Jangan disangka air yang tenang tidak ada buaya, begitu juga dengan kuasa alam. Titisan air yang jatuh ke atas batu lama-kelamaan akan membentuk lekukan yang besar. Pelbagai lagi kuasa alam lain yang dasarnya amat bermanfaat kepada kehidupan harian manusia tetapi bila kuasa ini mula hilang kawalan ia boleh membawa bencana dan kemusnahan yang dasyat.
Hampir 4 minggu setelah kejadian bencana alam yang telah melanda Negara Matahari Terbit. Kemusnahan dan kerosakan paling besar berlaku dalam sejarah negara tersebut dalam tempoh 140 tahun.

Hari ini sebilangan warga Jepun telah pun kembali membersihkan dan membangunkan semula kediaman dan bandar mereka yang telah musnah. Pertolongan daripada pelbagai badan-badan sukarelawan dan NGO seluruh dunia turut diterima saban hari. Walaupun kebanyakan mereka telah hilang ahli keluarga, saudara mara dan juga harta benda namun kecekalan jelas kelihatan pada semangat ganbatte yang telah sebati dalam diri mereka. Masih ramai yang hilang tanpa dapat dikesan meninggalkan anak-anak kecil dan juga ibu bapa yang kehilangan anak. Yang pasti mereka terus bangkit dan tetap meneruskan kehidupan dengan harapan mereka dapat membina kembali bandar dan kediaman sepertimana yang pernah mereka diami.
Kejadian ini seharusnya menjadi iktibar dan peringatan bagi setiap diri kita yang bebas daripada ancaman kuasa alam. Mungkin kita di Malaysia mengalami banjir yang teruk hingga menyebabkan kehilangan rumah dan harta benda tapi hanya sedikit yang menjadi korban jika dibanding dengan bencana di Jepun.


Tinta Emas - Jaga dan hargailah bumi kita, jangan sampai ia marahkan kita dengan menimpakan segala kuasa alamnya pada kita nanti.