Wednesday, November 10, 2010

Mengembalikan amalan menulis surat dan poskad

Tiap kali menjelangnya musim perayaan (tak kiralah 'Aidilfitri ke, 'Aidiladha ke) antara perkara yang wajib aku lakukan adalah mengirimkan kad ucapan yang aku beli atau kad yang aku buat sendiri kepada seberapa ramai sahabat-sahabat dan teman-teman rapat. Terasa puas dan seronok bila dapat mengirimkan kad ucapan kepada mereka yang mengenali sebagai tanda ingatan dan itulah antara caranya menaikkan semangat berhari raya. Tapi sekarang aku tak dapat berbuat demikian lagi....

Dengan teknologi dan kemudahan rangkaian komunikasi elektronik serta internet, amalan mengirimkan kad ucapan seakan tenggelam ditelan zaman dan dilupakan. Jarang-jarang orang yang suka berbuat demikian kerana mereka dengan mudahnya dapat menghantar pesanan ringkas dengan menggunakan sistem pesanan pendek atau menggunakan kemudahan e-mail sahaja. Cepat, udah dan pantas. Namun bagi aku kesenangan ini bagai meragut sedikit keceriaan meraikan hari perayaan. Aku sebolehnya masih lagi cuba mempertahankan amalan menghantar kad ucapan kepada kenalan-kenalan rapat dan jika ada balasan daripada mereka sudah cukup memberikan kepuasan dan keseronokan menyambut musim perayaan.

Bila sesetengah orang berkata, "Lecehlah nak hantar kad-kad ucapan ni! Hantar sms lagi senang. Sekali hantar pun dah 10,20 orang." Ye ke? Nak hantar banyak-banyak sekaligus pun kredit tu kenala ada, ye tak? Tak ada susahnya, just tulis alamat, tampal setem dan masuk je dalam peti pos tu. Apa yang lecehnya? Nak pegi pejabat pos beli setem? Alahai, bukannya kena beratur panjang-panjang pun kalau nak beli setem aje. Habis tu? Nak beli kad ucapan yang mana satu? Alohhh, tu lagi senang, beli je yang 1 peket ada 5, 10 keping tu kan senang. Tak payah nak pilih yang mahal-mahal pun. Yang penting ada tanga ingatan kita pada si penerima di sana.

Aku pernah ada senarai panjang teman-teman berserta alamat mereka dan bila musim-musim perayaan termasuk jugalah hari ulang tahun kelahiran, senarai itulah antara perkara terpenting buat rujukan aku. Selalunya ada tak kurang 20 orang yang menjadi penerima tetap kad ucapan yang akan aku hantar. Tapi itu dulu. Sekarang aku pun turut hilang semangat menghantar kad ucapan. Sebabnya? Setem dah 'naik harga'! Untuk hantar sekeping kad kena letak setem 60 sen, kirala kalau aku nak hantar 20 keping kad? Sudahnya aku terpaksa kurangkan jumlah penerima kad ucapan kepada 10 orang je tahun ni.

Aku berharap aku masih boleh teruskan amalan mengirimkan kad ucapan pada masa-masa akan datang. Sebab aku percaya pada ikatan yang sedia terjalin akan dapat dieratkan lagi dengan kehadiran sekeping kad ucapan tanda pengganti diri.

No comments:

Post a Comment