sarawak. Selepas habis di Naim, aku dapat masuk UM dan bila di KL barulah aku dapat tahu Enon pun belajar di situ. Gna pula di UIA. Antara kami McZack adalah yang paling bertuah kerana dapat belajar hingga ke Negara matahari Terbit sana. Seperti yang telah dijangka, banyak cerita yang dibualkan hingga tak sedar oleh kami malam telah berlalu hingga ke pagi

Esoknya, kami menikmati sarapan pagi ala barat (mungkin ala bujang koboi lebih sesuai kot) dengan apa yang masih berbaki semalam. Sambil menonton sebuah movie bersama, kami benar-benar penuhi masa bersama dengan sebaik mungkin. Hampir tengahari, kami mula bersiap untuk pulang. Farah yang terpaksa pulang awal kerana urusan keluarga. yang lain menaiki kereta Amani, kami menghantar Enon pulang ke rumah. Seterusnya kami berempat yang tinggal; aku, Amani, McZack dan Gna singgah di sebuah kedai berdekatan rumah Enon untuk makan. Seterusnya kami teruskan perjalanan menghantar pulang. Kemudian kami kembali ke rumah Amani kerana dah hampir habis waktu Zohor ketika tu. Setelah selesai, aku dan McZack mula bergerak meninggalkan kediaman Amani dan kembali ke rumah masing-masing.

Sunday, June 5, 2011

Berbudi pada yang berbahasa

Peranan dan komitmen aku bebar-benar dituntut sepanjang bulan ni. Bila nenek aku jatuh sakit dan dimasukkan ke wad di HUSM, aku antara yang menjaga nenek di sana. Nenek sakit agak lama, punca daripada demam dan terpaksa dirawat di sana. Walaupun mak dan ayah saudara aku semuanya pulang melawat nenek, mereka tak dapat lama menjaga nenek di hospital. Kerana kerja dan anak-anak yang perlu ke sekolah, mereka hanya tinggal kurang seminggu menjaga nenek.

Bila aku dipanggil untuk bermalam di wd menjaga nenek, mulanya aku rasa berbelah bagi. 'Kenapa masih panggil aku sedangkan mereka pun boleh tolong tengokkan?' Tapi bukan aku untuk bersikap kurang wajar begitu, disebabkan ketika itu ayah tiada di rumah kerana mengiringi pasukan bola sepak ke perlawanan di Sabah aku harus memikirkan keadaan mak dan adik-adik di rumah juga. Aku tersepit antara tanggugjawab dan amanah sebagai seorang anak. Hanya bila aku hubungi ayah, barulah aku dapat buat keputusan. Aku terima tugas menjaga nenek di wad semalaman kerana memikirkan sepupu aku juga telah menjaga nenek selama 3 hari berturut-turut.

Bila ayah tiada, tanggungjawab di rumah jatuh ke bahu aku dan sebab inilah aku berasa serba salah. Seboleh-bolehnya aku ingin gembirakan semua pihak dan jalankan tanggungjawab aku sebagai seorang anak. Alhamdulillah selepas lebih seminggu nenek di wad, keesokan harinya selepas aku menjaga nenek, dia dibenarkan keluar. Saat itu aku rasa pengobanan aku berbaloi.

*********************
Aku tak sangka aku akan diminta untuk membantu sambutan hari keluarga di kawasan tempat tinggal aku. Bila Kak Endang hubungi aku untuk temankannya membeli barang-barang untuk kegunaan pada hari tersebut, aku fikir peranan aku taklah seberapa. Rupa-rupanya aku akan menolong dia dan keluarganya menguruskan hari keluarga yang akan diadakan dua hari lagi. Aku ditugaskan untuk menyediakan hadiah-hadiah kepada pemenanag untuk setiap kategori dalam pertandingan mewarna. Mujurlah aku punya sedikit pengalaman dalam penyediaan hadiah pertandingan. Walaupun ada sedikit lebihan bajet, namun segalanya dapat aku usahakan dengan baik.

Hari keluarga di kawasan Dusun Muda itu akan dihadiri oleh YBhg Dato' Fatmi. Seluruh penduduk di kawasan itu menyambut baik penganjuran majlis ini dan sama-sama telah bergotong royong menyediakan makan dan minuman. Seekor lembu ditumbangkan untuk majlis ini. Paling seronok bila aku dapat mengajak Mak dan adik aku ke majlis itu. Di akhir majlis, aku ditugaskan untuk menjadi penerima hadiah bagi wakil pengadil. Hamper hadiah itu aku terima sendiri daripada Dato' Fatmi dan saat itu aku rasa sedikit bangga menjadi tumpuan sekalian yang hadir pada hari itu. Segala penat lelah aku berbaloi dan aku takkan menolak lagi untuk menghulurkan bantuan jika diperlukan kelak.