Hari-hari yang berlalu terasa sungguh sunyi. Rumah yang dulunya ceria dan gempita dengan suara gurau senda mahupun percakaran kecil antara seisi rumah kini hanya tinggal bunyi keriut daun pintu dan suara dari peti televisyen. Sesekali kedengaran bunyi lesung batu ditumbuk serta sudip dan kuali berlaga menandakan seseorang sedang memasak. Namun itupun hanya sekali sehari. Aku terasa sedih dengan keadaan rumah sekarang memandangkan Mama masih belum pulih daripada sakitnya dan berada di hospital. Hanya tinggal aku dan 3 orang adik bersama di rumah. Ayah berada bersama Mama, menjaganya setiap masa ditemani adik perempuanku yang seorang lagi. Ayah dan adik aku terpaksa mengambil cuti kerana ingin berada di sisi Mama.
Cuma aku, yang paling tua diamanahkan untuk menjaga adik-adik aku yang lain kerana perlu mengahadiri sekolah dan akan mengambil peperiksaan. Bukan aku tak pernah ditugaskan menjaga rumah dan menjaga adik-adik semasa ketiadaan Ayah dan Mama, tetapi sekarang aku bukan sahaja bertindak sebagai kakak yang tua namun aku juga adalah penjaga utama. Kerana Mama masih belum pasti bila akan keluar daripada hospital, akulah yang akan bertanggungjawab akan keadaan adik-adik dan rumah buat masa sekarang.

p/s: Jika keadaan masih seperti ini, mungkin Aidiladha kali ini akan kami sambut di HKL bersama Mama di sana. Yang pastinya Aidiladha kali ini amat berbeza daripada tahun-tahun lalu.