Wednesday, January 1, 2014

SELAMAT TAHUN BARU 2014

Sirih berlipat sirih pinang,
Sirih dari Pulau Mutiara,
Pemanis kata selamat dating,
Awal Bismillah pembuka bicara.


Dah masuk tahun baru, Alhamdulillah segala puji bagiMu Tuhan Seluruh Alam. Dah ada azam baru? Harap-harap tercapailah hendaknya tahun ni. Banyak yang telah berlaku sepanjang setahun 2013 yang lepas. Yang perlu dilupakan, biarlah ianya tinggal dalam ingatan. Yang harus dibawa ke tahun baru ni, peganglah ia dengan sedaya hati. 

 
Ayam rintik di pinggir hutan,
Nampak dari tepi telaga,
Nama yang baik jadi ingatan,
Seribu tahun terkenang juga.

Aku telah temui jalan aku sejak beberapa bulan lepas. Dalam tahun baru ni, jalan itu aku tetap lalui dan berharap agar jalan inilah yang bawa aku temui segala yang aku impikan. Mudah-mudahan…
Banyak perkara yang bakal berlaku pada permulaan tahun 2014 ini. Ada antaranya aku berharap ianya tidak berjalan seperti yang telah dirancangkan dan ada Antara perkara tersebut yang aku berharap tidak sepatutnya berlaku. Namun apakan daya, aku hanya boleh merancang dan berharap…Dia jualah yang telah tetapkannnya terjadi atau tidak.

Setahun berlalu tanpa Bonda tercinta…masih segar dalam ingatan aku.
Aku berharap tiada yang menggantikan tempat Bonda…aku tak ingin.
Aku mampu laksanakan tugas Bonda menguruskan rumah.
Cuma hanya sebutkan saja apa yang hendak aku buat.
Aku tak ingin jauh dari laman tercinta…aku pasti rindu saban waktu.

Buah berangan masaknya merah,
Kelekati dalam perahu,
Luka di tangan nampak berdarah,
Luka di hati siapa yang tahu.


Biarlah apa orang nak kata, aku tetap tak mahu ada orang luar di rumah. Kalau orang luar begitu penting untuk berada di rumah tu, jadi apa gunanya aku di sana? Mungkin yang lain tidak merasakan apa yang aku rasa, mungkin yang lain hanya berkata ‘buat apa ingatkan yang dah pergi?’, tapi bagi aku yang dah pergi itulah yang buat aku terus ke depan, yang tetap ingatkan aku siapa aku tanpanya yang dah pergi. Mereka takkan faham itu semua…

Permata jatuh ke rumput,
Jatuh ke rumput berbilang-bilang,
Dari mata tidakkan luput,
Dalam hati tidakkan hilang.


Aku akan jadi lebih maju, lebih berusaha bangunkan perniagaan sendiri, tingkatkan kemahiran sendiri, menimba ilmu sedalam-dalam dan setinggi-tinggi yang mampu serta aku berharap dapat bertemu pasangan yang sangat memahami dan dapat menjaga aku sebaiknya serta menyokong segala perancangan yang aku nak buat. Juga semoga aku dapat tunaikan hasrat terakhir Bondaku tercinta…. 


No comments:

Post a Comment